Wednesday 29 December 2010

Dapatkan maklumat terperinci sebelum mula tanam gaharu

Brazilan
Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

POKOK karas atau gaharu dilaporkan mampu memberi pulangan yang sangat lumayan jika dilakukan dengan betul dan secara serius.

Tetapi sebelum menceburi bidang penanaman pokok gaharu, bakal usahawan dinasihati supaya membuat penyelidikan sendiri dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai pokok itu termasuk pasaran dan prospek ekonominya.

Kegagalan penanam memahami sepenuhnya segala aspek berkaitan tanaman bernilai tinggi itu serta perniagaan yang dikaitkan dengannya hanya akan merugikan penanam itu sendiri.

Ini adalah kerana hasil yang dijana oleh pokok gaharu hanya dapat dilihat seawal-awalnya lima tahun.

Tersilap langkah, penanam mungkin berdepan dengan kerugian sepertimana yang pernah dialami oleh seorang usahawan gaharu warga tempatan dari Kota Belud, Brazilan Daved, 38, di awal pembabitannya dalam industri gaharu ini.

Berkongsi pengalamannya, Brazilan berkata dia pernah melakukan kesilapan kerana begitu mudah mempercayai maklumat daripada seseorang yang membekalkan vaksin untuk pokok gaharu baka tempatan, Aquilaria malaccensis, yang ditanamnya.

GAHARU jelas kelihatan pada dahan pokok yang sudah diinokulasi selama tiga bulan.
"Kerana terlalu mudah percayakan maklumat yang diberikan oleh pembekal vaksin itu, saya bukan sahaja mengalami kerugian yang banyak tetapi turut menyaksikan kepercayaan orang kampung terhadap saya terjejas," akuinya kepada Harian Ekspres baru-baru ini.

Meneruskan ceritanya, Brazilan berkata dia membeli vaksin daripada seorang pembekal di Kelantan kerana vaksin yang dibekalkannya itu didakwa mampu mendorong pokok gaharunya mengeluarkan resin dalam tempoh yang singkat.

Vaksin adalah sejenis cecair khusus yang disuntik ke batang pokok gaharu selepas mencapai usia atau ukur lilit tertentu untuk mendorong pengeluaran resin berharga berwarna gelap dipanggil gaharu.

"Saya diberitahu bahawa dengan menggunakan vaksin itu, pokok gaharu boleh dituai seawal-awalnya dalam tempoh setahun. Percaya bulat-bulat dengan apa yang diberitahu oleh pembekal itu, saya membeli bekalan vaksin daripadanya dalam kuantiti yang banyak dan menjualnya semula kepada penduduk kampung dengan niat agar kami sama-sama akan dapat menikmati hasilnya dalam masa yang singkat.

"Itu apa yang saya percaya ketika itu tanpa sebarang keraguan.

"Genap setahun, apabila saya tebang satu batang pokok gaharu yang disuntik dengan vaksin itu, saya tidak nampak gaharunya. Saya tebang beberapa pokok lagi tapi hasilnya tetap sama.

"Kecewa dengan keadaan itu, saya segera menghentikan penjualan vaksin itu.

"Dan cabaran lebih besar yang saya perlu hadapi ketika itu ialah bagaimana saya harus berhadapan dengan penduduk kampung yang pernah menyuntik pokok gaharu mereka menggunakan vaksin yang saya jual," katanya yang pada waktu itu mengusahakan syarikat De Darason Gaharu Plantation dan Info Global Enterprise.
POKOK GAT berusia tiga tahun yang baru disuntik dengan cecair vaksin SSAC (dalam botol).

TAPAK semaian GASB di Kampung Tigasah, Keningau.


Enggan mengalah dengan kegagalan itu, Brazilan terus mencari pengetahuan yang akan dapat membantunya merealisasikan impian menjadi seorang usahawan gaharu berjaya kerana beliau sangat yakin pokok berkenaan berpotensi menjana pendapatan lumayan.

Beliau kemudian menyertai beberapa ceramah dan seminar mengenai penanaman pokok gaharu di Semenanjung.

Penyertaannya dalam salah satu seminar itu mempertemukan beliau dengan salah seorang pengusaha gaharu paling berjaya dari Negara Gajah Putih, Dr Mohamed Lohmoh, pemilik syarikat Agarwood Network Thailand (ANT).

"Saya dibawa ke ladangnya di Chantaburi, Thailand selama dua minggu untuk melawat kilang dan ladang milik syarikatnya. Melihat semua yang ada di depan mata saya ketika itu, hati saya tambah bersemangat untuk menjadi usahawan gaharu berjaya seperti Dr Mohamed.

"Ladang seluas 15 ekar yang dipenuhi dengan tanaman 200,000 batang pokok gaharu yang hampir matang, makmal menghasilkan vaksin, kilang memproses gaharu, pelbagai jenis peralatan dan apa sahaja yang berkaitan dengan perniagaan itu, semuanya tambah meyakinkan saya bahawa pokok gaharu mampu menjana pendapatan lumayan," katanya yang mula bergiat dalam penanaman gaharu sejak 2008.

Di ladang itulah juga Brazilan diperkenalkan dengan pokok gaharu baka hibrid, GAT, yang dihasilkan oleh ANT melalui teknik kultur tisu.

"Ia adalah jenis pokok gaharu yang mengeluarkan resin bermutu tinggi dan mendapat permintaan cukup baik di mana harganya boleh mencecah tiga kali ganda berbanding baka tempatan (Aqualaria malaccensis) di pasaran antarabangsa khususnya di kalangan pembeli di negara-negara Arab.

Di ladang itu, Brazilan mengikuti kursus mengenai industri gaharu termasuk pembenihan, penjagaan, suntikan vaksin dan sebagainya.

Dr Mohamed, kata Brazilan, pernah ke Dubai untuk memasarkan pati minyak gaharu GAT yang dihasilkannya. Setiap liter pati minyak GAT boleh mencecah harga AS$50,000 malah ada pembeli yang sanggup menawarkan harga setinggi AS$70,000 untuk kuantiti yang sama.

Yakin dengan prospek tanaman gaharu baka hibrid yang dihasilkannya, Dr Mohamed kembali ke Thailand dan mula giat menanam pokok gaharu GAT serta menjalinkan kerjasama secara kontrak dengan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar ladangnya.

"Penanaman kontrak itu diperkenalkan untuk memastikan ANT mempunyai bekalan gaharu GAT yang banyak dan berterusan di mana peserta ladang kontrak akan menjual semua hasil tuaian pokok gaharu mereka kepada ANT.

"Semua itu membuka mata saya bahawa industri gaharu adalah satu bidang yang mampu mengubah nasib penduduk kampung macam saya seperti yang sedang berlaku di Chantaburi ketika ini," katanya.

Selepas Brazilan kembali ke Sabah, beliau menubuhkan syarikat Gaharu Asia Sdn Bhd (GASB) pada 2009 di mana beliau adalah Pengarah Urusan syarikat itu.

Pada Disember 2009, GASB menandatangani MoU dengan ANT untuk membolehkan syarikat milik Bumiputera itu membawa masuk teknologi terkini penanaman pokok gaharu, vaksin khusus dan benih hibrid GAT dari Thailand ke Sabah.

Konsep perladangan kontrak juga turut dibawa ke Sabah oleh syarikat itu untuk membolehkan penduduk kampung sama-sama berpeluang meningkatkan status ekonomi masing-masing.

Setakat ini, kata Brazilan, syarikatnya sudah mendaftarkan lebih 2,000 peladang kontrak di seluruh Sabah melalui jerayawara berterusan yang dilakukan syarikatnya ke hampir setiap daerah di Sabah.

GASB membuka pejabatnya di pekan Keningau dan mengusahakan ladang seluas 50 ekar di Kampung Tigasah, Keningau. Ladang itu, yang terletak 17 kilometer dari pekan, telah mula ditanami dengan GAT secara berperingkat.

Mereka turut membuka pejabat cawangan di Limbang, Sarawak.

Selain memasarkan anak benih GAT, syarikat itu juga turut memasarkan vaksin SSAC (Stress Stain Aroma Compound) yang dihasilkan di makmal ANT di Thailand.

