Tuesday, 6 November 2012

Penuntut UMSKAL ungguli LaVOC 2012


SENTILINA (tengah) diapit oleh Cherril (kanan) dan Siti Asiah.
HAMPIR 300 penonton yang membanjiri perkarangan premis Victoria Island Club Labuan menjadi saksi apabila Sentilina Jamurang diumumkan sebagai juara Labuan’s Voice Of Champ 2012 atau LaVOC musim pertama baru-baru ini.

Sentilina, berasal dari Kota Marudu, Sabah yang kini belajar di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dalam jurusan pengajian Kewangan Islam berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM1,000 beserta trofi dan sijil.

Peserta ini juga turut dipilih selaku pemenang Vokal Terbaik yang membawa hadiah wang tunai RM100 dan trofi.

Gelaran Naib Juara dimenangi gadis Tambunan, Cherril Itchell Henry yang menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM750, trofi dan sijil.

Tempat ketiga pula dimenangi Siti Asiah Supangat, dari Labuan, yang membawa pulang wang tunai RM500 beserta trofi dan sijil.

Kesemua 10 finalis pertandingan itu diadili Peter Anderson selaku Ketua Juri, dan dibantu oleh Chu Kar Seng, Ume Ahmad dan artis Murut terkenal, Apiang Sausun.

Sebelum acara akhir LaVOC 2012 dimulakan, Penaungnya, Christopher Darison mengucapkan terima kasih kepada penderma-penderma yang sudi menyumbangkan dana kewangan, tenaga dan masa kepada penganjur bagi memastikan kejayaan LaVOC 2012.

Beliau yang juga aktivis seni hiburan tempatan berharap pihak penganjur dapat meneruskan hasrat menganjurkan program-program berbentuk hiburan seperti LaVOC agar dapat membantu memeriahkan suasana industri hiburan tempatan, lebih-lebih lagi di Labuan sendiri.

Dalam pada itu, beliau turut memberi penghargaan kepada Pengarah Program, Ronney Ajim serta rakan AJK yang lain kerana berjaya menganjurkan LaVOC serta memberi komitmen yang tinggi terhadap program tersebut.

Terdahulu, Pengarahnya yang juga pemilik Dronncreative, Ronney dalam ucapannya memberi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung lebih-lebih lagi kepada semua AJK LaVOC, Victoria Island Club, IPD Labuan, rakan media cetak, warga FMD, para penderma, artis tempatan, rakan-rakan yang datang jauh dari Kota Kinabalu memberi sokongan kepada LaVOC serta kesemua peserta yang menyertai pertandingan nyanyian itu.

Selain acara menyanyi, turut diselitkan pada malam itu ialah cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah lumayan seperti 10 buah hamper sumbangan CEO Asian Suply Base, Dato Harris Hj Anuar Tan serta dua hadiah utama berbentuk tiket penerbangan pergi balik Labuan-Kota Kinabalu-Labuan sumbangan peribadi Peter Pikul.

Seramai 22 peserta mengambil bahagian dalam saringan LaVOC 2012 yang diadakan malam Sabtu lepas dan hanya 10 finalis sahaja yang terpilih ke peringkat akhir.

Labuan’s Voice Of Champ 2012 dianjurkan oleh kumpulan Dronncreative dengan kerjasama Victoria Island Club.

KESEMUA 10 Finalis mengabadikan kenangan di akhir pertandingan itu.
(Dari kiri) Billy Jay, Elvina Jane, Harlin Ali Hasan, Zek Jas, Sapvren Cullen,
Sentilina, Cherril, Siti Asiah, Joven Arizel dan Hazmi Bongsu.
Sentilina menyanyi dengan penuh penghayatan.
BARISAN juri.
Orang kuat LaVOC 2012 bersama juri.

Sumber
Harian Ekspres
7 November 2012



No comments:

Post a Comment