Saturday, 13 October 2012

Cubaan kedua Dayang Noraini

SAKSIKAN persembahan Dayang Noraini
di Muzik-Muzik petang ini (13 Okt 2012).
Kredit:
Ricardo Unto
riqiriqi@facebook.com


BERBEKALKAN keinginan untuk terus mencuba, penyanyi versatil Dayang Noraini, buat kali kedua, melangkah masuk ke pentas persaingan Muzik-Muzik.

Single pertama yang diangkat dari album terbarunya – Jangan Ambil Dia – akan dicalonkan dalam program terbitan TV3 itu pada petang ini (Sabtu, 13 Okt 2012).

Dalam Muzik-Muzik edisi tahun lepas, pemilik nama sebenar Dayang Noraini Datuk Hj Awang Sahari ini menguji kemampuannya menerusi lagu bergenre pop rock, Kelawar O' Kelawar yang diambil dari album pertamanya.

Namun, nasib tidak menyebelahinya, di mana lagu tersebut tersungkur dan tidak bertahan lama dalam Muzik-Muzik.

Kelawar O’ Kelawar adalah sebuah lagu yang mendapat tempat di hati pendengar serta mendapat pencalonan di carta-carta radio tempatan dan Brunei. Rentaknya yang bersahaja dan lirik yang catchy membantu lagu itu untuk ditawarkan bagi pencalonan dalam Muzik-Muzik. 

“Bagaimanapun, persaingan yang terlalu hebat daripada lagu-lagu lain telah menyebabkan Kelawar O' Kelawar tersingkir dari carta. Itu adalah lumrah pertandingan,” kata Dayang Noraini kepada Hiburan Ekspres, Jumaat.

Tambah Dayang Noraini, percubaan keduanya dengan pencalonan Jangan Ambil Dia, membuktikan bahawa “kegagalan lepas tidak menjejaskan semangat untuk terus mencuba nasib. Takut untuk mencuba adalah kegagalan yang mutlak.”

Penyanyi yang juga pendidik ini memberitahu, dia bersyukur dan berterima kasih atas peluang yang ditawarkan kepadanya.

“Setelah saya muncul di kaca TV dalam program Malaysia Hari Ini (TV3) dan Nasi Lemak Kopi O (TV9), pihak pengurusan saya dihubungi oleh penerbit rancangan Muzik-Muzik bagi menawarkan peluang untuk turut serta sebagai salah satu pencalonan baru dalam kategori balada. Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan sedemikian,” katanya.

Juara Sinaran Pasport Kegemilangan TV3 musim ke-6 ini juga yakin dengan kemampuan Jangan Ambil Dia untuk pergi lebih jauh jika diberikan peluang.

Muzik-Muzik adalah salah platform sedia ada yang baik. Jika ada rezeki, lagu ini akan bertahan di dalam carta dan ke peringkat seterusnya. Dengan sokongan dan undian peminat, tidak mustahil lagu ini akan dapat bertahan lama”.

Keyakinannya terhadap Jangan Ambil Dia apabila penerimaan single tersebut, setakat ini, dikira sangat baik, di dalam atau luar Sabah.

Jangan Ambil Dia sudah diputarkan dan menembusi carta-carta radio, seperti PelangiFM (Brunei), Era FM KK, CatsFM (Sarawak), SabahFM, KKFM, JohorFM dan TawauFM. Sambutan peminat, media cetak dan elektronik, semuanya memberi sokongan yang memberangsangkan,” ujar penyanyi kecil molek ini.

Bagi memperkukuh rangka promosi lagu Jangan Ambil Dia, Dayang Noraini juga menghasilkan video muzik dan video tersebut sudah dimuatnaik ke laman perkongsian video YouTube pada Selasa lalu.

“Saya berasa amat bersyukur dan tidak sabar untuk mendapat maklum balas daripada peminat muzik tempatan. Saya sangat teruja kerana video itu telah mencecah hampir 300 tontonan hanya dalam masa 24 jam selepas dimuatnaik di YouTube. Terima kasih atas sokongan yang telah diberikan. Diharap lebih ramai yang menonton dan menyukainya,” katanya.

Jangan Ambil Dia nyanyian Dayang Noraini akan tersiar dan tercalon di pentas Muzik-Muzik pada 5 petang ini di TV3. Undian lagu boleh dibuat di laman www.gua.com.my atau http://apps.gua.com.my/muzikmuzik27/.

Undian dibuka pada 5 petang setiap Sabtu dan berakhir setiap minggu pada 12 tengahari Rabu.

