Monday 22 August 2011

Rozza 'melunjur kaki' di bulan Ramadan al-Mubarak

Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

Penaja lokasi:
Horizon Hotel, KK
(terima kasih Johari Mohd Yunus)

SUDAH lumrah bagi mana-mana artis beragama Islam untuk mengurangkan aktiviti nyanyian atau lakonan mereka sepanjang bulan Ramadan.

Pada bulan yang mulia ini, mereka lebih banyak berehat dan memanfaatkan masa untuk beribadah.

Kecuali ada pelawaan untuk terbabit dalam aktiviti amal, mereka pasti akan berbesar hati untuk terbabit sama.

Namun bagi penyanyi Rozza Rothman, tawaran yang datang untuk terbabit dalam aktiviti amal sering bertembung dengan jadual kerjaya tetapnya.

Maka pada bulan Ramadan al-Mubarak ini, setiap masa terluang pada sebelah malam dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat dan beribadah.

"Pada bulan Ramadan inilah saya dapat "melunjurkan kaki", meminjam kata-kata Dayang Noraini (penyanyi)," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Pada bulan-bulan lain, aktiviti nyanyiannya hampir tidak memberi peluang kepadanya untuk mendapat rehat yang cukup.

"Selagi kudrat masih kuat dan selagi orang masih menghargai bakat kita, selagi itulah saya akan bekerja siang malam untuk mencari rezeki," katanya.

Seperti juga orang lain, Rozza membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan Lebaran yang akan disambut minggu hadapan.

"Saya tidak suka terkejar-kejar. Apa yang pasti Rozza Rothman hanya beli sepasang baju raya setiap tahun…," katanya sambil tersenyum.

Menurut penyanyi ini, dari dulu sehingga sekarang, persiapan Rayanya dibuat ala kadar sahaja.

"Walaupun Aidilfitri disambut setahun sekali, itu tidak bermakna kita perlu berbelanja berlebihan sehingga membazir. Lagipun, baju-baju kurung lama saya masih elok," katanya.

Persiapan lain termasuk biskut-biskut Raya juga dibuat ala kadar sahaja.

"Tahun ini saya tidak sempat buat biskut Raya kerana sibuk dengan tugas di pejabat.

"Biskut-biskut Raya saya tahun ini semua ‘biskut tunjuk’," katanya, merujuk kepada biskut-biskut yang dibeli.

"Tidak sempat buat sendiri, saya tempah saja daripada kawan-kawan dan ada juga yang saya beli di bazar Ramadan di sekitar Kota Kinabalu. Biskut-biskut Raya ‘home made" banyak dijual di bazar Ramadan, rasanya pun boleh tahan juga," kata penggemar biskut tart nanas ini.

Tahun ini, Rozza sekeluarga akan beraya di rumah saudara mereka di Kuala Penyu.

"Kami sudah lama tidak beraya di sana, jadi tahun ini abah (Rothman Buntar) mengajak kami balik kampung di Kuala Penyu. Saya dapat bayangkan keseronokan beraya di sana nanti," katanya.

Sudah lumrah bagi orang perempuan, pada hari Lebaran, di mana lagi tempatnya kalau bukan di dapur. Rozza pun sama.

"Tugas saya setiap kali Aidilfitri tiba ialah di dapur…."

Tolong masak atau tolong makan?

"Dua-dua," katanya sambil tergelak besar.

Banyak jenis masakan ala-Melayu boleh disediakan dengan yakin oleh penyanyi ini.

"Tapi saya paling suka memasak rendang sama ada daging atau ayam. Itu kira masakan "trademark" Rozza Rothman ketika menyambut Aidilfitri," katanya berseloroh.

Selain rendang, Rozza juga biasanya akan menyediakan kuah kacang untuk dimakan bersama ketupat.

Mengimbau kenangannya menyambut Raya, menurut Rozza, paling tidak dapat dilupakan ialah ketika dia terpaksa menyambut Aidilfitri di tempat orang.

"Di awal pembabitan saya sebagai penyanyi di pentas nasional dulu, saya tumpang beraya di rumah kawan-kawan kerana tidak dapat pulang beraya.

"Sudah jadi lumrah untuk artis baru mengisi slot-slot hiburan yang disiarkan secara langsung di televisyen kerana artis senior biasanya akan balik beraya di kampung.

"Jadi, untuk hari-hari terawal Aidilfitri, saya biasanya akan menumpang beraya di rumah kawan-kawan.

"Sedih jugalah kononnya waktu itu apabila mendengar takbir Raya bergema. Mengalir jugalah air mata teringat keluarga di kampung.

"Tapi kerinduan itu terubat juga seminggu selepas Raya kerana waktu itu saya baru ada kesempatan balik kampung," katanya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, kata Rozza, semua itu tidak berlaku lagi.

"Sejak saya kembali bertapak di Sabah dan mempunyai kerjaya tetap di sini, saya akan pastikan untuk beraya bersama keluarga saya di Tuaran," katanya yang pernah muncul dengan album kompilasi Sri Bayu baru-baru ini.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam album itu yang menggandingkan dia dengan Clarice John Matha, Meeda Hamzani dan Lydia Kalidin, menurut Rozza, ia bagai memberitahu peminat dan penganjur acara bahawa Rozza Rothman sebenarnya masih aktif menyanyi.

"Dan alhamdulillah, dengan kemunculan album kompilasi itu, rezeki saya bertambah sehingga saya tidak menang tangan untuk memenuhi undangan menyanyi. "Itu semua rezeki yang Allah bagi," katanya.

Ketika ini, Rozza sedang dalam perancangan untuk tampil dengan single terbaru.

"Masih menunggu lagu daripada Ramli Carlo. Saya juga ada minta lagu daripada Asmin (Mudin) tetapi dia tidak dapat memenuhinya buat masa ini kerana kekangan masa.

"Jadi buat masa ini, saya hanya menunggu karya Ramli Carlo. Saya berharap pembikinan single itu akan terlaksana secepat mungkin agar ia dapat perdengarkan kepada peminat sebelum akhir tahun ini."

Ditanya mengenai perkembangan jualan album Sri Bayu, hanya ayat ini yang keluar dari mulut Rozza:

"Oh, yang itu...lepas Raya nanti baru kita cerita."

No comments:

Post a Comment