Monday 29 August 2011

Program Raya Labuanfm

 Pengarah Penyiaran Labuanfm, Ramlah Johari (keempat dari kanan), mengabadikan kenangan bersama warga kerja stesen penyiaran itu.
Boyd PVmyyzoom.blogspot.com 

SEMPENA Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Kemerdekaan tahun ini, Labuan fm menyediakan pelbagai rancangan khas untuk pendengar-pendengar setianyanya.

Antara rancangan yang akan disiarkan bermula Hari Raya Pertama ialah Alkisah Puteri Talaga Biru yang akan keudara pada jam 4 petang, Untukmu Wanita (8 malam) dan Tik Tok Tik Tok Raya (9 malam).

Menyusul pada Hari Raya Ke-2 pula ialah Pat Pat Siku Lipat Merdeka Raya (10 pagi) dan Fiesta Lebaran Ria (9 malam).

Teratak DJ Aidilfitri sesi 1 yang memperdengarkan bakat DJ & warga kerja Labuanfm akan menemui pendengar pada Hari Raya Ke-3 (10 pagi) dan Duit Raya Xpress (8 malam).sesi 1 yang memperdengarkan bakat DJ & warga kerja Labuanfm akan menemui pendengar pada Hari Raya Ke-3 (10 pagi) dan Duit Raya Xpress (8 malam).

Pada Hari Raya ke-4, Teratak DJ Aidilfitri sesi dua akan bersiaran pada jam 10 pagi disusuli Sejambak Nostalgia Lebaran pada jam 8 malam. 1001 Ragam Raya akan menyusul pada jam 9 malam.

Antara rancangan lain ialah Xpresi Remaja Edisi Raya (Raya ke-5/jam 10 pagi), Badondang Ria di Hari Raya (4 petang), Serunding Raya Labuanfm (8 malam) dan Raya Dot My (9 malam).

1 2 3 Raya akan disiarkan pada hari raya keenam, jam 10 pagi disusuli Sampul Kreatif Raya (8 malam).akan disiarkan pada hari raya keenam, jam 10 pagi disusuli Sampul Kreatif Raya (8 malam).

Peminat lagu raya genre rock akan dapat mengikuti rancangan Rockafella Raya yang akan keudara pada jam 8 malam, Raya ke-7.

Terkenang kisah hampir lemas menjelang Syawal


Terima kasih daun keladi…

Make-up: Zamrimat Touch (017- 420 9091)

Pakaian: Baju Melayu/Kebaya
dan Dress Kaftan:
Butik Shawn Sinar Sutera. (012 – 677 8961)
Boyd PV

myyzoom.blogspot.com

SYAWAL menjelma diiringi pelbagai kenangan mengusik jiwa. Ada kenangan itu yang membuatkan kita ketawa dan tidak kurang juga cebisan pengalaman hidup yang membuatkan kita lebih menghargai kehidupan yang kita lalui hari ini.

Bagi artis bernama Fauziah Gambus atau nama sebenarnya Fauziah Suhaili, 23, pengalamannya hampir lemas di Sungai Kampung Tengah, Bongawan, sehari sebelum Syawal pada tahun 1994 masih segar dalam ingatannya.

"Jika bukan kerana orang kampung, mungkin saya dan kakak saya sudah tidak ada lagi di dunia ini," katanya.

Kata Fauziah, kejadian itu berlaku ketika dia baru berumur lima tahun.

"Dalam kejadian itu, saya tidak berapa ingat kami dari mana hendak ke mana tapi apa yang saya ingat, saya kononnya mahu tunjuk handal boleh menyeberangi sungai.

"Tanpa saya sedari arus sungai pada waktu itu sangat deras dan tubuh saya yang kecil tidak dapat melawan arus lalu dihanyutkan.

"Kakak saya terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan saya tapi dia turut hanyut. Kami berpelukan, panik dan mula menjerit meminta tolong.

"Kami kemudian diselamatkan oleh penduduk kampung yang terdengar jeritan kami," katanya.

Hampir 18 tahun berlalu, kenangan itu sering menyapa setiap kali Syawal menjelma.

"Jika diimbas peristiwa itu, rasa lucu pun ada. Apapun, saya bersyukur kerana Allah masih memanjangkan usia kami," kata anak kepada pasangan Suhaili bin Daut @ Daud dan Fatimah Bt. Yusof @ Yusup ini.