Berikut adalah maklumat penting yang perlu difahami oleh penanam dan bakal penanam pokok gaharu:

"Vaksin yang digunakan untuk menyuntik pokok gaharu haruslah bersesuaian dengan jenis pokok gaharu yang ditanam. Jika tidak, vaksin itu tidak akan memberikan hasil yang kita harapkan malah dalam keadaan tertentu, pokok gaharu yang disuntik dengan vaksin yang tidak sesuai akan mati," kata Brazilan.

Bagaimana pula nasib mereka yang sebelum ini telah menanam pokok gaharu tempatan Aqualaria malaccensis jika benar wujud perbezaan harga yang ketara di antara baka itu dan GAT?

"Masih ada pasaran untuk malaccensis walaupun harganya tidak sebaik GAT. Cuma, pemilik pokok malaccensis perlu menggunakan vaksin yang dikhususkan untuk pokok berkenaan," jelasnya.

Bagi GAT, pokok boleh disuntik dengan SSAC apabila ia mencapai usia 3 tahun atau mencapai ukur lilit tertentu.

Dengan penggunaan vaksin SSAC, resin akan mula kelihatan sehingga ke ranting selepas tiga bulan disuntik kerana baka hibrid ini mempunyai kadar serapan yang tinggi berbanding baka tempatan.

Dengan penjagaan yang baik dan teliti, hasilnya boleh dituai seawal-awalnya dua tahun selepas disuntik, kata Brazilan.

Memulakan usaha menanam pokok gaharu tidak sukar kerana anak benih pokok itu mudah didapati.

"Tetapi pastikan penanam memilih anak benih yang mampu memberi pulangan lebih baik selepas lima tahun," katanya kerana tempoh penanaman serta penjagaan bagi semua jenis pokok gaharu hampir sama.

Semua maklumat berkaitan akan dikongsikan dengan penanam dan bakal penanam pokok gaharu dalam satu seminar yang akan diadakan di Keningau dan di Chantaburi, Thailand pada penghujung Januari ini.

Seminar 10 hari itu adalah anjuran bersama GASB dan ANT.

Ada satu contoh kenapa penanam harus mengetahui serba serbi mengenai pokok gaharu sebelum mengambil keputusan untuk menanamnya.

Brazilan berkongsi cerita ini dengan harapan bakal penanam pokok gaharu mendapat iktibar daripada pengalaman orang lain:

"Tidak lama dulu, saya dan kakitangan syarikat mengadakan jerayawara di daerah kecil Engkilili di Sarawak.

"Kami didatangi seorang lelaki yang pada waktu itu bersikap sangat sinis terhadap kami.

"Menurutnya, dia sudah menanam pokok gaharu sejak 20 tahun lepas di atas tanah seluas 50 ekar tetapi tanaman itu langsung tidak memberi pulangan seperti yang pernah diberitahu kepadanya. Kepercayaannya terhadap potensi pokok gaharu sudah terhakis.

"Saya merasa agak tercabar tetapi pada masa sama saya melihat satu peluang perniagaan yang besar kerana jika benar dia mempunyai tanah seluas 50 ekar yang dipenuhi dengan tanaman pokok gaharu berusia 20 tahun, bayangkan betapa besar peluang niaga yang boleh saya perolehi daripadanya," kata Brazilan.

Beliau kemudian dibawa oleh lelaki itu, yang merupakan seorang pemimpin setempat, untuk melawat ladangnya tidak begitu jauh dari pekan Engkilili.

"Dalam perjalanan, saya tersenyum sendiri apabila membayangkan pokok gaharu berusia 20 tahun yang memenuhi kawasan seluas 50 ekar.

"Tapi sebaik sahaja saya melangkah masuk ke ladang itu, saya dapat mengesan sesuatu yang tidak kena dan mula faham kenapa usahawan itu tidak berjaya memasarkan "pokok gaharu" yang ditanamnya.

"Fizikal dan ciri-ciri pokok itu sudah cukup untuk memberitahu kita bahawa ladang seluas 50 ekar itu rupanya dipenuhi dengan tanaman pokok Koningau (kayu manis) berusia 20 tahun, bukannya pokok gaharu!" katanya.

Itulah sebabnya, Brazilan menggalakkan penanam dan bakal penanam membuat penyelidikan terperinci mengenai gaharu sebelum mula menanamnya.

"Kita mahu elak keadaan di mana selepas mengeluarkan modal dan menunggu selama 5 tahun, kita tidak mendapat apa-apa daripada pelaburan itu kerana tersilap langkah sejak dari awal," katanya.


BRAZILAN (kiri) bersama Pengarah GASB, Ann Celestina (tengah) dan Pengurus Besar, Nora Hiew.




 



 

Thursday 23 December 2010

Impian Natal Arnold Wences


ARNOLD akan merakam album
tribute untuk mendiang Jahari Majai
Boyd PV
myyzoom.blotspot.com

TIDAK ada apa yang amat diimpikan oleh Arnold Wences Linus untuk sambutan Krismas tahun ini selain kesempatan untuk berkumpul bersama keluarga dan sanak saudaranya di Kampung Toboh, Tambunan.

"Kalau dapat berkumpul bersama keluarga dan sanak-saudara ketika menyambut Krismas, itu saya anggap satu hadiah paling bermakna kerana dalam kesibukan masing-masing, mencari masa yang sesuai untuk berkumpul satu keluarga adalah sesuatu yang jarang dapat dipenuhi pada hari-hari biasa," katanya dalam satu temuramah online baru-baru ini.

Tambahan lagi, menurut Arnold, atau mesra dipanggil Enol, awal tahun depan, dia ada perancangan untuk berhijrah ke Kota Kinabalu.

"Sebab itulah, saya sangat berharap untuk dapat berkumpul bersama-sama keluarga dan sanak saudara pada Hari Krismas nanti kerana tahun depan, saya tidak selalu dapat dapat bersama mereka," jelasnya.

Tidak ada majlis khusus tertentu yang akan dihadirinya pada Krismas nanti, yang akan disambut esok. Selepas bersama-sama umat Kristian lain merayakan Krismas di gereja, Enol akan ke rumah terbuka keluarga sebelah ibunya sebelum mereka beramai-ramai bertandang ke rumah keluarga sebelah bapanya pula.

"Kalau sempat, saya juga akan berkunjung ke rumah saudara mara yang lain serta kawan-kawan," katanya yang sangat berharap untuk dapat menjamah hidangan kek Lapis Sarawak pada hari Krismas nanti.

"Itu kuih kegemaran saya," akui juara Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri 2006 itu yang kini berumur 23 tahun.

Selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang muzik di UMS tidak berapa lama dulu, Enol bekerja di sebuah studio rakaman sebagai jururakam audio dan merekabentuk kulit album untuk menimba pengalaman.

Dia bercadang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah tapi buat masa ini, katanya, membina kerjaya yang lebih kukuh adalah keutamaannya.

"Bila sudah ada kerja yang bagus nanti, saya bercadang untuk menyambung pelajaran secara sambilan. Itu hasrat yang ingin saya capai dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Untuk rakaman album, perancangan terdekatnya ialah menghasilkan album Kaandaman Dii Jahari Majai di mana Enol akan merakam semula kesemua 12 lagu dari album Nung Noilan Ku yang pernah dirakamkan penyanyi idolanya itu.

"Album itu adalah sebuah album tribute kepada Jahari Majai. Ia akan diterbitkan oleh Ambose Mudi, pencipta dan penulis lirik untuk album Jahari Majai.

"Saya akan menyanyikan semula lagu-lagu beliau di bawah bimbingan komposer Ambose. Projek di bawah label Vision Recording Studio (VRS) di Tambunan ini dirancang untuk menghidupkan kembali kenangan terhadap penyanyi Janda Ki Tanak Limo dan Mansau-Ansau itu serta mencari dana untuk disumbangkan kepada keluarga mendiang. Jika tiada halangan, projek ini akan bermula awal tahun depan.

"Selain itu, saya sedang menggumpul material untuk album saya yang akan datang tapi untuk masa terdekat ini, saya mungkin akan tampil dengan single dulu. Saya sedang berusaha ke arah itu," katanya yang mengakui masih fobia dengan pengalaman yang dilaluinya beberapa tahun dahulu di mana dia tidak dapat menyanyi gara-gara penyakit ganjil yang dialaminya.

