Saturday, 7 April 2012

Showcase AK-PAAS meriah

ARTIS-ARTIS AK-PAAS dan tetamu mengiringi persembahan Marcel Gatisi  dalam lagu Numbur Bah.

Boyd PV
Harian Ekspres

MAJLIS pra-pelancaran Album Kompilasi-Projek Amal Artis Sabah (AK-PAAS) yang berlangsung di BB Café, Jalan Gaya, Kota Kinabalu baru-baru ini menyaksikan sokongan yang menggalakkan daripada peminat dan pengunjung premis itu termasuk pelancong luar.

Sepanjang tempoh dua jam acara itu berlangsung, penonton dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu dari album AK-PAAS secara live oleh artis-artis terbabit.

Showcase itu diadakan lebih kepada memperkenalkan album amal itu serta artis-artis terbabit sementara menunggu majlis pelancaran yang belum ditetapkan tarikhnya.

Acara bermula dengan ucapan alu-aluan daripada komposer/penerbit album itu, Nick Tudol.

Nick 
“Projek ini telah membuka mata banyak pihak dan mereka menyokong penerbitan album ini kerana hati mereka tersentuh dengan keprihatinan artis-artis tempatan kita terhadap anggota masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau juga berharap penerbitan album amal itu akan menjadi perintis kepada usaha membantu golongan memerlukan melalui bakat-bakat nyanyian artis-artis tempatan.

“Saya berharap projek ini akan terus mendapat sokongan daripada pendengar. Ini penting agar kita dapat sama-sama berganding bahu dalam usaha membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Nick mengulangi bahawa sebahagian daripada hasil jualan album itu kelak akan disumbangkan kepada golongan memerlukan yang telah dan akan mereka tentukan.

“Pada 7 April nanti (Sabtu), artis-artis AK-PAAS akan melawat dan menyampaikan sumbangan kepada dua buah keluarga masing-masing di Kampung Kopimpinan dan Kg Tanaki di Papar,” katanya.

Pada 14 April pula, artis-artis AK-PAAS dijadual melakukan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Pencegahan Keganasan Terhadap Haiwan, Kota Kinabalu (SPCAKK) bagi membantu usaha persatuan itu membela nasib haiwan-haiwan terbiar dan dianiaya.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Datuk Ayub Aman, Datuk Hajiji Bin Haji Mohd. Noor, Datuk Seri Hj. Ghulam M. Sayeed (Sayfol International School Sabah), Dr. Florentius Epin Banaik, Chaw Cheng Vun, Kong Soon Yen dan isteri serta Robert Kamijan di atas sumbangan mereka dalam pembikinan album ini,” katanya.

Tirai persembahan dimulakan oleh Marcel Gatisi yang menyampaikan lagu Songkuro Pinodih.

Marcel memberikan komitmen yang baik walaupun suaranya kedengaran masih serak kerana menghidap demam.

Esther Clement Tubong kemudian mengambil alih pentas dengan lagu Au Ababasan disusuli lagu Sopirati-Rati oleh Lydia Kalidin.

Persembahan nyanyian diteruskan dengan lagu Linangkas Nu oleh Clarice John Matha dan lagu Murut Oko Yak Sangulun oleh Ryna Tongkooh.

Momentum persembahan menjadi semakin rancak apabila Ebi Kornelis mengambil alih pentas dengan iringan muzik akustik oleh kumpulan Mereejen.

Sebelum menyampaikan single bahasa Kadazan dari AK-PAAS, Hangadon Diau, Ebi menyanyikan lagu terbarunya, Sayang Sabah.

Ketika menyanyikan lagu itu, Ebi turun dari pentas untuk mengajak seorang pelancong luar menari bersamanya.

Rozza Rothman kemudian naik ke pentas untuk menyampaikan single Oupus Oku Diya disusuli Clarice Sipanul dengan lagu Pintutunan.

Gosip mengenai hubungan dingin kedua penyanyi ini atas sebab-sebab tertentu ternyata meleset apabila mereka memberikan pose mesra sambil berpelukan ketika diminta bergambar bersama.

Syra Gom kemudian mencuri tumpuan dalam lagu Tiad om Kaus Ku.

Momentum showcase itu tiba di kemuncaknya apabila Marcel kembali ke pentas untuk menyampaikan antara lagu hits dalam album itu, Numbur Bah.

Ruang hadapan pentas tampak meriah dengan artis AK-PAAS dan tetamu menari sumazau untuk mengiringi persembahan Marcel.

Teruja dengan kemeriahan itu, seorang penonton turut naik ke pentas menemani Marcel hampir sepanjang lagu itu dinyanyikan.

Usai persembahan Marcel, showcase itu diakhiri oleh nyanyian versi wanita lagu yang sama oleh Ryna dan Clarice J Matha.

Berlangsung dalam suasana santai dan menghiburkan, showcase itu selayaknya diberi pujian kerana kualiti persembahan keseluruhan artis-artis terbabit boleh dibanggakan walaupun masih ada ruang untuk peningkatan.

Mungkin disebabkan kesuntukan masa untuk membuat persediaan, ada di kalangan mereka ini masih merujuk kepada lirik walaupun menyanyikan lagu sendiri.


Pengacara majlis, Ateh Wildan, berjaya menyuntik suasana meriah kepada acara itu. Beliau mungkin banyak dibantu oleh pengalamannya menjadi penyampai di radio online Sapsaifm. Bagaimanapun, perasaan yakin itu baik tapi terlebih yakin akan membunuh mood penonton lebih-lebih lagi apabila mereka kerap dipaksa bertepuk tangan.

Secara keseluruhan, showcase itu boleh digambarkan sebagai berjaya mencapai matlamatnya memperkenalkan lagu-lagu dalam album itu sekaligus meraih lebih banyak sokongan untuk kerja amal yang mereka lakukan. Syabas!


NICK (depan, kanan) dan artis-artis AK-PAAS memperagakan album itu.
Bersama mereka ialah pengacara majlis, Ateh Wildan (depan, kedua dari kanan)
Esther Tubong dengan lagu Au Ababasan.
EBI mengajak seorang pelancong menari bersamanya ketika menyampaikan lagu Sayang Sabah.
DENGAN penuh penghayatan, Clarice J Matha menyampaikan lagu Linangkas Nu.

LYDIA mempromosikan album AK-PAAS.

Rozza (kanan) dan Clarice Sipanul memberikan pose istimewa .

RYNA menyuntik kelainan kepada showcase itu dengan lagu Murut, Oko Ya Sangulun.

EBI mengusik bos Sufiafm, Cassie.
ESTHER mengajak seorang pelancong untuk mengiringi persembahan Syra Gom.

Sebahagian daripada penonton yang menyaksikan showcase itu.






2 comments: