Tuesday 16 October 2012

Temu duga terbuka Sukarelawan Polis

ANGGOTA Sukarelawan Polis dilatih
mengendalikan senjata. -- Gambar hiasan
WARGANEGARA Malaysia lelaki dan wanita berumur antara 18 dan 45 tahun yang menetap sama ada di Sandakan, Kinabatangan atau Beluran, dipelawa memohon untuk menyertai Pasukan Sukarelawan Polis menerusi temu duga terbuka yang akan diadakan di Sandakan Jumaat ini (19 Oktober).

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Supritendan Fadzil Mohd Ali, dalam satu sidang media di Pusat Media IPD Sandakan pada Selasa berkata, permohonan itu terbuka kepada pemohon yang mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Rendah Pelajaran (SRP) / Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pemohon perlu memiliki tahap penglihatan dan pendengaran yang baik serta dan tidak rabun warna,” katanya.

Pemohon yang sudah bekerja perlu membawa surat pengesahan daripada majikan ketika menghadiri temu duga tersebut.

“Pemohon yang tidak mempunyai pekerjaan tetap juga akan dipertimbangkan,” katanya sebelum menambah bagi pemohon lelaki, mereka perlu mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 162 sentimeter manakala bagi wanita 152 cm.

Guru sekolah juga digalakkan memohon jawatan tersebut.

Mereka yang berminat boleh menghadiri temu duga terbuka berkenaan yang akan diadakan bermula pukul 7 pagi di IPD Sandakan pada 19 Oktober. Sila bawa bersama Kad Pengenalan dan Sijil Lahir asal bersama salinan serta sijil akademik dan sijil berkaitan, juga asal dan salinan semasa menghadiri sesi temu duga terbuka berkenaan.

“Pemohon perlu berpakaian kemas dan berkasut semasa menghadiri temu duga,” katanya. Selain itu, bagi calon lelaki, mereka juga perlu membawa seluar pendek manakala pemohon wanita perlu membawa seluar trek dan baju T yang sesuai untuk ujian fizikal.

Sehingga kini, Sandakan mempunyai seramai 67 anggota Pasukan Sukarelawan Polis manakala 31 lagi sedang mengikuti latihan di Sandakan.

No comments:

Post a Comment