Saban tahun juga, Fauziah sangat menantikan aktiviti memasang "jujul" (pelita minyak tanah) di perkarangan rumahnya di Kampung Tengah, Bongawan menjelang hari-hari terakhir Ramadan.

Menjelang Syawal, kata Fauziah, kampungnya diterangi cahaya jujul.

"Memang meriah, kalau jujul tiada rasa macam Syawal kurang berseri," katanya yang amat menggemari kuih makmur buatan ibunya.

Biarpun bergelar artis, itu bukan alasan untuk Fauziah berbelanja sakan sehingga membazir.

"Persiapan saya menyambut Raya sederhana sahaja. Selain sehelai dua baju untuk saya, saya juga ada belikan baju Melayu dan baju kurung moden untuk ibu bapa dan adik beradik saya," kata Fauziah yang memilih untuk pulang kampung lebih awal tahun ini untuk dapat berpuasa bersama-sama keluarganya.

Sejak tahun 2007, Fauziah menjadi perantau di Kuala Lumpur di mana ketika itu dia melanjutkan pelajaran di Aswara.

Kini pengajiannya dalam bidang alat muzik Gambus telah tamat tetapi dia memilih untuk terus tinggal di kota metropolitan itu untuk mencari rezeki serta menimba pengalaman dalam industri muzik.

Fauziah juga gigih mencari ruang untuk memperkukuhkan namanya di pentas seni setelah muncul dengan sebuah album yang berjaya mengetengahkan namanya di persada seni pada tahun 2007.

Album terbitan Ampal Production itu memuatkan sembilan buah lagu warisan suku kaum Brunei di Bongawan seperti Zapin Brunei, Ampok-Ampok Bulan, Adai-adai, Dayang Mengalai, Gundah Gulana, Seloka Kasih, Cencang Rabung, Umang Tin Ting dan Naindung.

Empat tahun berlalu, peminat teringin mendengar suara Fauziah mengalunkan lagu-lagu sendiri. Tidak ada perancangan untuk tampil dengan album seperti itu?

Empat tahun berlalu, peminat teringin mendengar suara Fauziah mengalunkan lagu-lagu sendiri. Tidak ada perancangan untuk tampil dengan album seperti itu?

"Saya sebenarnya sedang merancang untuk muncul dengan album kedua yang lebih berkonsepkan pop tradisional. Ketika ini saya sedang menggumpul material dan insya’Allah jika semuanya berjalan dengan lancar, proses rakaman album itu akan bermula selepas Aidilfitri ini.

"Kesemua lagu yang akan dimuatkan dalam album itu adalah gabungan karya saya dan beberapa penulis baru," katanya.

Di awal pembabitannya dalambidang seni, Fauziah sering muncul berseorangan. Tetapi dia kin mempunyai sekumpulan rakan yang kerap membuat persembahan bersamanya.

Mereka berkenalan ketika Fauziah masih menjadi penuntut di Aswara.

Diberi nama Fucia yang membawa maksud "berwarna-warni", ia diketuai Abdillah Firlany @ Fie.

Selain Fie yang bermain akordian dan keyboard, Fucia turut dianggotai Ahmad Haziq Ramli (drum), Mohd Nazrin Ahmad Zabidi atau Yien (bass), Azmir Zin atau Meme (perkusi) dan Mohd Afiq Rosli @ Afiq (gitar utama). Kesemua mereka adalah pelajar jurusan muzik Aswara.

Untuk mendapatkan khidmat Fauziah Gambus, anda boleh menghubungi pengurusnya Shawn (012-677 8961).
 


FAUZIAH bersama kumpulan Fucia yang dianggotai (dari kiri) Afiq, Yien, Fie, Haziq dan Meme.


Thursday 25 August 2011

Clarice rindu arwah adik


Lokasi: Hotel Megah D’Aru,
Tanjung Aru (terima kasih Felix Joikon).
Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

TEMU BUAL ini yang bermula rancak, bertukar sayu apabila Clarice diminta berkongsi kenangan Raya.

Terusik seketika hati kecil pemilik nama penuh Clarice John Matha ini apabila mengimbau kenangan bersama adiknya, Nurfatihah Abdullah @ Lydia John Matha yang pergi buat selamanya pada Disember tahun lalu selepas beberapa tahun bertarung dengan penyakit luekemia.