"Waktu itu saya rasa badan saya lemas, selalu muntah-muntah malah saya pernah muntah darah.. rasa sakit seluruh badan sehingga menyukarkan saya untuk terusk aktif menyanyi. Tapi biarlah, Tuhan Maha Adil dan Pengasih," katanya tanpa mengulas lanjut.

Bagaimanapun, Enol kemudian mengakui semangatnya pulih untuk kembali bergiat aktif di persada seni tempatan setelah bertemu dengan seseorang.

"Dia seorang gadis yang cukup baik, berasal dari Tambunan tetapi bekerja di Kota Kinabalu.

"Dia banyak memberi dorongan kepada saya untuk tidak mudah patah semangat. Ketika ini, kami masih di peringkat mengenali hati budi masing-masing. Soal jodoh saya serahkan kepada Tuhan," kata Enol.

Didesak untuk menggambarkan sejauh mana hubungan mereka, ini jawapan Enol yang penulis salin terus dari transkrip temu bual itu:

Arnold (1:21 AM): Mm, kami mungkin kawan, mungkin juga couple.. tapi bagi saya.. she’s so special...
Arnold (1:21 AM): Saya rasa saya tidak sanggup kehilangan dia... cukup-cukuplah apa yang pernah saya lalui dulu.


Pada kesempatan ini, Enol ingin mengucapkan Selamat Hari Natal dan Tahun Baru kepada kedua ibu bapanya Wences dan Georgina, kepada ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan, serta semua pembaca Harian Ekspres yang menyambut Krismas.





 

Wednesday 22 December 2010

Alex Raja Lawak mengimbau kenangan Krismas 2005


Alex semakin ligat mencipta nama
Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

DIA sering membuatkan kita ketawa dengan telatah dan dialog lucunya. Itu sudah semestinya kerana Alexander Ahat adalah produk yang terhasil daripada program Raja Lawak, anjuran Astro.

Tetapi tidak ramai mengetahui bahawa di sebalik gelagat lucunya, jejaka yang lebih mesra dipanggil Alex ini menyimpan duka yang sehingga kini masih mempunyai kesan dalam hidupnya.

Sambutan Krismas 2005 menyimpan kenangan yang akan terus tersimpan rapi dalam ingatannya kerana itulah kali terakhir Alex menyambut perayaan itu bersama bapanya, Ahat Masalun.

"Pada hari Krismas tahun 2005, bapa saya menunjukkan sikap yang sangat berbeza daripada biasa. Dia terlalu cerewet mengenai persiapan untuk jamuan keluarga.

"Pada subuh hari itu (Krismas 2005), saya menemani bapa saya untuk membeli ikan di pasar Safma di Kota Kinabalu. Waktu itu pun dia sebenarnya tidak berapa sihat. Tapi kerana mahu memastikan dia dapat menyediakan keperluan untuk jamuan kami sekeluarga, dia gagahkan juga untuk keluar mencari ikan pari, ikan kayu dan basung untuk dimasak sebagai hidangan tengahari.

"Memandangkan bekalan ikan tidak banyak pada pagi itu, bapa saya sanggup bertekak dengan pembeli lain semata-mata untuk mendapatkan ikan yang dimahukannya," Alex bercerita dengan nada yang sebak.

Temu bual ini berlangsung pejabat Daily Express di Tanjung Aru baru-baru ini.

"Jarang dia berperangai seperti itu… Selepas pulang ke rumah, dia baru sedar kami terlupa membeli sebahagian daripada bahan untuk memanggang ikan-ikan itu. Sekali lagi kami keluar ke pasar kerana dia tetap juga mahu mendapatkan semua yang telah disenaraikan sedangkan sebenarnya barang-barang itu boleh saja digantikan dengan bahan lain. Contohnya madu, kita boleh gantikan dengan gula jika perlu," kata Alex.

Hampir setahun selepas itu, pada 2 Disember 2006, bapanya meninggal dunia pada umur 57 kerana komplikasi penyakit yang dialaminya.

"Kenangan itu akan kembali menjelma setiap kali Krismas tiba," akuinya yang akan menyambut Krismas tahun ini bersama ibunya, Jamine Gunda, dan ahli keluarga lain di Kampung Simpudu, Papar.

Pemenang tempat ketiga program Raja Lawak musim ke-4 ini juga sempat mengimbau kenangan ketika menyambut Krismas pada tahun 1995. Ini juga antara kenangan Krismas yang sukar dilupakannya.

"Itulah kali pertama (Krismas 1995) saya menyambut Krismas berjauhan dengan keluarga. Ketika itu saya masih bersekolah dan terpilih menyertai Jambori Pengakap Sabah kali pertama di Semporna.

"Sedih memanglah sedih sebab kali pertama berjauhan dengan keluarga ketika Krismas. Selepas menyertai upacara sembahyang Krismas di gereja, kami kembali ke khemah dan menyanyi lagu-lagu Krismas. Itu saja. Selebihnya kami sibuk dengan acara jambori. Tidak ada apa-apa hidangan istimewa.

"Tapi semua itu menawarkan pengalaman yang cukup berharga yang mengajar kita mengenai kasih sayang kerana pada waktu itu, rakan-rakanlah yang menjadi keluarga kita," kata Alex.

Semua itu sudah lama berlalu. Kini, Alex adalah seorang selebriti yang kian memahat nama di persada seni tanah air. Jumlah peminatnya bertambah dari hari ke hari.

Selepas berakhirnya program Raja Lawak yang disertainya awal tahun ini, kehadirannya semakin disedari oleh orang-orang di sekelilingnya.

"Itu kerana badan saya besar jadi orang senang nampak," katanya merendah diri diselitkan dengan nada gurauan. Tapi hakikatnya, bakat mantan jurulatih PLKN ini jauh lebih besar daripada saiz tubuhnya.

Kerana bakatnya yang besar itulah maka selepas program Raja Lawak berakhir, dia sering disambar penganjur acara untuk menjayakan pelbagai majlis termasuk majlis-majlis makan malam korporat dan acara-acara terbuka di seluruh negara.

Mengacarakan program travelogue Warung Kita musim ke-3 di Astro juga memberi ruang kepada Alex untuk memperkukuh profail seninya.

Dalam bidang lakonan pula, satu demi satu peluang ditawarkan kepadanya.

Drama lakonannya, Biar Betul Bendul di Astro Warna menyediakan platform yang cukup baik untuk dia mengasah bakat lakonan. Osman Berani juga menunggu untuk ditayangkan di Astro. Di saluran RTM pula, peminat akan dapat melihat lakonannya menerusi Impian.

Ada sumber memberitahu perundingan sedang dibuat untuk membawa Alex terbabit dalam satu projek bersama pengarah dan pelakon tersohor tanah air Afdlin Shauki dalam masa terdekat ini. Boleh anda berkongsi dengan peminat khabar gembira ini?

"Sebenarnya saya agak keberatan untuk bercerita mengenai perkara ini kerana belum ada sebarang hitam putihnya. Tapi selepas Krismas ini, saya akan kembali ke Kuala Lumpur dan berharap ada perkembangan yang memberangsangkan dalam perkara ini yang boleh saya kongsikan dengan peminat," jelasnya.

Alex sedang bercuti di Sabah sejak hampir sebulan lalu tapi bukan bercuti dalam erti kata yang sebenarnya kerana masih ada penganjur acara yang menjemputnya menjayakan beberapa acara sepanjang tempoh dia bercuti.

"Saya tidak kisah malah saya sangat bersyukur kerana itu semua rezeki yang Tuhan bagi."

Untuk pembaca-pembaca Harian Ekspres yang merayakan Krismas, Alex ada pesanan untuk anda:

"Selamat menyambut Hari Krismas 2010 dan Tahun Baru 2011. Semoga sambutan Krismas tahun ini meninggalkan kenangan indah untuk kamu semua. Saya perlu beredar sekarang kerana "maggi saya sudah kembang!"

