Tuesday, 12 July 2011

Raja joran


LAPAN puluh dua pemancing menyertai pertandingan memancing sempena sambutan Pesta Rumbia 2011 edisi ke-22 di Kuala Penyu, baru-baru ini.

Acara yang berlangsung di Tasik Sitompok itu dibahagikan kepada kategori tebing dan sungai.

Kategori tebing yang disertai 47 pemancing dimenangi oleh Melvin Gary Herbert yang menaikkan ikan kapas-kapas. Tangkapan seberat 220 gram itu melayakkan Melvin untuk menerima hadiah wang tunai RM180 dan set memancing.

Tempat kedua dimenangi Kevin Athanasius dan ketiga Rusli Mustapha.

Mereka masing-masing menerima hadiah RM80 dan RM50 serta peralatan memancing.

Bagi kategori sungai yang disertai 35 pemancing, tangkapan ikan merah seberat 780 gram membolehkan Nicholas Anim pulang dengan hadiah wang tunai RM220.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Tawi Yahya (RM170) dan Mony Anim (RM100).

Kesemua pemenang kategori ini turut menerima set memancing.

Pelbagai hadiah lain turut disediakan termasuk saguhati dan cabutan bertuah.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Adun Kuala Penyu, John Teo dan Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmund Teo.

Pertandingan itu merupakan salah satu acara yang disusun atur untuk sambutan Pesta Rumbia 2011 edisi ke-22 yang berlangsung di kawasan pekan di sini dari 8-10 Julai lalu.

Kelihatan dalam gambar, John (berdiri, ketiga dari kiri) dan Edmund (berdiri, tengah) mengabadikan kenangan bersama ahli jawatankuasa penyelaras pertandingan dari Jabatan Perikanan Kuala Penyu serta sebahagian daripada pemenang di akhir acara berkenaan. – Boyd PV

No comments:

Post a Comment