Wednesday, 28 March 2012
E Elmar tidak kisah digelar penyanyi kampung
Harian Ekspres
LAGU Main Tapuk-Tapuk dengan lirik komedi bahasa pasar mudah menangkap halwa telinga pendengar tetapi ada pula yang menggelar E Elmar penyanyi kampungan.
Bagaimanapun, gelaran yang dilemparkan kepadanya itu sedikitpun tidak meninggalkan kudis kepada penyanyi berasal dari Kg Montenior, Beaufort dan menetap di Kg Kelatuan, Papar ini.
Tidak terkesan dengan komen-komen negatif itu, langkah E Elmar dalam bidang nyanyian semakin laju.
Terbaru, dia kini sedang mempromosikan single terbarunya, Cinta Gustan.
“Kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Itu saya faham,” katanya ketika diminta mengulas komen nakal itu.
Pemilik nama penuh Ramlee Julain ini selesa dengan apa yang dilakukannya dan menurutnya, dia ikhlas dalam berkarya.
E Elmar percaya semua penyanyi di Sabah berasal dari kampung.
“Rata-rata mengasah bakat dari pertandingan-pertandingan yang diadakan di kampung-kampung.
“Terus terang, saya tidak gemar berselindung di sebalik asal usul saya yang pernah menyanyi dan mengasah bakat di kampung-kampung.
“Sudah nama orang kampung, asal sudah tentu dari kampung juga,” katanya sambil tergelak. Penyanyi ini memang menebal sifat kelakarnya.
Ada yang mengatakan dengan lagu-lagu seperti itu, E Elmar tidak boleh pergi jauh. Apa komen anda?
“Itu saya terima sebagai satu cabaran. Bagi saya, andaian seperti itu tidak boleh digunapakai lagi sekarang. Itu biasanya dilafazkan oleh mereka yang memiliki sifat dengki yang saya nampak masih wujud lagi di kalangan penggiat seni hiburan di Sabah,” katanya.
Merendah diri, E Elmar mengakui lagu-lagu kampungan seperti Main Tapuk-Tapuk itulah yang menaikkan namanya.
“Saya bersyukur kerana lagu Main Tapuk-Tapuk cepat diterima peminat. Ia mengambil masa kurang lima bulan untuk lagu itu naik selepas album saya dipasarkan pada awal tahun 2011.
“Apa yang dapat saya katakan, lagu-lagu kampungan itulah yang membuka pintu rezeki untuk saya membina tapak dalam arena hiburan di Sabah,” katanya positif.
E Elmar bangga kerana lagu Main Tapuk-Tapuk telah membawanya ke Labuan untuk menghiburkan pengunjung Karnival E Dih Dih Bedudun Kita anjuran Radio Malaysia Labuan dan satu acara besar membabitkan syarikat gergasi, Petronas.
Dengan lagu sama, yang dikatakan 'kampungan' itu, dia pernah diundang menghiburkan pengunjung Pesta Bagandang di Beaufort, Pesta Jagung di Kota Marudu, Ekspo Kerjaya melibatkan Suria fm di Kota Kinabalu serta Karnival DBKK.
Malah lagu itu pernah memberi saingan sengit kepada lagu-lagu lain dalam carta lagu tempatan.
Semua itu menyuntik semangat dan keyakinan kepada E Elmar untuk terus menyanyikan lagu-lagu dalam genre itu kerana dia percaya lagu-lagu seperti itu ada kelompok pengikut yang tersendiri.
Bagaimanapun, E Elmar tidak pernah mendabik dada dengan populariti yang datang menerpa.
“Saya masih seperti dulu, mencari rezeki di kantin sekolah, menjalani kehidupan seperti biasa. Harga pun masih boleh runding,” katanya ceria, merujuk kepada soal bayaran membuat persembahan.
Single terbarunya, Cinta Gustan, juga berada dalam genre yang sama.
Ia dicipta oleh komposer/penyanyi Lexband dan khabarnya akan melalui proses penggambaran April ini untuk projek album kompilasi MTV yang memuatkan lagu-lagu terbaru LRX Production.
Album kompilasi MTV itu akan turut memuatkan lagu-lagu nyanyian Rey, Lexband dan Trio.
Tidakkah anda fikir single Cinta Gustan muncul terlalu cepat ketika penangan Main Tapuk-Tapuk masih kuat?
“Saya fikir begini… dua lagu hits lebih baik dari satu. Kalau Cinta Gustan ini diterima peminat sepertimana lagu Main Tapuk-Tapuk, sekurang-kurangnya saya ada dua single yang boleh saya nyanyikan apabila menerima undangan menyanyi,” katanya.
Kenapa anda memilih genre komedi?
“Semuanya berlaku tanpa dirancang. Dalam album MTV Karaoke E Elmar, saya ada muatkan pelbagai genre lagu. Ada juga lagu sentimental malah lagu Murut juga ada. Judulnya Bilin Pupus Ku Dirun.
“Lagu yang saya jangka akan hits juga ada. Tajuknya Siou Daddy, Siou Mummy. Tapi dalam 11 lagu yang saya muatkan dalam album itu, saya sendiri pun terkejut apabila lagu genre komedi (Main Tapuk-Tapuk) lebih cepat diterima peminat,” katanya.
Sampai bila anda akan menyanyikan lagu-lagu dalam genre itu?
“Selagi ada sokongan daripada peminat.”
Nama E Elmar agak pelik. Ada maksud di sebalik nama itu?
“Itu nama saya yang dieja terbalik,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment