SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Arkib Negara Malaysia cawangan Pulau Pinang sedang menganjurkan pertandingan mencipta video P. Ramlee @ Youtube sempena sambutan Hari Seniman 2012.
Pertandingan itu memerlukan setiap peserta mengetengahkan bakat nyanyian, meniru aksi atau sketsa berkaitan Seniman Agung itu.
Ia dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian Malaysia Pulau Pinang, Jabatan Penerangan Pulau Pinang dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pulau Pinang, menurut laporan BERNAMA pada Khamis (8 Mac 2012).
Penyertaan terbuka kepada semua termasuk warga negara asing bagi kategori solo atau berkumpulan. Tempoh setiap video adalah lima minit.
Syarat lain ialah setiap peserta yang dipilih sebagai pemenang perlu hadir pada majlis sambutan Hari Seniman 2012 pada 8.30 pagi 22 Mac ini di Pulau Pinang dan keputusan pengadil adalah muktamad.
Tarikh tutup penyertaan adalah sebelum atau pada 12 tengah hari 19 Mac ini. Setiap video mesti dimuat naik ke Youtube dan dihantarkan ke alamat e-mel broadbandutara@gmail.com.
Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 untuk pemenang tempat pertama, RM700 untuk tempat kedua, RM500 bagi tempat ketiga dan tiga hadiah saguhati RM100.
No comments:
Post a Comment