Setelah diberi ruang untuk menenangkan diri, dengan nada perlahan, Clarice berkata dia amat merindui adiknya itu.

"Dulu, apabila tiba Ramadan, dialah yang paling sibuk menyediakan keperluan kami menyambut Raya terutamanya biskut-biskut Raya.

"Dialah juga yang paling sibuk mengatur segalanya untuk kami menyambut Lebaran. Sebab itulah, tahun ini, kami begitu terasa ketiadaannya," kata Clarice yang mengakui sangat rapat dengan adiknya itu.

"Sangat rapat sehingga anak-anak dia panggil saya mummy."

Sibuk dengan kerjaya barunya sebagai penyampai di stesen radio Suria FM Sabah, Clarice sukar mencuri ruang untuk membuat persiapan Raya tahun ini.

Ditambah lagi dengan kesibukannya melayani kerenah tiga anaknya yang sedang membesar – Khairil Iman (6) dan dua anak kembarnya yang berumur hampir 2 tahun, Nur Aleeya dan Nur Aleesya – hasil perkongsian hidupnya dengan Mike Ibrahim.

"Baju anak-anak pun belum sempat dibeli. Insya’Allah, hujung minggu ini saya akan bawa mereka keluar membeli barang-barang keperluan mereka untuk Raya ini.

"Untuk biskut-biskut Raya, saya tempah sahaja daripada kawan-kawan. Tidak laratlah mahu buat sendiri," katanya.

Tahun ini, mereka sekelurga akan beraya di rumah kakaknya di Kampung Bilit, Sandakan. Lima daripada lapan adik-beradik Clarice memeluk agama Islam. Jadi meriahlah juga sambutan hari raya Aidilfitri mereka saban tahun.

"Anak-anak akan ke Sandakan dulu beberapa hari sebelum Raya. Saya akan menyusul kemudian pada hari raya ketiga kerana saya dan suami dijadualkan bekerja pada hari Raya ini," katanya.

Ketika sesi fotografi, Clarice yang memilih nama Nurul Atiqah Abdullah ketika memeluk Islam tujuh tahun lepas, tetap kelihatan anggun dengan persalinan kebarung rona merah jambu meskipun sarat mengandungkan anak keempatnya.

"Saya dijadualkan melahirkan anak keempat saya pada penghujung Oktober. Sekarang usia kehamilan saya sudah masuk tujuh bulan.

"Sudah tersurat, setiap kali saya mengandung, saya akan melalui bulan Ramadan," katanya sambl tersenyum.

Tiga anaknya yang terdahulu dilahirkan melalui kaedah cesarean section.

"Anak keempat ini juga dijangka akan dilahirkan melalui kaedah yang sama. Saya sedang menunggu nasihat doktor mengenai bila prosidur itu boleh dilakukan.

"Alhamdulillah, kandungan saya sihat. Saya berpuasa setakat mana yang termampu," katanya yang sangat teruja dengan kehamilan ketiganya itu kerana dia bakal mendapat seorang lagi cahayamata lelaki.

"Dapat dua pasang, cukuplah," katanya penuh makna.

Mengenai kerjaya barunya sebagai penyampai radio, Clarice berkata tawaran itu datang bergolek.

"Ia umpama rezeki terpijak. Saya tidak pernah terbayang sebelum ini bahawa suatu hari nanti saya akan menjadi penyampai radio. Alhamdulillah, semua ini rezeki anak-anak."

Menurut Clarice, dia dihubungi oleh Suria fm yang bertanya kepadanya jika dia berminat untuk menjadi penyampai mereka.

"Saya teragak-agak juga untuk menjawab ketika itu kerana minat itu memang ada tapi saya tidak pernah terfikir sejauh itu.

"Mereka minta saya datang audition. Dari situlah kerjaya saya di konti bermula," katanya yang mengakui masih gugup walaupun sudah bersiaran selama tiga minggu.

"Memang tidak mudah untuk menjadi seorang penyampai (radio) kerana banyak perkara perlu kita fikirkan tapi saya harap pendengar dapat memberi saya ruang untuk terus mengasah bakat," kata Clarice.

"Saya bersyukur kerana ada rakan-rakan setugas – Lotter, Dudu dan Rey – yang sentiasa memberikan tunjuk ajar," katanya.

Bagaimana sambutan pendengar setakat ini?