Friday 26 November 2010

Dayang Noraini enggan menoleh ke belakang


Dayang Noraini kini sedang
dalam rangka promosi album solonya.
Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

NAMANYA pernah mekar di persada seni tanah air selepas menjuarai Sinaran Pasport Kegemilangan anjuran TV3 pada tahun 1998.

Namun, tuntutan kerjaya dan rumahtangga solah-olah menenggelamkan bakatnya. Beberapa tahun menyepi, awal tahun ini Dayang Noraini kembali mewarnai persada hiburan dengan sebuah album yang mengangkat namanya sebagai tajuk.

Sedar akan segala penat jerih dan penantian lama untuk menghasilkan album itu, Dayang Noraini tidak rela produk edaran Sky Laser Enterprise yang memuatkan enam buah lagu itu sekadar menggumpul habuk di atas rak.

Lantas, segala kudratnya difokuskan untuk mempromosi album itu meskipun sedar ia bukan satu tugas yang mudah kerana perlu berjauhan dengan tiga permata hatinya.

Kekuatan lagu-lagu dalam album itu, khususnya Kelawar O’ Kelawar dan Kau Tak Akan Pernah Tahu memudahkan Dayang Noraini menjual semula bakat nyanyiannya yang sebelum ini sudah dilupakan peminat.

Lagu-lagunya itu semakin kerap berkumandang di corong-corong radio dan mula memanjat anak tangga carta-carta lagu tempatan.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar,” kata Dayang Noraini ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi memastikan album itu lebih disedari peminat, syarikat milik penyanyi ini, Dayang Noraini Production, mengatur jelajah promosi yang membawanya bertandang ke negara jiran, Brunei Darussalam.

Ketika ini juga, Dayang Noraini sedang mengadakan jelajah bertemu pihak media cetak dan elektronik di Ibu Negara untuk mendapatkan liputan lebih meluas. Rangka promosi album yang sangat padat itu dijadual berakhir esok.

“Saya berterima kasih kepada pengurus saya Roslee Hj Wahid kerana gigih mengatur pertemuan dengan media di sana,” katanya.

“Saya sedar, urusan promosi album adalah sesuatu yang sangat memenatkan dan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Tapi untuk memastikan kejayaan album solo saya ini, saya rela menempuhi semuanya. Saya perlu selesaikan apa yang telah saya mulakan.

“Perkara lain saya masih boleh tahan tapi kerinduan terhadap anak-anak adalah sesuatu yang saya masih cuba belajar untuk menanganinya,” akui Dayang Noraini sekaligus memperlihatkan sifat keibuan yang cukup kuat dalam dirinya.

Cuma, kata Dayang Noraini, dia tahu tiga anaknya - Dayang Damia Heidi, 4 tahun, Ivan Mikael (3) dan Dayang Damia Danielle (1) – selamat di bawah jagaan ibunya, Datin Hjh Dayang Siti Zalekha bt Awang Tengah.

Bagi Dayang Noraini, album solo pertamanya itu adalah tunjang kepada kebangkitan semulanya di persada seni tanah air.

Sebagai salah seorang daripada hanya segelintir artis Sabah yang dapat melihat bahawa kerjaya nyanyian sebenarnya adalah satu perniagaan, Dayang Noraini dilihat bijak mencipta peluang untuk mempromosikan albumnya. Dia tidak menunggu peluang itu datang bergolek.

Lantas, musim cuti sekolah ini dipergunakan sepenuhnya untuk melunaskan komitmen tinggi untuk mempromosi albumnya itu.

Brunei Darussalam dijejaki awal bulan ini – 5 dan 6 November – untuk menguji sambutan peminat. Dan ternyata, nama Dayang Noraini begitu dekat dengan peminat di sana.

“Mungkin juga kerana nama ‘Dayang’ itu sendiri,” kata Dayang Noraini sambil tergelak. “Tapi saya memang mempunyai ramai saudara di sana.”

Kunjungan Dayang Noraini dan pengurusnya ke Brunei Darusalam padat dengan aktiviti bertemu peminat selain temu bual bersama beberapa stesen radio.

“Saya sangat terharu dan jiwa seni saya tersentuh apabila saya dibawa melawat Pusat Ehsan (rumah yang menempatkan kanak-kanak kurang bernasib baik).

Dayang Noraini mengabadikan
kenangan bersama penghuni Pusat Ehsan


“Kunjungan ke Pusat Ehsan merupakan salah satu acara utama saya di Brunei di mana saya berpeluang bertemu dengan kakitangan dan penghuni pusat itu.

“Malah, saya begitu terharu apabila penghuni rumah itu turut mengiringi salah satu lagu yang saya persembahkan kepada mereka,” kata Dayang Noraini.

Semangatnya juga bagai dibakar apabila dia menerima banyak panggilan telefon ketika ditemubual oleh DJ Daffy di Kristal FM.

“Ketika program temu bual itu ke udara, saya sempat menyanyikan lagu Kelawar (O’ Kelawar) dengan iringan muzik akustik oleh Roslee.

“Persembahan spontan itu telah menarik perhatian seorang penganjur acara dan melalui persembahan live saya di studio itu, saya akhirnya mendapat tawaran untuk mengadakan satu persembahan di Brunei bulan depan. Syukur alhamdulillah…” kata Dayang Noraini dengan nada ceria meskipun tampak sedikit lesu kerana baru selesai menjayakan acara sukan sekolah di SK Inanam II sehari sebelum temu bual ini diadakan. Dayang Noraini adalah salah seorang tenaga pengajar di sekolah berkenaan.

Album “Dayang Noraini” yang dilancarkan sekitar Mac tahun ini, memuatkan enam buah lagu yang menguji keupayaan vokalnya – Hipo Hipokrit, Sesayup, Kelawar O’ Kelawar, Kau Tak Anak Pernah Tahu, Di Ulangtahun Mu dan Demi Dekat Padamu.



Dayang Noraini (kanan sedang diwawancara di konti Kristal FM
oleh DJ Daffy. Turut kelihatan ialah pengurusnya, Roslee.
 





Dayang Noraini ditemubual wartawan
sebuah penerbitan di Brunei Darussalam
 

Thursday 18 November 2010

Somporing Sabah dapat tumpuan di Negara Matahari Terbit

Dua jenis somporing hasil ciptaan Philipus lengkap dengan kotak yang eksklusif buatannya.

Philipus (kanan) dan rakannya, Edward Kating membuat persembahan lengkap dengan pakaian tradisi kaum Dusun, di hadapan penonton warga emas di pusat beli belah Yamakataya, Kagoshima, Jepun. 
Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

TIADA apa yang lebih menggembirakan Philipus Jani, 41, selain melihat warga Jepun terhibur dengan tiupan somporing (alat muzik seperti saksofon diperbuat daripada bambu) yang dihasilkannya sendiri. Segala penat lelahnya memperkemas ciptaannya itu selama 13 tahun terbalas oleh sambutan hangat warga Kagoshima, Jepun ketika anak kelahiran Kampung Kapayan Lama, Tambunan ini dipelawa oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk memperagakan somporing buatannya kepada warga Negara Matahari Terbit itu dari 12-23 September lalu sempena Festival Asean membabitkan 11 buah negara Asean.

Philipus
"Saya rasa sangat terharu dengan sambutan yang saya terima di sana," kata Philipus baru-baru ini. "Saya tidak menyangka penduduk di Kagoshima, Jepun begitu menghargai bunyi somporing saya," katanya.

Menurut Philipus, bunyi somporingnya umpama satu terapi kepada warga Jepun kerana sebahagian besar penonton yang sempat hadir menyaksikan persembahannya kembali bertenaga walaupun datang dalam keadaan yang sedikit uzur.

"Pusat di mana kami membuat persembahan (kompleks beli belah Yamakataya) terletak berhampiran rumah untuk warga emas. Jadi, ramailah juga warga emas yang datang menyaksikan persembahan kami.

"Ada yang datang bertongkat, ada juga yang datang berkerusi roda, tapi mungkin kerana terlalu teruja dengan tiupan somporing saya, kebanyakan warga emas itu boleh bergerak aktif selepas itu, malah ada yang menari ketika saya mengalunkan irama lagu Bunyi Gitar (P. Ramlee)," katanya mengimbau kenangan manis di Kagoshima. 

