Thursday, 22 March 2012

‘Album amal beri kepuasan berbeza’

Ryna (kiri), Marcel dan Esther.

Boyd PV
Harian Ekspres

TERBABIT dalam pembikinan album amal memberi kepuasan berbeza buat Ryna Tongkooh, Marcel Gatisi dan Esther Clement Tubong.

Mereka adalah antara sembilan artis yang menjayakan Album Kompilasi – Projek Amal Artis Sabah. Artis lain ialah Ebi Kornelis, Rozza Rothman, Lydia Kalidin, Clarice John Matha, Clarice Sipanul dan Syra Gom.

“Sejak kemunculan awal saya sebagai artis rakaman pada 2010, saya memang suka, malah pernah terbabit dalam kerja-kerja amal. Jadi apabila penerbit album ini, Nick Tudol, menawarkan kepada saya untuk terbabit dalam projek ini, ia bagai impian yang menjadi kenyataan," kata Esther yang mengakui amat mudah tersentuh melihat penderitaan orang lain.

“Saya tidak mampu membantu secara langsung dengan wang ringgit tapi sebagai penyanyi, saya berharap pembabitan saya dalam album ini akan dapat meringankan bebanan keluarga atau individu yang kurang bernasib baik.

“Kerana itu, saya amat berharap pendengar khususnya dari suku kaum Kadazan, Dusun dan Murut, akan menyokong album ini. Sambil berhibur, kita beramal,” katanya.



“Ada yang minta CD 
percuma. Saya harap 
mereka faham 
bahawa ini adalah 
album amal. Sebahagian 
daripada hasil 
jualan album ini 
adalah untuk 
didermakan 
kepada golongan 
yang memerlukan.” 

Esther, Ryna dan Marcel ditemui ketika penulis meninjau proses rakaman lagu tema Tour of Borneo 2012 berjudul Menyahut Cabaran Destinasi di studio Magus8 Entertainment di Country Heights, dekat Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Album Kompilasi – Projek Amal Artis Sabah memuatkan 10 buah lagu Kadazan, Dusun dan Murut yang sebahagian besarnya dicipta oleh Nick. Ia turut memuatkan muzik minus one untuk setiap lagu.

“Sebenarnya, saya jarang nyanyi lagu ciptaan orang lain. Dan pembabitan saya dalam projek ini memberi peluang kepada saya untuk meneroka keupayaan vokal sendiri dengan menyanyikan lagu ciptaan orang lain,” jelas Esther.

Dalam album itu, Esther menyanyikan lagu Au Ababasan.

“Saya suka lagu itu kerana ia bukan sahaja mencabar vokal saya tetapi turut menuntut saya memberikan luahan emosi yang dalam. Ia sebuah lagu cinta. 

"Tapi istilah cinta itu sendiri sesuatu yang universal. Jadi terpulanglah kepada pendengar untuk menginterpretasi maksud lagu itu,” katanya yang turut gigih mempromosikan lagu Melayunya, Kau Mahukan Ku.

Cuma, kata Esther, dia sedih apabila ada segelintir peminat yang memperlekeh usaha mereka untuk beramal melalui album itu.

“Ada yang minta CD percuma. Saya harap mereka faham bahawa ini adalah album amal. Sebahagian daripada hasil jualan album ini adalah untuk didermakan kepada golongan yang memerlukan.

“Jadi saya harap sangat, sama-samalah kita menjayakan projek ini. Kami telah lakukan yang terbaik dan memerlukan sokongan semua untuk memastikan usaha ini berjaya,” katanya sambil mengakui sudah tidak sabar untuk sama-sama turun padang dan menyerahkan sumbangan itu.

“Itulah sebabnya saya merasakan pembikinan album amal memberi kepuasan berbeza,” katanya.

“Tapi saya terima
tawaran itu dengan
hati yang terbuka
kerana ingin beramal.
Saya gembira kerana
dapat berkolaborasi
dengan mereka”
Dalam pada itu, Ryna mengakui perasaannya berbaur ketika ditawarkan untuk terbabit dalam album itu yang memerlukan dia bergandingan dia dengan penyanyi-penyanyi tempatan yang lebih dikenali.

Tapi didorong oleh keinginan untuk beramal dan pada masa sama mewakili kaum Murut dalam album ini, Ryna menggagahkan diri untuk menerima cabaran itu.