"Alhamdulillah, mereka dapat menerima saya. Pada mulanya pendengar agak keliru dan sering menyangka saya Velvet (Aduk)," kata pelantun lagu Adaa ini.

Setakat ini juga, kata Clarice, kerjaya barunya di stesen radio itu tidak bercanggah dengan aktiviti nyanyiannya.

"Saya bertugas di konti Suria fm dari jam 10 pagi hingga 2 petang, Isnin hingga Jumaat.

"Kalau adapun undangan menyanyi, biasanya ia adalah untuk acara pada sebelah malam, jadi saya tidak nampak wujud konflik dari segi masa.

"Tapi kalau ada undangan di sebelah siang, saya percaya masih ada ruang perbincangan dengan majikan saya," katanya.

Pertengahan tahun ini, Clarice muncul dengan album kompilasi Sri Bayu bersama tiga lagi rakannya, Lydia Kalidin, Rozza Rothman dan Meeda Hamzani.

Itu adalah projek album terakhir yang dijayakannya sebelum menjadi penyampai radio. Tapi entah di mana silapnya, selepas dilancarkan dalam satu acara yang gah, album itu dan lima lagu di dalam tidak menjadi sebutan peminat.

Tanpa lagu baru yang lebih komersil, Clarice tidak bimbang peminat akan melupakan bakat Clarice sebagai penyanyi?
"Saya terfikir juga perkara itu tapi biarlah saya berehat dahulu. Saya pun sedang sarat mengandung jadi apa-apa pun, tunggulah sehingga saya bersalin barulah saya fikirkan perkara itu."

Clarice menambah, ada perancangan untuk syarikat rakaman Skyline menaja pembikinan album terbarunya.

"Semuanya masih di peringkat awal perbincangan," jelasnya.

Clarice juga tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada pembaca akhbar ini yang menyambut perayaan itu. Maaf zahir dan batin, katanya.

"Semoga sambutan Aidilfitri anda tahun ini lebih meriah dan bermakna berbanding tahun lepas.

"Dan kepada seluruh rakyat Malaysia, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-54. Salam 1Malaysia untuk semua."



 

Keningaufm terbit pelbagai program Raya




Boyd PV

myzoom.blogspot.com

SEMPENA Hari Raya Aidilfitri ini yang akan disambut Selasa ini, Stesen Radio Malaysia Keningaufm (Keningaufm) menyediakan beberapa rancangan Khas untuk hiburan pendengar mereka.

Pada Hari raya Pertama Keningaufm Siaran Bahasa Malaysia akan menyiarkan Ceramah Khas Aidilfitri pada jam 7.15 pagi terbitan DJ Aidah.

Ia akan disusuli dengan Rancangan Khas Aidilfitri di Keningaufm bermula jam 8.15 pagi yang akan menampilkan bakat-bakat terpendam kakitangan Keningaufm terbitan DJ Nor.

Rancangan Khas Beraya Bersama Pendengar terbitan DJ Yon akan menyusul pada pukul 9.15 pagi.

Pada jam 2.15 petang pula pendengar berpeluang mengikuti program terbitan DJ Aidah berjudul Rancangan Beraya Bersama Pemimpin Tempatan.

Program lain dalam siaran Murut dan Dusun ialah Panambarasan Aidilfitri (10.15 pagi) dan Tombului Aidilfitri (10.30 pagi). Rencana Aidilfitri disiarkan pada pukul 12.30 tengahari.

Pada Hari Raya kedua, pendengar akan dapat mengikuti Rancangan Khas Istimewa Pilihan Lagu Raya (2-3 petang) sementara Rancangan Khas Siaran Murut Tombului Aidilfitri Terbitan DJ Hakie akan ke udara pada pukul 12.30 tengahari.

Rancangan lain ialah Salam Aidilfitri (Bahasa Malaysia/9.15 pagi) Dusun (11 pagi) dan Murut (1 tengahari).

Sempena sambutan kemerdekaan pula, Rancangan Khas Rencana Kemerdekaan Siaran Murut akan disiarkan pada 30 Ogos 2011 pukul 12.30 tangahari dan dalam Siaran Bahasa Malaysia disiarkan pada pukul 3.00 petang, 31 Ogos.

Keningaufm mula bersiaran sejak 1 Januari 2009 dan boleh diikuti di Keningau dan kawasan sekitar menerusi frekuensi 94.7 mhz.