Philipus mengakui hatinya lebih tersentuh selepas dia meniupkan lagu Subaru (lagu Jepun).

"Selepas mempersembahkan lagu itu, ramai penonton datang menemui saya dan mengucapkan terima kasih serta menyatakan rasa kagum mereka terhadap saya kerana, sebagai orang luar, saya boleh memainkan lagu mereka dengan peralatan muzik bambu yang saya cipta," kata Philipus yang menyedari pokok bambu mempunyai nilai sentimental dalam kehidupan warga Jepun.

Kunjungan Philipus ke Kagoshima menjadi realiti selepas beliau menerima pelawaan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia untuk mewakili negara ke Festival Asean yang berlangsung selama dua minggu itu.

Mewakili Malaysia ialah Philipus dan Edward Kating dengan somporing mereka serta seorang pengusaha batik dari Semenanjung.

"Ramai juga yang berminat untuk membeli somporing saya ketika itu tapi memandangkan itu adalah acara promosi, kami tidak dibenarkan menerima tempahan.

"Bagaimanapun, saya sudah berikan nombor telefon untuk mereka berhubung terus dengan saya selepas festival itu berlangsung," kata Philipus yang setakat ini sudah menjual berpuluh-puluh somporing kepada orang perseorangan dan juga guru muzik.

Malah, beliau juga sedang menyiapkan banyak tempahan daripada sekolah-sekolah di Sabah.

Philipus menghasilkan dua jenis somporing yang beliau namakan Somporing A (bersaiz kecil) dan Somporing C (bersaiz besar).

Penglibatan Philipus sebagai pembuat somporing bermula secara kebetulan 13 tahun dahulu apabila dia berpeluang meminjam sebuah saksofon loyang daripada rakannya.

"Selepas beberapa hari, saya terpaksa memulangkan saksofon itu tapi pada masa sama saya sudah jatuh cinta dengan alat muzik itu.

"Kerana tidak mampu membelinya memandangkan harganya yang sangat mahal, saya mula mencari jalan untuk menghasilkan saksofon saya sendiri.

"Selepas 13 tahun melakukan R&D (penyelidikan dan pembangunan), saya akhirnya berjaya menghasilkan somporing yang mampu mengeluarkan bunyi hampir serupa dengan saksofon dari nada A hingga G major," katanya.

Dan untuk melindungi ciptaannya itu, beliau telah mempatenkannya pada tahun 2007.

"Saya menggunakan bambu Malui kerana ia lebih tahan dan boleh menghasilkan bunyi yang lebih baik. Bambu jenis lain seperti Rugading juga menghasilkan bunyi yang jelas. Masalahnya, ia tidak tidak tahan lama," kata Philipus yang mengakui hampir tidak menang tangan memenuhi permintaan membuat persembahan di majlis-majlis korporat di sekitar Kota Kinabalu.

Philipus membuka sebuah bengkel menghasilkan somporing di belakang rumahnya di Kampung Kepayan dengan dibantu seorang pekerjanya.

Selain somporing, bengkel seluas 18 kaki x 22 kaki itu turut menghasilkan alat muzik, juga menggunakan bambu sebagai bahan asas, termasuk porimba (kulintangan), dram, suling (seruling), turiong, tungkabar, gitar dan clarinet, antara lain.

Bercakap mengenai gitar, Philipus menjelaskan ia masih menggunakan tali gitar biasa tapi sedang mencari kaedah lain untuk menggantikannya dengan bahan organik.

"Cuma badan gitar itu sendiri dihasilkan sepenuhnya menggunakan bambu yang dikorek dari pangkal akarnya sebelum dibuatkan lubang untuk menghasilkan gema. Untuk menampakkan kesan semulajadi, saya biarkan urat-urat akarnya berjuntaian," jelas Philipus yang dikurniakan enam orang anak hasil perkongsian hidupnya dengan Emilia Adolf.

Sepanjang temuramah ini berlangsung, Philipus beberapa kali membetulkan penulis setiap kali penulis menyebut perkataan "saksofon bambu".

"Saya sebenarnya lebih suka orang ramai mengenali alat ini sebagai somporing, bukan saksofon," katanya sambil tersenyum.


DI bengkel inilah Philipus menghabiskan
masa 13 tahun untuk
melakukan R&D dan
menghasilkan peralatan muzik bambunya. 


Philipus memilih saiz batang bambu yang
tepat untuk somporing buatan tangannya.



*****************************************
Untuk sebarang pertanyaan, hubungi 013-8776286 (Philipus) 

Tuesday 16 November 2010

Drama muzikal Kau & Aku kembali mulai 23 November


Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

DIPACU oleh sambutan hangat musim lepas, Astro RIA membawa kesinambungan drama hiburan yang menggabungkan elemen lakonan, tarian dan nyanyian – Kau & Aku – untuk musim kedua yang akan mula menemui pengikut setianya setiap Selasa, jam 9 malam bermula 23 November ini.

Pengurus Saluran Astro RIA, Azlin Reza Azmi, berkata Kau dan Aku musim kedua adalah kesinambungan kepada drama hiburan musim pertama itu yang cukup dekat dengan penonton, khususnya golongan remaja.

"Kami yakin drama bersiri musim kedua ini lebih menarik perhatian penonton kerana ia menampilkan gabungan pelakon musim pertama dan pelakon-pelakon baru yang akan menari dan menyanyi dalam setiap episod.

"Konsep drama muzikal yang ditekankan dalam drama ini masih dikekalkan tetapi ia dirancakkan lagi dengan plot yang lebih menarik," katanya.

Drama terbitan syarikat produksi tempatan Double Vision itu mendapat sentuhan ajaib empat pengarah – Roslan Hussein, Chan Wai Cheang, Ho Chee Wai dan Simon Long

Kau & Aku musim kedua memperkenalkan beberapa muka baharu termasuk Anith Aqila yang mendokong watak utama selain pelakon popular Toni Eusoff, Kathy Fauziah dan Zulkifli Zain.

"Drama ini juga turut memperkenalkan dua pelakon baru berbakat besar, Mimie Harris dan Lana Nordin, serta Alif yang digilap bakatnya di AF8.

"Untuk musim kedua ini Hafiz AF7 dikembangkan. Dalam musim pertama, Hafiz sekadar membuat penampilan istimewa. Akim dan Aril pula dikekalkan sebagai teraju utama di samping barisan pelakon musim lepas seperti Raja Farah, Farish, Amar Anak Wayang, Mimi, Ika Nabila, Anita Baharom, Putri Fateen, Riezman dan Sabrina Ali," jelas Azlin dalam satu kenyataan.

Drama muzikal 26 episod yang diadaptasi daripada siri televisyen popular Venezuela berjudul Somos Tu Y Yo itu menyambung kisah warna-warni kehidupan penuntut Kolej Harmoni. 
Azlin


Dalam musim baru ini, setelah Mila melanjutkan pengajiannya di United Kingdom, muncul seorang gadis bercita-cita besar dan bersemangat tinggi bernama Elena (lakonan Anith).

Kelebihan vokalnya yang memukau, sikapnya yang mudah mesra menyebabkan gadis itu disenangi ramai terutama di kalangan tenaga pengajar.

Situasi itu tidak diterima baik sebahagian pelajar yang menganggap Elena sebagai ancaman, lebih-lebih lagi dengan statusnya sebagai pelajar junior.

Menyambung tradisi musim pertama, drama bersiri itu akan diselang-selikan dengan persembahan muzikal melalui lagu-lagu dan bait-bait lirik yang begitu indah untuk diingati yang sarat dengan elemen romantis, sedih, geram dan lucu. Kesemua elemen itu mewarnai kehidupan remaja.

"Menariknya untuk musim kedua ini, Kau & Aku mendapat sentuhan muzik daripada komposer terkenal Dr Syed Ahmad Faizal Al- Attas atau lebih dikenali sebagai Pacai. Beliau banyak menghasilkan skor muzik untuk filem tempatan termasuk Cinta dan Papadom," kata Azlin.

Sembilan lagu runut bunyi akan melatari drama bersiri itu dan lagu-lagu itu akan turut dimainkan di stesen-stesen radio.

