Thursday 17 March 2011

Penggiat industri hiburan tempatan adakan pertemuan Sabtu ini

Boyd PV
SUSULAN laporan mengenai kenyataan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Siringan Gubat mengenai industri hiburan tempatan yang disiarkan di ruangan ini sedikit masa lalu, nampaknya artis-artis tempatan Sabah kini mula terdorong untuk bersuara.

Sejak sekian lama, artis-artis tempatan kita merasakan mereka seperti dianaktirikan, tidak mendapat perhatian sewajarnya dan berdepan dengan pelbagai masalah serta kekangan dalam mereka memajukan diri dalam bidang yang mereka pilih itu.

Tambahan lagi, industri hiburan di Sabah tidak terletak di bawah mana-mana kementerian. Dan kerana itulah mereka merasakan seperti tidak mempunyai saluran untuk bersuara walaupun mereka sebenarnya mempunyai sebuah persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Artis Sabah atau Pertisa.

Dan sudah tentu saranan Datuk Siringan mengenai keperluan untuk mewujudkan sebuah persatuan bagi membela artis-artis realiti tv dari Sabah membuatkan penggiat-penggiat seni hiburan bagai disambar halilintar.

Keratan akhbar mengenai laporan itu yang diposkan ke laman sosial Facebook mengundang polemik berpanjangan daripada kalangan penggiat tegar industri hiburan di Sabah – dan pemerhati.

Daripada perbincangan mereka di laman sosial itu, penggiat-penggiat industri hiburan kita dilihat semakin bersatu dalam menyuarakan pandangan dan berkongsi pengalaman sehingga akhirnya tercetus idea untuk mereka berbincang, bukan lagi di alam maya, tapi dalam satu pertemuan.

Itu satu perkembangan yang baik dan diharap akan membawa mereka pergi lebih jauh dalam usaha untuk membela nasib pengiat-penggiat industri hiburan tempatan.

Hiburan Ekspres difahamkan bahawa pertemuan berkenaan akan diadakan Sabtu ini (19hb Mac) bermula jam 7 malam di Bilik Mesyuarat Kejuruteraan, RTM Kota Kinabalu.

Ia akan dipengerusikan oleh penyanyi Sammy Ariffin Khan.

Menurut sumber, selain artis, pertemuan itu dijangka turut dihadiri pengacara, pemuzik, pencipta dan penggubah lagu, penulis lirik, penyusun muzik, pengusaha PA system, pemilik studio rakaman, pelakon, jurukamera, juruaudio, penerbit dan pengarah filem serta telefilem dan pelawak, antara lain.

Pendek kata, pertemuan itu dijangka akan menghimpunkan semua yang terbabit secara langsung dalam industri hiburan tempatan.

Ia bertujuan untuk merangka resolusi yang diserahkan kepada pihak-pihak tertentu yang mereka yakini dapat membantu meleraikan pelbagai kekusutan yang dilalui oleh penggiat seni di Sabah selama ini, kata sumber itu.

Hiburan Ekspres turut mengharapkan apa yang dirancang itu akan menjadi kenyataan kerana membaca polemik mereka dalam laman sosial itu, artis-artis tempatan kita mempunyai banyak perkara untuk dikongsi.

Pertemuan itu adalah medan terbaik untuk mereka bersuara serta berkongsi rasa dan diharapkan mereka yang berkenaan akan dapat meluangkan masa untuk menghadiri pertemuan itu kelak.

No comments:

Post a Comment