 


Wednesday 24 August 2011

Dari kami untuk anda.....


...kami mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada semua artis  dan pembaca blog ini yang menyambutnya... 

...maaf zahir dan batin...



tulus ikhlas daripada

Z-o-o-m ! Team


Monday 22 August 2011

Rozza 'melunjur kaki' di bulan Ramadan al-Mubarak

Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

Penaja lokasi:
Horizon Hotel, KK
(terima kasih Johari Mohd Yunus)

SUDAH lumrah bagi mana-mana artis beragama Islam untuk mengurangkan aktiviti nyanyian atau lakonan mereka sepanjang bulan Ramadan.

Pada bulan yang mulia ini, mereka lebih banyak berehat dan memanfaatkan masa untuk beribadah.

Kecuali ada pelawaan untuk terbabit dalam aktiviti amal, mereka pasti akan berbesar hati untuk terbabit sama.

Namun bagi penyanyi Rozza Rothman, tawaran yang datang untuk terbabit dalam aktiviti amal sering bertembung dengan jadual kerjaya tetapnya.

Maka pada bulan Ramadan al-Mubarak ini, setiap masa terluang pada sebelah malam dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat dan beribadah.

"Pada bulan Ramadan inilah saya dapat "melunjurkan kaki", meminjam kata-kata Dayang Noraini (penyanyi)," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Pada bulan-bulan lain, aktiviti nyanyiannya hampir tidak memberi peluang kepadanya untuk mendapat rehat yang cukup.

"Selagi kudrat masih kuat dan selagi orang masih menghargai bakat kita, selagi itulah saya akan bekerja siang malam untuk mencari rezeki," katanya.

Seperti juga orang lain, Rozza membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan Lebaran yang akan disambut minggu hadapan.

"Saya tidak suka terkejar-kejar. Apa yang pasti Rozza Rothman hanya beli sepasang baju raya setiap tahun…," katanya sambil tersenyum.

Menurut penyanyi ini, dari dulu sehingga sekarang, persiapan Rayanya dibuat ala kadar sahaja.

"Walaupun Aidilfitri disambut setahun sekali, itu tidak bermakna kita perlu berbelanja berlebihan sehingga membazir. Lagipun, baju-baju kurung lama saya masih elok," katanya.

Persiapan lain termasuk biskut-biskut Raya juga dibuat ala kadar sahaja.

"Tahun ini saya tidak sempat buat biskut Raya kerana sibuk dengan tugas di pejabat.

"Biskut-biskut Raya saya tahun ini semua ‘biskut tunjuk’," katanya, merujuk kepada biskut-biskut yang dibeli.

"Tidak sempat buat sendiri, saya tempah saja daripada kawan-kawan dan ada juga yang saya beli di bazar Ramadan di sekitar Kota Kinabalu. Biskut-biskut Raya ‘home made" banyak dijual di bazar Ramadan, rasanya pun boleh tahan juga," kata penggemar biskut tart nanas ini.

Tahun ini, Rozza sekeluarga akan beraya di rumah saudara mereka di Kuala Penyu.

"Kami sudah lama tidak beraya di sana, jadi tahun ini abah (Rothman Buntar) mengajak kami balik kampung di Kuala Penyu. Saya dapat bayangkan keseronokan beraya di sana nanti," katanya.

Sudah lumrah bagi orang perempuan, pada hari Lebaran, di mana lagi tempatnya kalau bukan di dapur. Rozza pun sama.

"Tugas saya setiap kali Aidilfitri tiba ialah di dapur…."

Tolong masak atau tolong makan?

"Dua-dua," katanya sambil tergelak besar.

Banyak jenis masakan ala-Melayu boleh disediakan dengan yakin oleh penyanyi ini.

"Tapi saya paling suka memasak rendang sama ada daging atau ayam. Itu kira masakan "trademark" Rozza Rothman ketika menyambut Aidilfitri," katanya berseloroh.

Selain rendang, Rozza juga biasanya akan menyediakan kuah kacang untuk dimakan bersama ketupat.

Mengimbau kenangannya menyambut Raya, menurut Rozza, paling tidak dapat dilupakan ialah ketika dia terpaksa menyambut Aidilfitri di tempat orang.

"Di awal pembabitan saya sebagai penyanyi di pentas nasional dulu, saya tumpang beraya di rumah kawan-kawan kerana tidak dapat pulang beraya.

