Sunday, 11 March 2012

BRTM 2012 tawar sebuah kereta

"Kami percaya Sabah
mempunyai ramai penyanyi
 berbakat besar dan ini
pernah dibuktikan
dengan kemunculan
Azharina Azhar
dan Rey, antara lain"

Mohd Yusni Mohd Ali
Penerbit BRTM 2012

Boyd PV
Harian Ekspres


BUAT kali pertama sepanjang sejarah penganjurannya, Bintang RTM edisi 2012 menyediakan sebuah kereta Chery Tigo bernilai RM79,000 untuk sang juara.

“Ini antara kelainan yang kami bawa kali ini,” kata penerbit pertandingan itu, Mohd Yusni Mohd Ali, yang ditemui sewaktu mengadili uji bakat pencarian peserta Bintang RTM 2012 di perkarangan bangunan RTM di Jalan Tuaran, pada Sabtu.

Selain sebuah kereta, pertandingan itu turut menawarkan hadiah wang tunai.

Selepas agak lama pertandingan itu tidak dianjurkan, uji bakat pada Sabtu itu mendapat sambutan hangat daripada kalangan penyanyi amatur di sekitar negeri ini.

“Kami percaya Sabah mempunyai ramai penyanyi berbakat besar dan ini pernah dibuktikan dengan kemunculan Azharina Azhar dan Rey, antara lain,” kata Mohd Yusni.

“Peserta-peserta yang datang pagi ini (Sabtu) rata-ratanya berbakat besar tapi kami akan terus mencari seramai mana peserta yang mempunyai x-factor untuk dinilai kali kedua di mana 16 peserta terbaik dari seluruh negara diserap ke separuh akhir.

“Bintang RTM 2012 akan mula bersiaran di kaca TV pada 12 Mei ini,” katanya sebelum menambah, hanya lima peserta akan beraksi di final pertandingan itu.

“Jumlah lima peserta di final merupakan satu lagi pembaharuan yang diperkenalkan dalam penganjuran kali ini,” tambahnya.

Berapa ramai peserta dari Sabah akan dipilih?

“Tiada kuota tertentu. Kami tidak memilih jumlah peserta berdasarkan negeri. Kami hanya mencari 16 peserta terbaik dari seluruh negara,” jelas Mohd Yusni.

Berdasarkan sambutan memberangsangkan pada sebelah pagi, penganjur uji bakat itu menjangkakan akan ada lebih ramai peserta mendaftar pada sebelah petang Sabtu dan juga hari ini.

Semakan di kaunter pendaftaran uji bakat pada tengahari Sabtu menunjukkan sekurang-kurangnya 50 peserta telah mendaftar dan sedang menunggu giliran untuk menjalani uji bakat itu.

Bagi anda yang terlepas uji bakat kelmarin, anda masih berpeluang untuk menghadiri uji bakat itu hari ini (Ahad, 11 Mac) yang akan diadakan antara jam 9 pagi dan 5 petang.

Sila hadirkan diri ke perkarangan bangunan RTM Kota Kinabalu di Jalan Tuaran dengan berpakaian sopan dan membawa bersama salinan kad pengenalan serta CD minus one untu lagu yang akan anda nyanyikan.

Peserta juga perlu membawa sekeping gambar berukuran 4R. Borang boleh diperolehi di kaunter pendaftaran.

Uji bakat ini, bagaimanapun, terbuka hanya untuk warganegara Malaysia yang berumur antara 15 dan 25 tahun.

Selain itu, peserta juga mestilah seorang amatur, tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman atau pengurusan dan masih bujang.

Ketika uji bakat kelak, peserta bebas menyanyikan mana-mana lagu yang dihasilkan pencipta tempatan atau antarabangsa sama ada irama pop komersil, balada, rock, R& B, jazz, dangdut dan pop etnik.

Genre trash, punk, heavy metal, black metal dan underground serta lagu-lagu yang tidak diluluskan oleh Rakam Khanah RTM tidak dibenarkan.

Sementara itu, diminta mengulas penganjuran Bintang RTM yang dihentikan selepas 2009, Mohd Yusni berkata ia bagi memberi ruang kepada penganjuran program lain seperti Rentak Juara, Akustik dan Bakat Lukisan, antara lain.

“Atas sebab itu, penganjuran Bintang RTM ditangguhkan dan tahun ini, ia kembali dengan beberapa kelainan untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baru mengetengahkan bakat mereka,” katanya.











No comments:

Post a Comment