Tuesday, 27 March 2012

Lydia minat jadi pengarah drama


Boyd PV
Harian Ekspres

Lydia .... pelakon sedang meningkat
naik yang bersikap low profile. 
SETAKAT ini, Lydia Anthony sudah berlakon dalam lapan telefilem. Untuk pelakon tempatan seperti dirinya, itu dikira satu pencapaian yang cukup baik kerana umum mengetahui keterbatasan yang mendepani pelakon-pelakon tempatan.

Tapi bagi Lydia, masih banyak yang perlu dipelajarinya.

“Sebagai pelakon, saya tidak pernah puas hati dengan lakonan saya. Apabila menonton trailer tadi (merujuk kepada trailer telefilem Kundasang Rock yang ditayangkan ketika majlis pelancaran), saya rasa saya boleh bawa watak itu dengan lebih baik.

“Tapi saya sudah berikan yang terbaik dan saya harap penonton akan menyukai lakonan saya dalam telemovie itu,” katanya yang dikhabarkan sedang berjinak-jinak dalam dunia pengarahan pula.

Dalam projek terbarunya, telefilem Angan Si Nonong yang akan ditayangkan di TVi, khabarnya Lydia lebih banyak terbabit dalam kerja-kerja belakang tabir.

“Memang betul. Sebagai pelakon, rasanya pengetahuan dalam kerja-kerja di belakang tabir pasti akan banyak membantu,” katanya.

Mungkinkah Lydia sedang membuat persediaan untuk terjun ke bidang pengarahan drama pula?

Sambil tersenyum, Lydia berkata, perkara itu masih jauh untuk difikirkan tapi berharap ia akan menjadi kenyataan.

Dia, bagaimanapun, tidak sempat mengulas lanjut perkara itu kerana diminta masuk ke dalam dewan acara untuk sesi fotografi.

Namun, dia sempat berpesan kepada peminat agar terus menyokong bakat-bakat tempatan baik dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.



No comments:

Post a Comment