Wednesday, 21 November 2012

Panel kaca ‘Bonda Maria’ dipindah ke Klang

PEKERJA sedang menanggalkan panel kaca di SDMC Subang Jaya.
PANEL kaca di Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC), yang mempunyai satu imej menyerupai Bonda Maria, telahpun dipindahkan ke sebuah gereja Katolik di Klang.

Dalam satu kenyataan, Sime Darby Bhd berkata dua panel dari Menara Utara kompleks hospital berkenaan telah diturunkan dalam satu operasi selama 95 minit yang bermula pada jam 10 pagi, Selasa lepas (20 Nov).

“Salah satu panel itu mempunyai tanda yang sesetengah orang dakwa menyerupai gambar artistik Bonda Maria, ibu Yesus,” kata syarikat itu.

Sesetengah saksi juga mendakwa mereka melihat satu lagi imej mula terbentuk di salah satu tingkap di sebelah bawah, yang didakwa menyerupai wajah Yesus.
Syarikat itu menegaskan bahawa kerja-kerja memindahkan panel kaca itu dilakukan oleh profesional dan dengan penuh berhati-hati.
DUA panel kaca itu disimpan di chapel
Gereja Our Lady of Lourdes di Klang 

“Pemimpin-pemimpin gereja dan orang awam di kariah Subang Jaya hadir menyaksikan kerja-kerja menurunkan panel tingkap itu,” menurut kenyataan itu.

Panel itu dialihkan ke Gereja Our Lady of Lourdes di Klang.

Ratusan orang menyaksikan proses menanggalkan panel kaca itu dan ramai yang menggunakan telefon bimbit untuk merekod kejadian itu.

Sementara itu di KLANG, penganut agama Katolik berpusu-pusu datang ke gereja itu sebaik tersebar berita mengenai panel kaca itu dibawa ke sana.

Kedua-dua panel itu disimpan di sebuah chapel, di belakang gereja berkenaan.

Paderi kariah, Rev Fr Michael Chua berkata panel-panel itu boleh dilihat orang awam dari jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Penganut Katolik dilihat memegang rosari dan berdoa secara senyap. Ramai juga dilihat mengambil gambar panel itu.

Pesara Michael Ghana berkata ini adalah kali kelima dia melihat imej berkenaan. Sebelum ini dia sudah empat kali melihatnya di SDMC.

“Hari ini, imej itu semakin terang berbanding biasa. Ia satu keajaiban,” katanya.

Patimary Anthony Raju, 58, berkata dia sangat gembira kerana panel itu dialihkan ke gereja kariahnya.

“Saya dapat rasakan kehadiran Bonda Maria apabila berdoa,” katanya.


Untuk teks dalam bahasa Inggeris, klik di sini.



No comments:

Post a Comment