Thursday, 8 March 2012

‘Bantu kami untuk membantu mereka’

(Dari kanan) Lydia, Clarice J Matha, Clarice Sipanul
dan Syra memperagakan album mereka.

Boyd PV
Harian Ekspres


DENGAN niat untuk beramal, sembilan penyanyi tempatan bergabung dalam sebuah album yang memuatkan lagu-lagu baru dalam bahasa Kadazan, Dusun dan Murut.

Idea untuk melaksanakan projek murni itu dicetuskan komposer Nick Tudol yang bertanggungjawab menghasilkan kesemua 10 lagu dalam album tersebut, yang turut memuatkan minus one untuk setiap lagu.

Nick Tudol
“Ini adalah sumbangan kecil kami untuk membantu golongan yang memerlukan,” kata Nick, penerbit album itu yang mana sebahagian hasil jualannya kelak akan didermakan kepada individu atau keluarga kurang bernasib baik serta badan kebajikan terpilih di sekitar negeri ini.

“Selain beramal, album ini juga memperkenalkan lagu-lagu baru dan menambah khazanah lagu-lagu tempatan,” jelasnya sebelum menambah, proses menghasilkan lagu dan memilih penyanyi dibuat sepanjang tahun lepas.

Penyanyi yang terbabit dalam projek Album Kompilasi – Projek Amal Artis Sabah itu ialah Clarice John Matha, Ebi Kornelis, Marcel Gatisi, Esther Clement Tubong, Rozza Rothman, Lydia Kalidin, Ryna Tongkooh, Clarice Sipanul dan Syra Gom.

Baru-baru ini, Clarice, Lydia, Syra dan Clarice Sipanul bertandang ke pejabat percetakan akhbar ini di Tanjung Aru untuk mewar-warkan kemunculan album tersebut.

Mendengar setiap butir bicara mereka, keempat-empat penyanyi itu jelas cukup teruja dengan peluang yang hadir untuk terbabit dalam album berkenaan yang menelan kos pembikinan sekitar RM14,000.

“Selain dapat merakam lagu baru, saya juga berpeluang untuk beramal kerana sebahagian hasil jualan album ini akan didermakan kepada individu atau keluarga terpilih untuk meringankan bebanan mereka,” kata Lydia yang menyanyikan lagu Sopirati-Rati dalam album itu.

“Saya rasa seronok dan berharap peminat juga akan terhibur dengan nyanyian saya dalam album ini,” tambahnya.

Untuk rekod, lagu itu pantas memanjat anak tangga Carta Rojak KKFM.

Clarice John Matha pula berkata pembabitannya dalam album itu adalah sesuatu yang tidak disangka memandangkan namanya tidak berada dalam senarai awal artis yang terbabit.

“Tapi saya tidak mengambil masa yang panjang untuk memberikan persetujuan apabila Nick menghubungi saya untuk mengisi tempat orang lain.

“Dan saya bersyukur kerana mengambil keputusan itu. Dari segi pendapatan, saya tidak mengharapkan album ini akan memberikan saya pulangan yang tinggi kerana artis yang terlibat hanya mendapat peratusan yang kecil daripada harga jualan album.

“Tapi saya perlu melihat jauh ke hadapan melangkaui soal bayaran. Ini adalah album amal jadi bayaran yang diterima tidak pernah menjadi perkara utama,” katanya. Clarice menyanyikan dua lagu dalam album itu – Linangkas Ku dan Numbur Bah (versi penyanyi wanita).

Dua penyanyi yang sudah lama menyepi dari bidang nyanyian, Syra Gom dan Clarice Sipanul juga mempunyai sebab untuk merasa sangat teruja.

Album Kompilasi Projek Amal Artis Sabah ini membuka pintu untuk mereka membuat kemunculan semula di persada seni suara tempatan dan mengubati kerinduan peminat terhadap lagu-lagu mereka.