Lagu berjudul Kau Ku Temu nyanyian Akim, Aril, Anith dan Hafiz dipilih sebagai lagu tema musim terbaru drama itu.

Selain itu, Akim turut menyanyikan tiga lagu solo (Bawa Ku Pergi, Janji dan Inilah Cinta)

"Hafiz pula menyumbangkan dua lagu daripada album pertamanya, Noktah Cinta dan Awan Nano manakala Aril akan tampil dengan dua buah lagu hits Biar Begini dan Dua Insan Bercinta," jelas Azlin lagi

Lagu berjudul Mulanya Di Sini nyanyian Akim, Aril, Anith, Tony Eusof dan Mimi
 Harris juga pasti akan mudah melekat di halwa telinga penonton dan pendengar.

"Untuk merancakkan promosi Kau dan Aku musim kedua, kami akan menganjurkan showcase di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

"Kami menjangkakan sambutan showcase kali ini melebihi atau sekurang-kurangnya mengulangi sambutan hebat musim lepas di mana lebih 5,000 pengunjung hadir.

"Showcase kali ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan pelakon pelakon dan runut bunyi serta memberi peluang kepada peminat untuk bertemu dengan para selebriti kesayangan mereka.

"Selain dapat turut serta dengan pelbagai aktiviti permainan yang menarik, pengunjung juga akan berpeluang untuk bertemu bintang-bintang Akademi Fantasia 8, pasangan Mari Menari dan para pelakon drama Cornetto Inikah Cinta dan Ponti Anak Remaja," kata Azlin.

Dalam musim baru ini, setelah Mila melanjutkan pengajiannya di United Kingdom, muncul seorang gadis bercita-cita besar dan bersemangat tinggi bernama Elena (lakonan Anith).

Kelebihan vokalnya yang memukau, sikapnya yang mudah mesra menyebabkan gadis itu disenangi ramai terutama di kalangan tenaga pengajar.

Situasi itu tidak diterima baik sebahagian pelajar yang menganggap Elena sebagai ancaman, lebih-lebih lagi dengan statusnya sebagai pelajar junior.

Menyambung tradisi musim pertama, drama bersiri itu akan diselang-selikan dengan persembahan muzikal melalui lagu-lagu dan bait-bait lirik yang begitu indah untuk diingati yang sarat dengan elemen romantis, sedih, geram dan lucu. Kesemua elemen itu mewarnai kehidupan remaja.

"Menariknya untuk musim kedua ini, Kau & Aku mendapat sentuhan muzik daripada komposer terkenal Dr Syed Ahmad Faizal Al- Attas atau lebih dikenali sebagai Pacai. Beliau banyak menghasilkan skor muzik untuk filem tempatan termasuk Cinta dan Papadom," kata Azlin.

Sembilan lagu runut bunyi akan melatari drama bersiri itu dan lagu-lagu itu akan turut dimainkan di stesen-stesen radio.

Lagu berjudul Kau Ku Temu nyanyian Akim, Aril, Anith dan Hafiz dipilih sebagai lagu tema musim terbaru drama itu.

Selain itu, Akim turut menyanyikan tiga lagu solo (Bawa Ku Pergi, Janji dan Inilah Cinta)

"Hafiz pula menyumbangkan dua lagu daripada album pertamanya, Noktah Cinta dan Awan Nano manakala Aril akan tampil dengan dua buah lagu hits Biar Begini dan Dua Insan Bercinta," jelas Azlin lagi

Lagu berjudul Mulanya Di Sini nyanyian Akim, Aril, Anith, Tony Eusof dan Mimi Harris juga pasti akan mudah melekat di halwa telinga penonton dan pendengar.

"Untuk merancakkan promosi Kau dan Aku musim kedua, kami akan menganjurkan showcase di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

"Kami menjangkakan sambutan showcase kali ini melebihi atau sekurang-kurangnya mengulangi sambutan hebat musim lepas di mana lebih 5,000 pengunjung hadir.

"Showcase kali ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan pelakon pelakon dan runut bunyi serta memberi peluang kepada peminat untuk bertemu dengan para selebriti kesayangan mereka.

"Selain dapat turut serta dengan pelbagai aktiviti permainan yang menarik, pengunjung juga akan berpeluang untuk bertemu bintang-bintang Akademi Fantasia 8, pasangan Mari Menari dan para pelakon drama Cornetto Inikah Cinta dan Ponti Anak Remaja," kata Azlin.



 

 



Konti adalah dunianya…

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com


KHAI semakin selesa dengan tugasnya
bersiaran dari konti Sandakan fm.

PERSONALITI ini mungkin agak asing bagi kebanyakan pembaca tetapi bagi pendengar setia siaran Radio Malaysia Sandakan fm, mereka mengenalinya sebagai DJ Khai.

Usianya baru menjangkau 21 tahun dan perjalanannya masih jauh. Namun banyak perkara menarik yang boleh dikongsi, khususnya dengan golongan remaja, mengenai anak kelahiran Kg Ranca-Ranca, Wilayah Persekutuan Labuan ini.

Seawal usia 17 tahun, pemilik nama penuh Khairol Azwan Arba ini sudah pun mula membabitkan diri dalam dunia penyiaran sebagai penyampai di Radio Malaysia Labuan fm.

Ketika rakan sebaya menghabiskan masa lapang dengan aktiviti masing-masing, Khai pula menimba pengalaman bekerja di dalam konti sebagai penyampai radio bagi sebuah rancangan khusus untuk remaja sepertinya.

Dan tiga tahun kemudian, dia ditawarkan bekerja sepenuh masa dalam bidang penyiaran di Sandakan.

Kini genap setahun bertugas sebagai penyampai radio di Sandakan fm dan Khai mengakui dia semakin selesa dengan kerjaya pilihannya itu.

"Alhamdulillah…saya seronok dengan pekerjaan saya," kata Khai dalam perbualan telefon baru-baru ini.

Di peringkat awal, kata Khai, keadaan memang sedikit sukar baginya kerana belum biasa dengan tempat kerja baru. Tambahan lagi, dia amat merindui kedua orang tuanya, Arba Abdul Murad dan Norsiah Bakar.

"Tapi hari demi hari saya mula dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di sini (Sandakan) dengan memupuk semangat ingin bekerja dan berdikari meskipun terpaksa berjauhan dengan keluarga.

"Cuma rasa rindu terhadap keluarga itu tidak mungkin akan pudar," akuinya.

"Seorang penyampai radio perlu bijak dan pantas berfikir, peka dengan keadaan sekeliling dan harus kreatif serta ceria dalam penyampaian ketika bersiaran untuk menarik minat pendengar." Itu kata-kata Khai yang penulis petik dari emel yang dihantarnya. 

"Dalam apa pekerjaan sekalipun, cabarannya tetap ada. Sebagai penyampai radio di stesen Kerajaan, kami bukan sahaja perlu menghiburkan pendengar tetapi lebih utama adalah menyampaikan maklumat dengan cepat, tepat dan berkesan." Itu juga kata-kata jejaka tampan ini.

"Selain itu, kami juga bertanggungjawab untuk mendidik pendengar dengan menerbitkan rancangan yang bermaklumat, bermutu tinggi dan kreatif," tambah Khai dalam emel itu.

Meneliti setiap butir bicaranya, remaja ini ternyata jauh lebih matang daripada usianya. Tahap kematangan itulah agaknya yang membolehkan Khai bergelar penyampai radio seawal usia 17 tahun.

"Sejujurnya, menjadi penyampai radio bukanlah cita-cita asal saya," kata Khai sambil tergelak ketika temu bual telefon itu berlangsung.

Menurutnya, ketika berada di bangku sekolah, dia lebih mengimpikan peluang untuk bertugas di awan biru.

"Pramugara. Itu sebenarnya cita-cita asal saya selain memakai uniform polis," kata jejaka kacukan Melayu Brunei dan Cina ini.

Namun, semua itu berubah apabila bekas pelajar SMK Labuan ini mendapat peluang mengendalikan sebuah rancangan khusus untuk remaja di stesen penyiaran Radio Malaysia Labuan fm pada tahun 2006.

