Wednesday 27 July 2011

Noilaan Ku Nodi sandaran terbaru Candy

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

KESIBUKAN yang tiba-tiba menerpa membantutkan hasrat Candy Clement untuk melancarkan album terbarunya.

Mengikut perancangan awal, album itu sepatutnya menemui peminat sekitar Mei tahun ini.

Tapi ketika menunggu album itu siap sepenuhnya, pintu rezeki untuk Candy mencuba bakat dalam bidang lakonan terbuka luas.

Dalam tempoh sebulan, dia berada di set penggambaran untuk dua telefilem yang akan tayangan di kaca televisyen.

"Tercungap-cungap juga ketika itu tapi itu semua memberi pengalaman baru yang tidak ternilai," kata Candy.

Minggu lepas, semua jadual penggambarannya sudah pun selesai dan kini Candy sudah bersedia untuk kembali mengerah kudrat dan tumpuan kepada album Dusunnya yang belum diberi tajuk itu.

Langkah pertama, kata Candy, dia akan mula memperkenalkan single terbarunya ke stesen-stesen radio tempatan. Untuk memastikan kehadirannya disedari, Candy akan mempergiatkan aktiviti promosi selepas ini.

"Sementara menunggu album sulung Duzun saya dilancarkan, kami memutuskan untuk mempromosikan dahulu single Noilaan Ku Nodi ke stesen-stesen radio. Bergantung kepada keadaan, single lain akan menyusul kemudian," jelasnya.

Candy menyebut "kami" kerana dia mendapat bantuan pengurus merangkap pengarah muziknya, Luke Mason, dalam semua urusan membabitkan albumnya itu.

Candy mengakui sangat teruja dan berdebar menantikan reaksi peminat terhadap single terbarunya itu.

Ini kerana, katanya, lagu Noilaan Ku Nodi ditampilkan dengan kelainan yang cukup ketara dari segi muziknya. Sangat urban.

"Saya sedikit bimbang pendengar sukar menerima pembaharuan mendadak dalam lagu ini. Tapi itulah keistimewaannya lagu Noilaan Ku Nodi," kata Candy yang ditemani oleh Luke dan Alex Raja Lawak ketika bertandang ke pejabat Harian Ekspres di Tanjung Aru baru-baru ini.

Noilaan Ku Nodi bertunjangkan genre pop rock yang sangat menguji keupayaan vokal artis bertubuh genit kelahiran Tambunan ini. Dengan muziknya yang catchy persis muzik yang dibawakan Avril Lavinge, Candy menyifatkan single itu sebagai nadi kepada kesinambungan perjuangannya dalam bidang muzik.

Melodinya diilhamkan oleh komposer Ading manakala liriknya adalah gabungan kreativiti Ading dan Candy sendiri.

"Saya harap pendengar dapat menerima muzik yang saya ketengahkan. Benar, ia satu percaturan tapi ia mewakili jiwa muzik saya yang sebenar," kata Candy yang masih mencari tarikh sesuai untuk melancarkan album yang memuatkan 10 buah lagu itu.

Bercakap mengenai pembabitannya dalam bidang lakonan, menurut Candy, ia umpama rezeki yang terpijak.

Selepas bermula dengan sitkom Kopi-O, rezeki Candy dalam bidang lakonan tidak terhenti setakat di situ.

Baru-baru ini, dia menjayakan penggambaran dua telefilem – Cinta Yang Tertinggal dan Lanun – di mana dia berpeluang berkongsi set dengan pelakon-pelakon popular termasuk Marsha Milan Londoh dan Alex Raja Lawak.

"Walaupun menuntut banyak masa, berlakon memberikan keseronokan yang berbeza," kata Candy yang nyata sangat teruja dengan perkembangan terbarunya itu.

Tawaran terus mencurah selepas Lanun. Tapi menurut Candy, buat masa ini dia terpaksa ketepikan dahulu bidang lakonan.

"Bukan tidak menghargai kepercayaan orang tapi saya perlu lupakan seketika bidang lakonan untuk memberi tumpuan kepada album Dusun saya yang sudah lama tertangguh," kata Candy.

"Kerana itu, saya minta maaf kepada mana-mana produser atau pengarah yang terpaksa saya tolak tawaran mereka. Selepas urusan album ini saya lunaskan, saya akan lebih tenang dan bersedia untuk kembali berada di set."

Berlakon, kata Candy, menuntut banyak masa.

"Saya pernah keluar rumah pada sebelah pagi dan hanya pulang pada waktu hampir tengah malam. Memang memenatkan tapi seperti yang saya kata tadi, ia memberi keseronokan berbeza dan saya hargai semua pengalaman itu.

"Tambahan lagi apabila berada di set, saya merasa sangat seronok kerana pelakon lain dan krew semuanya sangat sporting dan sedia beri tunjuk ajar.

"Lebih-lebih lagi dengan adanya Alex yang suka menyakat orang-orang di sekelilingnya," kata Candy.

Dalam pertemuan singkat itu, Candy sempat berkongsi cerita mengenai projek terbarunya untuk menghasilkan lagu duet bersama Ebi dan juga Alex RL.
S E R A S I...  Alex dan Candy

No comments:

Post a Comment