Satu ketika dulu, lagu-lagu mereka, Au Zou Kaanu Mamalati Diau (Clarice Sipanul) dan Kahangadan Soumul-Umul (Syra) pernah menjadi siulan peminat sebelum mereka menyepi untuk memberikan tumpuan kepada perkara lain.

Clarice Sipanul aktif menyanyi sekitar awal tahun 1990-an sementara Syra pada pertengahan 1990-an.

“Saya rasa sangat gembira kerana diberi peluang untuk terbabit dalam album ini,” kata Syra.

Clarice Sipanul pula mengharapkan sokongan, khususnya dari kalangan etnik Kadazandusun dan Murut, untuk membeli album tersebut sambil beramal.

“Sama-samalah kita membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam album itu, Syra menyanyikan lagu Tiad Om Kaus Ku sementara Clarice Sipanul diberi tanggungjawab memberikan jiwa kepada lagu Pintutunan.

Lagu-lagu lain dalam album itu ialah Numbur Bah (versi penyanyi lelaki) oleh Marcel Gatisi, Oupus Oku Diya (Rozza Rothman), Au Ababasan (Esther Clement Tubong), Songkuro Pinodih (Marcel Gatisi), Oko Yak Sangulun (Ryna Tongkooh) dan Hangadon Diau (Ebi Kornelis).

Ebi
Biarpun Ebi bukan dari suku kaum Kadazan, kesungguhannya untuk menyanyikan lagu Hangadon Diau persis penyanyi Kadazan tulen wajar diberi pujian.

Dengan sebutan yang jelas, pendengar pasti akan yakin dengan nyanyiannya.

Lari dari jalur muzik Kadazan yang biasa didengar, Hangadon Diau menawarkan pilihan kepada peminat lagu bahasa tempatan yang inginkan muzik agak ke hadapan.

Rozza pula, dalam laman sosial facebook, memohon kerjasama daripada rakan-rakan dan kenalan untuk memberikan kepadanya nama-nama individu atau keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik untuk menjadi benefisiari kepada sumbangan amal dari hasil jualan album itu.

Berikut antara catatan Rozza dalam status facebooknya:

Rozza
    “Saya dan rakan-rakan daripada projek “Album Kompilasi Projek Amal Artis Sabah” bercadang untuk mengadakan lawatan amal ke rumah keluarga-keluarga daif. Ini sudah pernah kami lalukan sebelum ini.
    Sumbangan yang bakal diberikan tidaklah banyak, sekadar dapat membantu mereka menghadapi hidup dengan ‘selesa’ untuk beberapa ketika (yang mereka sendiri tidak pernah rasai sepanjang hayat mereka).
     Kepada yang prihatin untuk turut membantu kami, anda boleh menyalurkan dana dan bantuan tersebut melalui pembelian CD album itu. Bantu kami untuk membantu mereka. Pandang seketika di sekeliling anda, jangan lupakan ‘mereka’... Moga Allah SWT sahajalah yang mampu membalas budi dan amal baik kita di dunia. Jangan lokek barang seringgit dua, ingat janji Allah SWT, DIA akan melipat gandakannya kepada mereka yang ikhlas.”

Penghasilan album itu dipermudah oleh kerjasama yang diberikan oleh Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Datuk Ayub Aman, Datuk Hajiji Mohd Nor, Datuk Seri Ghulam M Sayeed dari Sayfol International School Sabah, Dr Florentius Epin Banaik, Chau Cheng Vun, Kong Soon Yen dan Robert Kamijan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih semua pihak yang telah memberi sumbangan dalam apa bentuk sekalipun,” kata Nick.

Sejak mula dipasarkan secara terus dua minggu lepas, album itu yang mana pra-pelancarannya akan dibuat hujung bulan ini, sudah terjual hampir 600 unit dan khabarnya akan diulang cetak dalam masa terdekat.

Untuk mendapatkan album tersebut, anda boleh berhubung terus dengan artis-artis yang terbabit dalam projek itu atau menerusi laman facebook mereka.

No comments:

Post a Comment