Thursday 8 November 2012

Skim insurans untuk artis veteran, kru produksi filem

Rais
KEMENTERIAN Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) merancang mewujudkan skim insurans bagi pelakon dan pemuzik veteran serta kru produksi filem dalam negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil persatuan perfileman dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan bermesyuarat bulan depan bagi membincangkan perkara itu.

“Kita akan bergerak cergas secepat mungkin, pada bulan hadapan kita akan adakan perjumpaan satu lagi, kita berharap cadangan untuk mewujudkan skim insurans tadi dapat dihasilkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat KPKK bersama 20 persatuan perfileman tempatan di Kuala Lumpur, pada Khamis (8 Nov 2012).

Beliau berkata jawatankuasa itu juga akan menyelaras harga jualan produk visual tempatan kepada penyiar dalam negara, di mana rundingan dengan Astro, Media Prima dan RTM akan diadakan dalam masa terdekat.

Rais berkata pendekatan itu diambil demi membantu industri perfileman negara mencapai tahap lebih baik seperti dinikmati industri filem luar negara.

“Misalnya pada tahun lalu filem berbahasa Inggeris, mendapat lebih daripada RM370 juta nilai kutipan, sedangkan filem tempatan hanya sekitar RM112 juta, jadi hal sedemikian kita perlu lihat bagaimana industri filem tempatan ini dapat dibantu dari segi mutu,” katanya.

Beliau berkata terdapat cadangan untuk menyalurkan sebahagian kutipan hasil filem luar negara kepada dana kebajikan serta berbincang dengan pengeluar cakera padat mengenai cara meningkatkan pendapatan penyanyi tempatan.

Mengulas mengenai isu cetak rompak yang kerap berlaku daripada penyiaran filem dan drama di saluran Astro First, beliau berpendapat, tempoh tayangan akhir sesebuah filem di pawagam dan tayangan di saluran itu sepatutnya dijarakkan sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Ini juga harus diputuskan oleh persatuan-persatuan filem dan jika bersetuju, kami boleh mengenakan syarat ini di bawah undang-undang Akta Multimedia,” katanya.

Terdahulu, Rais turut menyampaikan sumbangan dana pengurusan daripada KPKK bernilai kira-kira RM15,000 setiap satu kepada 20 buah persatuan perfileman.

Antara persatuan yang hadir termasuk Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Karyawan Malaysia, Persatuan Artis Cina Malaysia dan Persatuan Seni Pentas India.


Sumber:
Harian Ekspres
9 November 2012




No comments:

Post a Comment