"Sudah jadi lumrah untuk artis baru mengisi slot-slot hiburan yang disiarkan secara langsung di televisyen kerana artis senior biasanya akan balik beraya di kampung.

"Jadi, untuk hari-hari terawal Aidilfitri, saya biasanya akan menumpang beraya di rumah kawan-kawan.

"Sedih jugalah kononnya waktu itu apabila mendengar takbir Raya bergema. Mengalir jugalah air mata teringat keluarga di kampung.

"Tapi kerinduan itu terubat juga seminggu selepas Raya kerana waktu itu saya baru ada kesempatan balik kampung," katanya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, kata Rozza, semua itu tidak berlaku lagi.

"Sejak saya kembali bertapak di Sabah dan mempunyai kerjaya tetap di sini, saya akan pastikan untuk beraya bersama keluarga saya di Tuaran," katanya yang pernah muncul dengan album kompilasi Sri Bayu baru-baru ini.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam album itu yang menggandingkan dia dengan Clarice John Matha, Meeda Hamzani dan Lydia Kalidin, menurut Rozza, ia bagai memberitahu peminat dan penganjur acara bahawa Rozza Rothman sebenarnya masih aktif menyanyi.

"Dan alhamdulillah, dengan kemunculan album kompilasi itu, rezeki saya bertambah sehingga saya tidak menang tangan untuk memenuhi undangan menyanyi. "Itu semua rezeki yang Allah bagi," katanya.

Ketika ini, Rozza sedang dalam perancangan untuk tampil dengan single terbaru.

"Masih menunggu lagu daripada Ramli Carlo. Saya juga ada minta lagu daripada Asmin (Mudin) tetapi dia tidak dapat memenuhinya buat masa ini kerana kekangan masa.

"Jadi buat masa ini, saya hanya menunggu karya Ramli Carlo. Saya berharap pembikinan single itu akan terlaksana secepat mungkin agar ia dapat perdengarkan kepada peminat sebelum akhir tahun ini."

Ditanya mengenai perkembangan jualan album Sri Bayu, hanya ayat ini yang keluar dari mulut Rozza:

"Oh, yang itu...lepas Raya nanti baru kita cerita."

Nostalgia Lebaran Jass Pok Silap

Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

APABILA umur sudah menginjak dewasa, kemeriahan Hari Raya Aidilfitri bagai terbatas kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Tidak semeriah seperti ketika melewati zaman kanak-kanak dahulu.

Itulah yang dirasakan penyanyi lagu Pok Silap, Jass.

Pada umur 33 tahun, kemeriahan menyambut Hari Lebaran bagi anak kelahiran Kampung Pirasan, Kota Belud ini jauh berbeza. Puas dicarinya perasaan yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu namun tidak ditemui. Semuanya sudah lama berlalu, yang tinggal hanyalah nostalgia indah.

"Saya fikir ia satu perkara lumrah dan seiring dengan pertambahan usia. Rasanya orang lain pun begitu juga.

"Seingat saya, waktu zaman kanak-kanak dulu, beberapa hari menjelang Hari Raya Aidilfitri, saya sudah dapat merasakan kemeriahan sambutan itu.

"Malah momentum itu mula terbina sejak dari awal Ramadan lagi," katanya sambil memandang ke luar tingkap. Jauh fikirannya menerawang.

Sekarang ini, katanya, dia hanya akan dapat merasa kemeriahan itu apabila mendengar lagu-lagu klasik Raya ketika berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai sambil menikmati juadah Raya.

"Suasana itu mengembalikan nostalgia saya ke zaman kanak-kanak dan remaja," kata Jass.

Mengimbau kenangan silam ketika menyambut Lebaran, seperti kanak-kanak lain, Jass sangat suka bermain bunga api.

"Kalau sudah pegang bunga api, tidak ingat dunia," katanya sambil tergelak.

Jass juga terkenang kisah dia berjalan keliling kampung menggumpul duit raya bersama rakan-rakan.

"Saya rasa sangat seronok waktu itu. Bersama kawan-kawan sekampung, kami bergerak dari rumah ke rumah semata-mata untuk menggumpul duit raya… bukan mahu makan pun. Jamah kuih sikit-sikit, tunggu dihulur duit raya lepas itu kami ke rumah sebelah pula," katanya.

