Tuesday, 27 March 2012

Felix boikot telefilem lakonan sendiri?

Boyd PV
Harian Ekspres

KETIADAAN Felix Agus pada majlis pelancaran telefilem lakonannya, Kundasang Rock, baru-baru ini mengundang tanda tanya.

Sebahagian peminat yang hadir pada malam itu sanggup mengeluarkan wang untuk membeli tiket dengan harapan untuk melihat Felix menyanyikan secara live.

Tapi itu tidak menjadi kenyataan.

Sejak dari awal acara, tetamu tercari-cari kelibat Felix tetapi sehingga acara itu berakhir beberapa jam kemudian, pelakon utama telefilem itu tidak kelihatan sehingga timbul cerita kononnya Felix sengaja memboikot telefilem lakonannya sendiri kerana masalah tertentu dengan produksi.

Hiburan Ekspres menghubungi pelakon itu untuk mendapatkan komennya.
“Apapun, saya minta maaf kepada peminat dan juga penganjur kerana tidak dapat hadir pada majlis pelancaran itu.

“Ketidakhadiran saya bukannya disengajakan. Ketika itu, saya ada undangan menyanyi di tempat lain dan syarikat produksi itu sudah maklum mengenai perkara itu,” kata Felix.

Kenapa menerima undangan di tempat lain sedangkan Felix sudah maklum mengenai majlis pelancaran telefilem itu?
“Apa yang dapat saya jelaskan, mereka (syarikat produksi) sebenarnya lambat sahkan tarikh itu. Mereka harus faham, menyanyi adalah salah satu sumber pendapatan saya.

“Jadi saya berada pada kedudukan yang sukar apabila mereka tidak dapat memberi kata putus mengenai tarikhnya.

“Sebelum ini pun, saya sudah dua kali menolak undangan menyanyi di tempat lain kerana tarikh itu bertembung dengan tarikh awal pelancaran telefilem itu.

“Tapi akhirnya pelancaran itu terpaksa ditunda atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.


“Bagaimanapun, apabila mereka akhirnya tetapkan tarikh 17 Mac 2012 untuk majlis pelancaran, saya sudahpun menerima deposit untuk buat persembahan di Sandakan.

“Itulah sebabnya kenapa saya tidak hadir, saya bukannya boikot telefilem itu,” katanya.
“Kenapa pula saya sukar dihubungi? Saya di KK saja bah,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan bahawa Felix sukar dihubungi menjelang tarikh pelancaran itu.

Anda dikatakan mempunyai masalah dengan syarikat produksi itu. Sila komen.

FRAN (kanan) turut menguatkan jalan cerita Kundasang Rock.
“Itu semua cerita lama. Memang ada masalah tapi saya sebenarnya tidak suka mengungkit perkara yang sudah berlalu. Soal baju tajaan, soal scene yang ‘beranak’ (bertambah) tapi bayaran tidak ditambah dan banyak lagi. Saya pun malas mengulas perkara ini.

“Apapun saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat produksi itu kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk berlakon dalam telefilem itu. Saya harap peminat akan menonton telefilem itu apabila ianya ditayangkan kelak,” katanya yang turut berdebar menunggu tayangan filem Gerimis Mengundang.

Pembikinan Kundasang Rock II dikatakan akan bermula dalam masa terdekat dan anda dikatakan akan terlibat sama dalam sekuel itu. Adakah anda pernah dibawa berbincang mengenai projek itu?

“Itulah masalahnya. Saya tidak dibawa berbincang. Saya tiada masalah bekerjasama lagi dengan mereka tapi kali ini, jika saya ditawarkan untuk terbabit dalam telefilem mereka, saya mahu butiran kontrak dibuat dengan lebih teliti,” katanya.

Perkembangan terbaru mengenai artis ini, dalam kesibukannya melunaskan tugas sebagai penyampai radio di KKFM, sempat juga Felix masuk studio untuk rakaman album terbaru bahasa tempatan.

“Album itu kelak akan memuatkan lapan buah lagu. Setakat ini proses rakaman sudah 20 peratus selesai,” katanya.

Tapi peminat tidak perlu menunggu lama untuk mendengar lagu terbaru Felix kerana penyanyi itu merancang untuk memperkenalkan satu lagu itu sebagai single.

“Tajuknya belum ada lagi tapi ia akan menemui peminat dalam masa terdekat,” katanya.

Pengurus Komunikasi Pemasaran Nexus Resort Norafiada Ramlee (kiri)
bersama Felix, Fran (kedua dari kanan) dan Lydia




No comments:

Post a Comment