Rusli (tengah) bersama pelakon dan warga kerja Kundasang Rock. |
Harian Ekspres
KETEPIKAN kisah dewan separuh penuh, perjalanan acara yang hambar dengan pengisian yang sangat longgar serta ketidakhadiran pelakon utama lelaki kerana cerita belakang tabir pembikinan dan kecekalan semangat penerbit telefilem Kundasang Rock lebih menarik untuk diketengahkan.
Majlis pelancaran telefilem terbitan sulung Kundasang Rock Production Sdn Bhd itu berlangsung baru-baru ini di Nexus Resort Karambunai.
Berbual dengan penerbitnya Rusli Hj Ahmad di akhir acara, penulis dapat mengesan banyak episod duka dilaluinya dalam menyiapkan telefilem lakonan Felix Agus dan Lydia Anthony itu sehingga memaksa telefilem itu diperam agak lama.
Terjun ke dunia perfileman semata-mata berdasarkan minat tanpa pengetahuan mencukupi telah menjerumuskan Rusli ke dalam satu keadaan yang menekan dirinya.
Rusli |
Kundasang Rock, arahan Gunasegaren Subramaniam, yang pada mulanya menelan kos RM70,000 ketika memulakan penggambaran pada awal 2010 akhirnya dapat disiapkan hampir dua tahun kemudian setelah Rusli menyuntik dana tambahan yang melonjakkan kos keseluruhan mencecah hampir RM150,000.
Pasrah dengan keadaan yang dilaluinya, Rusli percaya ada hikmah di sebalik semua itu.
“Saya buat telefilem kerana minat yang mendalam dalam bidang perfileman dan Kundsang Rock adalah ‘bayi sulung’ saya. Saya meletakkan harapan yang tinggi dalam telefilem ini dan sanggup melabur untuk melihat naskhah yang saya tulis difilemkan.
“Banyak yang saya pelajari daripada pembikinan telefilem ini yang menjadikan saya lebih berhati-hati pada masa hadapan,” katanya dengan tenang.
Setelah melalui proses pembikinan “kali kedua” dengan menggunakan khidmat Bayo Pictures Sdn Bhd milik pelakon/penyanyi P. Dik Ganai, Kundasang Rock akhirnya sudah bersedia menemui penonton.
“Saya sedang berusaha untuk mencari slot siaran di televisyen dan saya yakin saya berjaya kerana Kundasang Rock mempunyai jalan cerita yang menarik selain terselit banyak pengajaran di dalamnya.
“Jika dibuat dalam bentuk VCD, banyak perkara lain perlu saya fikirkan termasuk kemungkinan berdepan dengan masalah cetak rompak dan sebagainya,” kata Rusli yang turut bergiat dalam perniagaan perkhidmatan keselamatan.
Kesukaran yang dihadapi dalam menghasilkan telefilem sulungnya itu tidak membunuh semangat Rusli untuk terus terbabit dalam industri perfileman.
Belumpun telefilem sulungnya itu menemui penonton, lelaki bersemangat waja ini sudah merencana pembikinan sekuel kepada produk sulungnya itu.
“Jika tiada aral melintang, penggambaran Kundasang Rock II akan bermula dalam masa terdekat,” katanya.
Apa yang mendorong penerbit ini begitu bersemangat untuk meneruskan minat dan perjuangannya dalam industri perfileman?
“Saya percaya naskhah (skrip) yang hasilkan sangat menarik. Itu yang memberi kekuatan kepada saya untuk terus berkarya,” katanya.
Ditanya mengenai ketidakhadiran Felix yang merupakan tunjang dalam cerita itu, Rusli memberikan jawapan penuh diplomasi.
“Saya faham dia sibuk dengan komitmen lain,” katanya ringkas.
Selain Felix (sebagai Rock) dan Lydia (Hariati), Kundasang Rock turut dibintangi P. Dik Ganai, Mat Congo, Jamil Aziz, Fran, PT Cowboy, Emily Jay, Troy, Jeganathan Pithavadian, Alime Dahlan dan Naza Hussin, antara lain.
Ia mengisahkan perjalanan hidup seorang pemuda dari Kundasang bernama Rock yang berhijrah ke bandaraya dan bekerja di sebuah resort milik Datuk Kulus, bapa kepada Hariati.
Kehadiran Rock di resort itu tidak disenangi Jarman, Pengurus Besar resort itu kerana Rock pernah menggagalkan rancangan Jarman untuk menipu Datuk Kulus dalam urusan pembelian hartanah.
Bermacam-macam helah digunakan oleh Jarman untuk menyingkirkan Rock termasuklah mengupah sekumpulan samseng yang diketuai oleh Giant.
Plot cerita Kundasang Rock ini menjadi lebih menarik apabila ia turut disulami dengan kisah cinta antara Rock dan Hariati.
Ikuti kesudahan kisah ini apabila telefilem itu menemui penonton kelak.
Antara yang dilihat turut berada di majlis itu ialah Pengarah Eksekutif Kundasang Rock Production Sdn Bhd, Sulaiman Datuk Hj Hamdan, pelakon/pengarah/penerbit T.S. Jeffrey, penerbit Nissay Venture Sdn Bhd, Yassin Mohd Ismail, Pengarah Urusan Skyline, Edward C. K Seah, Ladyonong Nelson dari Lady Boss Group, Master chef Sabri Hassan dan karim Gullam dari Asiarasa Entertainment.
Siapakah penyunting Telemovie KUNDASANG ROCK ?tengok dari Trailer sangat kreatif...
ReplyDelete