Menurut Jass, paling seronok ketika kanak-kanak, dia pernah menggumpul duit Raya sehingga mencecah RM50.

"Dulu waktu budak-budak, nilai RM50 macam RM5,000. Sudah tentulah saya rasa sangat seronok," katanya.

Ketika remaja pula, Jass pernah berkonvoi dengan rakan-rakannya sehingga 6 – 7 buah kereta untuk bertandang ke rumah orang.

"Bayangkan riuhnya suasana waktu itu. Tuan rumah pun agaknya susah hati tengok kami datang," katanya sambil tergelak besar.

Jass menambah, setiap kali Lebaran tiba, tugas hakikinya ialah memasang tabir.

"Kalau bikin biskut memang saya tidak pandai... saya hanya pandai tolong makan saja. Tapi kalau pasang tabir…itu bidang ‘kepakaran’ saya sejak dulu," katanya berseloroh.

Seperti tahun-tahun lepas, Jass bercadang untuk balik kampung pada subuh Hari Raya pertama tahun ini bersama tiga adiknya.

Jass menetap di Kampung Laya-Laya di Tuaran bersama keluarganya.

"Mengikut perancangan kami… ahli keluarga lain balik awal, kami berempat akan menyusul pada subuh Hari Raya pertama. KB (Kota Belud) bukan jauhpun, masih sempat untuk ke masjid.

Lepas sembahyang solat sunat Aidilfitri, Jass akan berkumpul di rumah keluarga sebelah ibunya di Kampung Pirasan. Pada sebelah petangnya, mereka akan menziarahi kubur saudara mara di kampung yang sama sebelum berkonvoi ke rumah keluarga sebelah bapanya di Kampung Pandasan, juga di Kota Belud.

"Tapi kami sekeluarga biasanya tidak akan lama di kampung. Masuk Raya ketiga, kami selalunya beraya di Tuaran pula," kata penyanyi ini yang menggemari juadah rendang ayam masakan ibunya serta air bandung yang disediakan makciknya.

Melihat kepada gambar Jass yang tertera di ruangan ini, mungkin ramai pembaca akan segera mengaitkan Jass dengan Felix Agus.

Itu tidak dapat dielakkan kerana selain menyanyi, Jass masih menguruskan kerjaya nyanyian Felix yang kini semakin sibuk dengan tugasnya sebagai penyampai radio di KKfm.

Lagu Pok Silap nyanyian Jass, yang turut menampilkan kumpulan Jiaja, pernah bertakhta di hati peminat sekitar tahun 2009.

Bagaimanapun, Jass tidak banyak mendapat publisiti menyebabkan peminat tidak begitu mengenalinya.

"Saya akui perkara itu. Tapi saya tidak terasa hati asalkan lagu saya mendapat tempat di hati pendengar.

"Keadaan itu berlaku mungkin disebabkan oleh diri saya sendiri.

"Saya tidak pandai menarik perhatian media untuk menemubual saya," katanya yang kini turut sibuk menguruskan syarikat yang ditubuhkannya bersama Felix, D’Sulap Entertainment.

Perkembangan terbaru penyanyi ini, khabarnya dia telah pun menubuhkan sebuah kumpulan diberi nama Ramaianti (Aramai Ti dalam bahasa Bajau).

Selain Jass selaku vokalis, kumpulan itu turut dianggotai Achai (violin), Anif (bass) Bujal (drum) dan Jai (gitar utama).

"Single pertama kami Bisa Kah Aku Bertanya akan dipromosikan, insya’Allah, selepas Raya," katanya.

Album penuh sedang dalam pembikinan, tambah Jass.

Sunday 14 August 2011

Timba ilmu..



SEKUMPULAN pelabur dan penanam gaharu dari Sabah mengabadikan kenangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Agarwood Network (Thailand) Co. Ltd, Auma Cheawang (tengah) dan Pengarah Projek dan Perancangan syarikat itu, Muhammad Ismail Lohmoh (keempat dari kiri) ketika kumpulan itu melawat sebuah ladang penanaman gaharu di wilayah Trat, Thailand, baru-baru ini.

Lawatan dari 5 – 8 Ogos itu adalah untuk mendedahkan kepada peserta lawatan mengenai potensi dan teknologi terkini penanaman gaharu yang semakin berkembang di negara jiran itu. – Boyd PV