MASIDI (tengah) ketika melancarkan album itu. Bersamanya ialah Fabian (kiri) dan pemilik Pusakag Productions, henry Gumisi) |
Boyd PV
Harian Ekspres
PENGANJUR acara harus ada kesanggupan untuk memberi bayaran setimpal kepada artis tempatan.
Itu pesanan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun kepada mana-mana penganjur acara di negeri ini yang berminat untuk mendapatkan khidmat penyanyi tempatan.
Di peringkat kementerian dan agensinya, kata Masidi, mereka menetapkan bayaran RM2,000 untuk artis tempatan membuat persembahan dalam acara-acara anjurannya.
“Saya berharap mana-mana penganjur acara lain, sama ada syarikat atau jabatan mahupun kementerian lain, akan mengambil langkah yang sama,” katanya ketika berucap melancarkan album sulung penyanyi tempatan, Fabian William di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
“Artis tempatan perlu diberi peluang untuk mendapat pendedahan. Kalau perlu mengundang artis luar, itu tidak mengapa tapi gandingkan mereka dengan artis tempatan,” katanya.
Untuk kelihatan menarik di atas pentas, katanya, artis perlu berbelanja untuk pakaian dan tata rias diri. Sebagai artis, imej mereka perlu kelihatan menarik.
“Selain itu, masa dan bakat mereka juga perlu diambil kira,” katanya.
Di pihak artis pula, katanya, mereka perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dan memberikan mutu kerja yang berkualiti.
“Janganlah pula minta bayaran yang tidak munasabah. Sentiasa merendah diri dan jangan ada perasaan sudah hebat. Ikut resmi padi, makin tunduk semakin berisi,” katanya sebelum menambah, artis juga perlu menambah repertoire lagu mereka dan menjaga disiplin kerja.
Mengulas mengenai album sulung Fabian, Id Pagandadan, Masidi berbangga dengan kualiti album itu dan bakat yang dimiliki artis tempatan seperti Fabian.
“Saya harap beliau dan artis tempatan lain boleh pergi jauh dalam bidang nyanyian.
“Sabah beruntung berbanding negeri-negeri lain di Malaysia kerana kita dianugerahkan ramai bakat nyanyian,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.
Mengenai kesukaran album tempatan menembusi pasaran, Masidi berkata artis rakaman di Sabah harus menerima itu sebagai satu cabaran.
“Antara faktor yang mempengaruhi kesukaran itu ialah bahasa di mana bahasa Dusun atau Kadazan tidak difahami oleh rakyat Malaysia di Semenanjung.
Bagaimanapun, memandangkan muzik adalah sesuatu yang bersifat universal, beliau berharap cabaran itu akan dapat diatasi.
“Bagi saya, bidang seni adalah bidang yang tidak mempunyai bahasa yang khusus,” katanya.
Beliau juga berharap artis rakaman tempatan akan lebih kreatif dalam menghasilkan lagu-lagu berkualiti.
“Apabila artis kita dapat menghasilkan karya yang berkualiti, tidak mustahil negara luar akan menghargai bakat mereka.
“Sebagai Menteri Pelancongan, berdasarkan pengalaman saya, kita ada ramai pelancong luar yang berminat membeli album yang dihasilkan oleh artis tempatan,” katanya.
Super like :)
ReplyDelete