Album mini dapat sambutan

Selain Jangan Ambil Dia, album baru Dayang Noraini – @dayangnoraini2 – turut memuatkan tiga lagu lain Until The End Of Time (versi bahasa Inggeris Jangan Ambil Dia), Bukan Aku dan Not Me (versi bahasa Inggeris Bukan Aku).

Menurut Dayang Noraini, tajuk album mini terbitan Roslee Hj Wahid itu terinspirasi daripada nama akaun Twitter miliknya.

Sebelum ini, Dayang Noraini menerbitkan album solo pertama pada 2010 dan single lagu Hari Raya yang bertajuk Joget Di Pagi Raya pada tahun lepas.

Sama seperti album terdahulu, album mini ini sekali lagi mengetengahkan Rafiqa Roslee dan Dayang Noraini sebagai komposer dan penulis liriknya.

Lagu Not Me/Bukan Aku, merupakan ciptaan asal Dayang Noraini yang menggabungkan elemen dance, rock dan juga rap. Sementara lagu Until The End of Time atau dalam versi bahasa Melayunya bertajuk Jangan Ambil Dia, adalah merupakan sebuah lagu balada yang amat menyentuh hati, mengisahkan tentang perasaan kasih yang teragung yang senicipta lagu dan liriknya perlu dihayati dan diselami oleh pendengar.

Seorang penulis bebas dan blogger, Joanna Funk diundang bagi menulis semula lirik-lirik asal Dayang Noraini ke dalam bahasa Inggeris.

Penyanyi yang giat membuat persembahan di festival muzik tempatan dan bertaraf antarabangsa ini terpanggil untuk melahirkan album yang menampilkan lagu bahasa Inggeris atas respons yang diterima daripada peminatnya.

“Membuat persembahan di hadapan penonton dari segenap pelusuk dunia ketika festival muzik, saya pastinya berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dan juga menyampaikan beberapa lagu bahasa Inggeris selain lagu-lagu berbahasa Melayu dari album saya sendiri.

“Dari sanalah saya menerima pandangan, permintaan dan galakan yang kuat daripada peminat dan rakan-rakan untuk berkarya dalam bahasa Inggeris pula,” jelas Dayang Noraini.

Menyimpan impian besar untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi, Dayang Noraini melamar ‘sifu’ di dalam industri muzik negara, komposer Fauzi Marzuki bagi menjalankan proses adunan muzik dan mastering sepenuhnya untuk @dayangnoraini2.

Album mini yang dirakamkan sepenuhnya oleh jurutera rakaman, Azmel Abdul Satar dan pembantunya, Witin Gili telah dihantar kepada Fauzi untuk diadun di Kuala Lumpur.

Azmel Abdul Satar merupakan jurutera rakaman yang berpengalaman luas dalam bidang pembikinan album dan pernah terlibat dalam rakaman artis-artis bernama besar seperti Hattan, Sheila Majid dan Ramli Sarip.

Seorang lagi pensyarah muzik UMS, Andrew Poninting (Apai) juga terlibat sepenuhnya dalam pembikinan album mini itu sebagai penggubah muzik, programmer, penyanyi latar dan pemain alto saxophone.

Antara pemuzik dan artis ternama yang diundang bagi menjayakan proses rakaman album ini adalah Michael Chong – pengasas sekolah muzik Michael Drums Planet – dan penyanyi jazz Rene Barrow.

Difahamkan, jadual rutin Dayang Noraini juga semakin padat, lebih-lebih lagi selepas dia melanjutkan pelajaran secara separuh masa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan TESL.

Sejak mula dipasarkan di seluruh negara pada 24 Jun lepas, album mini Dayang Noraini menerima sambutan yang memberangsangkan.

Berbanding artis tempatan lain yang hanya bergantung kepada jualan album fizikal, Dayang Noraini turut memasarkan album mininya di ruang maya.

Bagi peminat yang lebih gemar memuatturun lagu dari Internet, album mini @dayangnoraini2 juga boleh diperolehi melalui iTunes, Amazon MP3, Rhapsody dan sebagainya.

Malah lagu-lagu yang diselitkan dalam album mini itu turut boleh dijadikan ringtone dan callerback tone. Perkhidmatan ini disediakan oleh semua syarikat telekomunikasi utama.

“Saya mengharap album mini saya akan berjaya dan dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa dengan lagu bahasa Inggeris dalam album ini. Bagi saya tiada apapun yang mustahil jika kita berusaha bersungguh-sungguh,” kata Dayang Noraini.


1 comment: