Friday, 16 November 2012

Culik: Belum ada pihak minta wang tebusan, kata Polis

Hamza
POLIS masih menyiasat motif di sebalik penculikan dua lelaki di estet kelapa sawit mereka di Kampung Manakayang, kira-kira 50km dari pekan Lahad Datu, lewat Rabu lepas. 

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Hamza Taib memberitahu sidang media di pejabatnya di sini pada Khamis, mangsa dikenal pasti sebagai pengurus ladang berusia 33 tahun dan penolongnya, berusia 25 tahun, kedua-duanya adalah ahli keluarga Tong, yang berasal dari Semenanjung dan memiliki estet seluas 100 ekar.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku antara jam 3.30 – 4.30 petang semasa kedua-duanya bekerja dengan dua lagi pekerja di dalam rumah burung walit keluarga tersebut di ladang berkenaan.

Beliau berkata, sekumpulan lima lelaki, salah seorangnya difahamkan memakai topeng, bersenjatakan senapang meluru masuk ke rumah burung walit itu dan mengarahkan mereka berdua keluar.

Kemudian kumpulan itu membawa kedua-dua mangsa berjalan kaki ke sebuah bot kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian lalu menghilangkan diri, selepas menaiki bot itu, ke kawasan laut terbuka.

Kedua-dua pekerja itu, salah seorang daripadanya warga asing, ditinggalkan tanpa sebarang kecederaan.

Penculik juga melarikan beberapa barangan kemas bernilai RM24,000, jam tangan, telefon bimbit serta dua kunci kepada dua pacuan empat roda.

Hamza berkata usaha mencari digerakkan oleh polis pasukan keselamatan lain termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas keluarga mangsa membuat laporan polis di balai polis Cenderawasih, di daerah sama jam 6.45 petang.

Pasukan polis di negara juga turut dimaklumkan tentang kejadian itu, katanya.

Lahad Datu terletak amat dekat dengan pulau Bungao, Filipina.

“Setakat ini (sehingga waktu berita ini ditulis), masih belum ada tuntutan untuk wang tebusan atau panggilan dibuat oleh penculik dan keluarga mangsa. Kami menyiasat perkara ini dari semua sudut, serta pekerja-pekerja di estet tersebut,” katanya, yang percaya ia mungkin bukan kerja orang luar kerana “jika ia dilakukan oleh luar, tiada keperluan memakai topeng.”

Hamza berkata berdasarkan siasatan polis setakat ini kejadian itu hanyalah insiden penculikan dan tiada kaitan dengan politik atau ekstrimis, dan menambah, keadaan keselamatan di Negeri ini masih terkawal.

KM minta orang awam bertenang

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengarahkan polis berusaha sedaya upaya dalam menyelesaikan kes penculikan di Lahad Datu pada Rabu lepas.
Musa
“Pesuruhjaya Polis telah memberikan taklimat kepada saya tentang kes itu dan saya meminta semua pihak berkaitan untuk mengerahkan tenaga mereka dan mengesan di mana mangsa culik terbabit,” katanya selepas menghadiri majlis Maal Hijrah peringkat Negeri di Wisma Muis, pada Khamis.

Musa yang juga Pengerusi Keselamatan Negeri berkata fakta kes tersebut masih tidak jelas dan justeru itu masih terlalu awal untuk menyatakan apa sebenarnya terjadi.

“Sehingga siasatan menyeluruh dibuat, saya meminta orang awam terus tenang dan tidak membuat andaian mengenai kes ini.

“Pihak berkaitan sedang melakukan usaha terbaik mereka untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Sumber:
Harian Ekspres
16 November 2012

No comments:

Post a Comment