“Siapalah saya untuk digandingkan dengan penyanyi senior seperti Rozza Rothman, Ebi Kornelis, Lydia Kalidin, Esther Tubong, Clarice John Matha dan yang lain. Mereka mempunyai kelompok peminat yang lebih ramai.

“Tapi saya terima tawaran itu dengan hati yang terbuka kerana ingin beramal. Saya gembira kerana dapat berkolaborasi dengan mereka,” kata Ryna, penyanyi dari Tenom yang pernah merakam single dalam bahasa Murut berjudul Lutuh.

“Saya harap pendengar Murut akan menyokong album amal ini,” katanya.

Dalam album itu, Ryna menyanyikan lagu Oko Yak Sangulun ciptaan Jainol Likuran.

Lagu-lagu lain dalam album itu ialah Tiad Om Kaus Ku nyanyian Syra Gom, Linangkas Ku (Clarice John Matha), Pintutunan (Clarice Sipanul), Sopirati-Rati (Lydia Kalidin) Numbur Bah (versi penyanyi lelaki oleh Marcel Gatisi dan versi wanita oleh Clarice John Matha), Oupus Oku Diya (Rozza Rothman), Songkuro Pinodih (Marcel Gatisi), dan Hangadon Diau (Ebi Kornelis).

Songkuro Pinodih adalah buah tangan terbaru Marcel selepas penyanyi itu agak lama menyepi dari sebarang publisiti media.

Bermula di pentas pertandingan Bintang RTM pada 2004 dengan gelaran Bintang Paling Popular, Marcel terus berusaha melakar nama di peringkat nusantara dengan menyertai pertandingan realiti TV, Kontes Dangdut Indonesia (KDI) musim keempat di Indonesia.

Biarpun tidak berjaya ke final, penyertaannya dalam program itu membuka ruang untuk dia dikenali dan mencari rezeki dalam bidang nyanyian di Indonesia dan Brunei.

Tapi di negeri kelahirannya, bakat Marcel seperti dipinggirkan. Hanya sesekali peminat bercakap mengenai singlenya, Langadku Molohing yang dihasilkan tahun lalu.

“Saya akui tidak banyak paparan mengenai kerjaya nyanyian saya di akhbar. Saya sebenarnya tidak suka mengejar publisiti kecuali ada projek yang memerlukan saya bercakap kepada media seperti pembabitan saya dalam album amal ini,” kata Marcel yang dilihat kerap berinteraksi dengan peminatnya melalui laman sosial facebook.

“Menerusi album ini,
saya harap peminat
akan terus menyokong
perjuangan muzik
saya dan lebih
penting lagi, sama-
samalah kita
menyumbang untuk
membantu mereka
yang memerlukan”
Pembabitannya dalam album kompilasi amal itu memberi ruang untuk dia terus mendekati peminatnya.

“Kalau ada rezeki, saya memang teringin untuk merakam album tapi buat masa ini, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk terbabit dalam projek besar ini.

“Menerusi album ini, saya harap peminat akan terus menyokong perjuangan muzik saya dan lebih penting lagi, sama-samalah kita menyumbang untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Pra-pelancaran album itu akan diadakan di BB Café, Jalan Gaya pada 30 Mac ini bermula jam 7 malam.

Sempena majlis itu, kumpulan facebook Album Kompilasi-Projek Amal Artis Sabah (AK-PAAS) menganjurkan pertandingan AK-PAAS FB IDOL yang menawarkan hadiah menarik dan sijil.

Pertandingan itu terbuka kepada semua pembeli album amal itu. Lagu-lagu yang dinyanyikan hendaklah lagu-lagu yang dipetik dari album tersebut.

“Peserta harus merakam lagu mereka dalam bentuk mp3 atau video dan emelkan kepada saya di alamat oyo.marcel@yahoo.com atau inbox di AK-PAAS FRENZ (Album Kompilasi-Projek Amal Artis Sabah). Gambar juga perlu disertakan,” kata Marcel yang menyelaras pertandingan itu.

Tarikh tutup pertandingan ialah pada 27 Mac ini dan Empat peserta yang terpilih akan diminta membuat persembahan pada majlis prapelancaran itu kelak.





No comments:

Post a Comment