"Di situlah bermulanya pembabitan saya dalam bidang penyiaran. Tiga tahun menjadi penyampai sambilan untuk rancangan X-presi Remaja di Labuan fm, saya yakin inilah bidang pekerjaan yang ingin saya ceburi," katanya.


Khai ramah bercerita mengenai bagaimana dia boleh terbabit dalam bidang penyiaran:

"Pada suatu hari Labuan fm mengadakan uji bakat nyanyian dan penyampai radio. Saya hadir untuk menyertai uji bakat nyanyian tapi ibu saya menggalakkan saya untuk turut serta dalam uji bakat penyampai radio sambilan itu.

"Mungkin sudah rezeki saya pada masa itu, saya berjaya dalam kedua-dua uji bakat tersebut dan ditawarkan menjadi Artis Residen Labuan fm untuk rancangan Variasi dan penyampai bagi rancangan X-presi Remaja."

Rezekinya untuk terbabit sepenuh masa dalam bidang penyiaran hadir pada tahun 2009 apabila dia mendapat tawaran bekerja sebagai penyampai radio di Sandakan fm.

Selain bersiaran mengikut jadual rutin, Khai juga sinonim dengan rancangan Maskulin yang diterbitkannya.

"Saya seronok menerbitkan rancangan Maskulin yang mensasarkan pendengar dari kalangan remaja dan belia terutamanya lelaki," kata Khai mengenai rancangan itu yang genap setahun usia penerbitannya pada hari ini (Khamis).

Selain maklumat berhubung kesihatan dan kerjaya, Maskulin turut memberikan tips-tips berfesyen untuk lelaki serta maklumat mengenai personaliti pilihan dalam kalangan selebriti.

Rancangan 40 minit itu disiarkan setiap Khamis bermula jam 11.20 pagi.

"Saya gembira kerana rancangan Maskulin mendapat sambutan di kalangan pendengar kami," kata Khai.

Bagi pendengar di daerah itu, Sandakan fm ke udara menerusi gelombang fm 90.1.

Namun siaran itu sebenarnya boleh didengar di seluruh dunia melalui laman sesawang www.sandakanfm.gov.my

Kerjaya Khai sebagai penyampai radio turut mendekatkan dirinya kepada bidang pengacaraan.

Setakat ini, acara-acara besar di Sandakan yang pernah dikendalikannya termasuklah Bintang Fantasia SAGA 2009, Konsert Gempak Bersamamu 2009 dan baru-baru ini bergandingan dengan rakan setugasnya, DJ NY, di pentas akhir Bintang Sandakan fm 2010.


BIDANG nyanyian bukan sesuatu
yang asing bagi Khai. Gambar ini
dirakam ketika dia menjayakan
konsert pembukaan Pesta Air
Antarabangsa 2009 di Labuan.

Selain menjadi pengacara, Khai juga kerap memenuhi undangan menyanyi dalam pelbagai acara dan majlis khususnya di Sandakan.

"Sekadar mengisi masa lapang…" kata Khai ketika ditanya mengenai pembabitannya dalam bidang nyanyian meskipun hakikatnya, butiran dalam profail jejaka ini menyenaraikan beberapa pertandingan besar yang pernah disertainya, termasuk beberapa kali mewakili daerah kelahirannya ke pertandingan peringkat negeri.

Sebagai seorang yang masih muda belia, Khai berkata dia ingin mencuba pelbagai cabang seni jika diberi kesempatan.

Cuma keutamaannya adalah terhadap kerjayanya sebagai penyampai radio.
Kepada golongan remaja, Khai ada pesanan untuk anda:

"Buat rakan-rakan remaja, tabahkan hati dalam menghadapi apa juga cabaran dan dugaan yang mendatang.

"Saya tahu dalam peringkat umur remaja seperti kita ini, kita sememangnya ingin mencuba sesuatu yang baru, ingin bebas dan berdikari setakat mana yang kita mampu.

"Tapi nasihat saya, manfaatkan masa anda sebaiknya dan jangan sesekali terbabit dengan perkara-perkara yang memudaratkan. Jauhi dadah!"





Monday 15 November 2010

Petrus Martin dan MTV Karaoke

Boyd PV
DALAM kalangan penggemar lagu-lagu Kadazan, nama Petrus Martin (gambar) bukan satu nama yang asing. Mula merakamkan lagu sejak 1981, setakat ini, Petrus mempunyai himpunan lebih 50 buah lagu yang dirakamnya untuk siaran di RTM Sabah.
Tapi tidak seperti kebanyakan penyanyi lain, sepanjang tempoh bergelar penyanyi, Petrus hanya sekali pernah menghasilkan album, itupun dalam bentuk kaset yang dihasilkannya pada tahun-tahun awal kemunculannya di persada seni tempatan.
"Bukan tidak ada niat dan minat (untuk menghasilkan album) tapi hasrat itu terpaksa dipendam apabila memikirkan soal masa dan kos," katanya.
Biarpun tidak ada album baru, lagu-lagunya, termasuk lagu popular berjudul Mohoing (Ibu Bapa), masih boleh didengar dalam siaran Bahasa Kadazan di Sabah Vfm.
"Sekarang ini, saya sedang dalam proses menghasilkan album MTV Karaoke yang menghimpunkan 10 lagu popular saya.
"Tiada jangka waktu tertentu bila album MTV Karaoke itu akan berada di pasaran tapi saya menjangka ia akan menemui peminat pada suku pertama tahun depan," katanya.
Petrus berharap perancangannya itu akan menjadi kenyataan kerana seperti penyanyi lain, dia juga ingin memiliki satu produk bermutu untuk dikongsi dengan peminatnya.
Petrus ketika ini bergerak bersama kumpulan muziknya, Papar Production House, yang aktif menerima undangan membuat persembahan dalam majlis-majlis tertentu khususnya di Papar.
  
 

Dilema sang juara

Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com
PADA umur semuda 11 tahun, Presley Petrus sudah pun mencipta kejayaan terbesar dalam hidupnya setakat ini dengan menjuarai sebuah pertandingan nyanyian di peringkat kebangsaan – Bintang Kecil 2010 anjuran RTM.
Lalu, apa lagi pentas pertandingan nyanyian yang boleh disertainya selepas ini sesuai dengan usia kanak-kanak dan gelaran yang disandangnya?
Diajukan soalan itu kepadanya, dia sekadar menggelengkan kepala. Senyuman tidak pernah lekang di bibirnya.
"Entahlah," jawabnya ringkas.
Itulah dilema yang dihadapinya ketika ini. Semangatnya untuk bertanding masih berkobar-kobar tapi pencapaiannya sendiri menyekat keinginannya itu. Enggan dibebani persoalan itu, Presley terus positif dengan masa depan aktiviti nyanyiannya.

Presley bangga memperagakan
piala yang dimenanginya di Kuching

"Sehingga umur saya meningkat remaja nanti, saya mungkin hanya akan menerima undangan menyanyi sahaja. Apabila saya sudah remaja nanti, barulah saya akan kembali memikirkan mengenai pertandingan nyanyian," katanya.
Sejak menjuarai pertandingan Sugandoi Dazanak sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2010 Mei lalu, langkah Presley semakin panjang.
Sebaik pertandingan itu berakhir, dia mula menerima undangan menyanyi di pelbagai majlis anjuran korporat dan kerajaan. Jadual kanak-kanak ini sangat padat hampir setiap minggu. Meskipun memenatkan, Presley tidak pernah mengeluh.
"Menyanyi adalah minat saya. Jadi apabila orang mula menghargai bakat saya dan memanggil (mengundang) saya menyanyi, sudah tentu saya sangat gembira.
"Dan saya lebih bersemangat ketika membuat persembahan kerana saya boleh dapat duit dengan menyanyi. Dulu saya hanya menyanyi di rumah atau majlis perkahwinan di kampung," katanya.
Bakatnya juga semakin menyerlah apabila sekitar Ogos tahun ini, pelajar Tahun 5, SK St Mary, Limbahau, Papar ini diangkat sebagai juara pertandingan Bintang Kecil Peringkat Negeri Sabah 2010 anjuran RTM. Kemenangannya itu membolehkan dia mewakili negeri ini ke Kuching, Sarawak baru-baru ini dan mencipta kejayaan mutlak dalam pertandingan peringkat kebangsaan itu di sana.
Dengan kemenangannya di Kuching, yang membolehkan dia pulang dengan hadiah wang tunai RM8,000 serta piala, mungkin juga ada penganjur acara yang beranggapan mereka kini perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan khidmat kanak-kanak berbakat luar biasa ini sesuai dengan gelaran yang diraihnya. Tapi Presley segera menafikannya.
"Kemenangan saya di Kuching bukan alasan untuk saya demand soal bayaran," kata Presley yang semakin bijak menyusun kata dan tahu apa yang diperkatakannya walaupun usianya masih terlalu muda.
"Sejak saya menang di peringkat negeri dulu (Bintang Kecil), bayaran untuk saya buat persembahan adalah mengikut kadar (yang digunapakai oleh) RTM. Sekarang ini pun sama. Kalau ada perbezaan sekalipun ia masih mengikut kadar RTM.
"Apa-apa pun, soal bayaran ini kena runding (bincang) dengan mummy saya (Magdeline Juanis) kerana dia yang menguruskan aktiviti nyanyian saya. Saya hanya tahu menyanyi," katanya dengan nada ceria.
Memandangkan tahun hadapan Presley akan menduduki UPSR, wujud keperluan untuk dia mengseimbangkan aktiviti seninya yang semakin menuntut banyak masa untuk dilunaskan.
"Saya sedar, sebagai seorang murid, tanggung jawab saya adalah terhadap pelajaran. Tapi saya rasa tidak adil untuk saya kalau saya dihalang daripada terus mengasah bakat nyanyian kerana itu adalah minat saya," katanya sambil menjeling manja ke arah bapanya, Petrus Martin yang menemaninya ketika temu bual ini berlangsung di kediaman mereka di Kampung Novoung, Papar, baru-baru ini.
"Saya akan seimbangkan antara pelajaran dan aktiviti nyanyian. Itu janji saya," katanya yang menggemari rentak balada dan sumazau.
Memandangkan minatnya yang begitu mendalam dalam bidang nyanyian dan muzik, Presley berharap untuk dapat memasuki sebuah sekolah seni di Kuching, Sarawak apabila dia melangkah ke Tingkatan 1 pada 2012 nanti.
"Saya difahamkan ada sebuah sekolah seni di Kuching untuk pelajar Tingkatan 1 hingga 5. Saya sangat berminat untuk menyambung pelajaran peringkat menengah di sana.
Saya dengar, pelajar-pelajar di sekolah itu diajar muzik dan vokal. Alangkah bagusnya jika saya dapat belajar vokal secara formal," katanya yang turut berharap pihak sekolahnya dapat membantu dia merealisasikan impiannya itu.
Menurut Presley, pihak sekolahnya menyokong aktiviti nyanyiannya.
"Semua cikgu saya tahu saya minat menyanyi," katanya yang kerap diminta membuat persembahan apabila ada acara tertentu di sekolahnya.
Bagaimana pergaulan Presley dengan rakan-rakan sekolah yang lain memandangkan anda boleh dianggap berada "dalam liga sendiri"?
"Tidak ada bezanya antara saya dan mereka. Kami semua kawan. Mereka melayan saya seperti kawan-kawan lain," katanya.
Penulis difahamkan, Presley mula menunjukkan kecenderungan menyanyi sejak berumur 4 tahun. Dan sehingga kini, sudah lebih 6 unit pemain VCD karaoke rosak olehnya kerana dia menggunakannya hampir setiap hari tanpa mengira waktu.
"Mana ada!," kata Presley sambil ketawa.
Dan kata bapanya: "Tapi semua itu berbaloi dengan pencapaian yang diraihnya kini. Kami sekeluarga menyokong bakat dan minatnya."
Petrus sendiri adalah seorang penyanyi popular tempatan khususnya di kalangan penggemar lagu Kadazan. (Lihat laporan berasingan).
Dalam masa terdekat ini, Presley akan muncul dengan sebuah single bertajuk Kihoi Sazau Kadazan, ciptaan bapanya.
Lagu berentak sumazau itu sudah pun melalui proses memasukkan vokal. Single itu dijangka menemui pendengar sekitar hujung tahun ini.
"Saya suka lagu itu. Saya harap kawan-kawan (peminat) juga menyukainya," kata Presley yang sangat meminati bakat Sudirman dan Stacy, Hattan, Amy Search serta Elvis Presley.
Tak minat Petrus Martin?
"Dia saya punya influence," kata anak keempat dari lima beradik ini.
 

Clarice terkilan ditipu penganjur acara

Boyd PV
SESEKALI berpeluang duduk bersembang dengan empat artis wanita tempatan yang cantik jelita dan kelakar, memang tidak kering gusi.
Tapi perbualan yang rancak sebelum itu tiba-tiba menjadi serius apabila Clarice mula berkongsi cerita bagaimana dia kerap ditipu penganjur acara dari segi bayaran.
"Sakit hati bila ingat balik tapi saya sudah bosan dengan keadaan seperti itu," katanya.
Menurut penyanyi lagu Adaa ini, bukan sekali dua penganjur acara tidak menunaikan janji mereka kepadanya untuk menjelaskan bayaran mengikut jumlah yang telah dipersetujui.
"Saya bercakap bagi pihak diri saya sendiri… pengalaman saya sendiri. Selama ini saya mendiamkan perkara ini tapi penganjur acara di Sabah semakin menjadi-jadi. Mereka sepatutnya tahu, ini (menyanyi) adalah mata pencarian saya. Menjual suara adalah kerjaya saya.
"Saya dijemput untuk menyanyi, saya datang dan tunaikan tanggung jawab saya sebaiknya untuk menghiburkan tetamu dan pengunjung mereka. Tapi bila saya sudah selesai menjalankan kerja saya, bayaran yang saya terima kurang daripada apa yang telah mereka janjikan.
"Malah lebih teruk lagi, saya pernah pulang tanpa mendapat sebarang bayaran selepas menjayakan satu persembahan. Tolonglah.. saya sudah bosan dengan kerenah penganjur acara yang tidak jujur," katanya.
Clarice mengakui dia tidak terlalu cerewet ketika berurusan untuk undangan menjayakan persembahan.
"Lebih-lebih lagi jika yang memanggil saya itu seorang kawan… orang yang kita kenali. Biasanya, undangan diterima secara lisan tapi ada juga ketikanya saya menerima undangan secara rasmi.
"Tapi bila saya datang dan orang sudah nampak saya perform, mereka (penganjur acara) pula buat helah. Ini yang membuatkan saya terkilan…sangat terkilan."
Terbaru, kata Clarice, dia diundang menyanyi pada satu majlis besar yang berlangsung di Pantai Timur (nama acara didedahkan kepada Hiburan Ekspres).
"Ramai artis membuat persembahan pada acara berskala mega itu. Malangnya, apabila saya sudah selesai menyanyi, bayaran yang sampai ke tangan saya dikurangkan sehingga separuh tanpa sebarang alasan yang kukuh. Kenapa harus jadi macam itu? Adakah kerana saya artis tempatan dan tidak ada sesiapa untuk membela nasib artis tempatan macam kami?"
Malah, tambah Clarice, dia mendapat tahu ada penyanyi tempatan yang turut membuat persembahan pada majlis itu langsung tidak menerima bayarannya daripada penganjur.
"Saya harap keadaan seperti ini tidak akan berterusan," katanya yang kini sedang menimbang semua pilihan yang dia ada termasuk mengambil tindakan undang-undang.
Berdasarkan pengalaman yang dialami oleh Clarice, mungkin juga ada baiknya jika artis-artis tempatan kita yang serius menjadikan bidang hiburan sebagai mata pencarian, memikirkan untuk menubuhkan syarikat pengurusan artis sendiri seperti yang dilakukan oleh Rozza Rothman.
"Saya menubuhkan Rozza Entertainment untuk menjaga kepentingan saya," kata Rozza. Menurutnya, semua urusan membabitkan aktiviti nyanyiannya diletakkan di bawah syarikat itu.
"Saya tidak kisah apa orang nak kata kerana saya yakin kerjaya nyanyian perlu diurus secara profesional bagi mengelak perkara-perkara seperti ini," katanya.