Wednesday, 18 April 2012

Ailon Mojilik kongsi kisah hidup dalam dokudrama

Ailon – Tiad Ku di Kosodop sasar temui peminat Julai ini


AILON (depan, kelapan dari kanan) dan P.Dik Ganai (duduk, kiri)
bersama pelakon-pelakon dokudrama itu.
Boyd PV
Harian Ekspres

LANGKAHNYA dalam bidang seni mungkin tidak semudah rakan-rakan artis lain yang seangkatan dengannya. Namun kejituan semangat lelaki lebih separuh abad ini untuk berjuang atas nama seni sukar untuk ditandingi oleh mana-mana artis.

Ailon Mojilik pernah mencipta fenomena dalam bidang seni suara tempatan sekitar pertengahan tahun 1960-an, seangkatan dengan penyanyi Justin Stimol, Minie Inus (mendiang) dan yang lain.

Lagu-lagunya, Tiad Ku Di Kosodop (Tangisan Semalam) dan Oluo Do Soovon (Perit Untuk Dikenang), antara lain, pernah menjadi siulan peminat ketika itu.

AILON (kanan) dan P. Dik
Bezanya dengan rakan-rakan artis lain, Ailon mencipta kemasyhuran dan kegemilangan dalam keadaan dunianya yang serba gelap – dia cacat penglihatan!

Namun, anak kelahiran Kg Nosoob Baru, Penampang ini tidak pernah menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk dia mengejar cita-citanya bergelar penyanyi dan pemuzik.

Mempunyai himpunan lebih 30 buah lagu di RTM Sabah dan memimpin sebuah kumpulan muzik dikenali sebagai The New Generation, Ailon menjelajah ke hampir setiap pelusuk negeri ini untuk menghiburkan peminatnya.

Ailon dan The New Generation merupakan antara kumpulan pemuzik yang paling laris ketika itu malah mereka pernah mengiringi persembahan penyanyi Raja Ema ketika penyanyi itu membuat persembahan di sekitar negeri ini satu ketika dahulu.

Malah sehingga ke hari ini, sesekali lagu-lagu malar segar dendangannya masih kedengaran dalam siaran di Sabah Vfm.

Kini berusia 66 tahun, meskipun tidak lagi aktif menyanyi, Ailon teringin untuk berkongsi dengan peminatnya dan merakam perjalanan suka duka kehidupan yang pernah dilaluinya dalam sebuah dokudrama biarpun Ailon menyedari dia tidak mungkin akan dapat menonton produk yang dihasilkannya dengan kos mencecah RM112,000 itu.

Merealisasikan impiannya yang tersimpan kemas sejak lebih lima tahun lalu, Ailon mendapatkan khidmat pengarah P.Dik Ganai dari syarikat produksi Bayo Pictures Sdn Bhd untuk mengarahkan dokudrama berjudul Ailon – Tiad Ku Di Kosodop.

“Saya harap projek ini apabila siap kelak akan mendapat sokongan daripada peminat-peminat yang pernah merasa terhibur mendengarkan lagu-lagu nyanyian saya.

“Perancangan untuk menerbitkan dokudrama ini sudah ada sejak lima tahun lepas. Tapi saya berdepan dengan banyak kekangan terutama sekali dari segi modal.

“Bagaimanapun, saya sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya projek ini dapat dimulakan dengan menggunakan wang simpanan saya serta sedikit bantuan daripada individu tertentu,” kata Ailon, penerbit eksekutif dokudrama itu.

Ailon ditemui ketika majlis kesyukuran sempena selesai penggambaran dokudrama tersebut di kediamannya di Kg Nosoob Baru, Penampang, baru-baru ini.

Ailon juga mengharapkan dokudrama itu, dan himpunan lagu-lagunya, akan menjadi legasi seninya apabila dia sudah tidak ada kelak.

Kini dalam proses penyuntingan, dokudrama Ailon – Tiad Ku Di Kosodop menjalani penggambaran dari 2 – 14 April lalu di sekitar Kg Nosoob, Babagon dan Kibabaig di Penampang serta beberapa lokasi di Papar.

“Menerusi dokudrama ini, saya berkongsi dengan peminat kisah suka duka yang pernah saya harungi di gelanggang seni, pengalaman penyanyi buta seperti saya yang pernah disanjung oleh peminat tetapi tidak pernah, walau sekalipun, menatap wajah mereka,” katanya yang menghasilkan skrip dokudrama itu bersama P. Dik Ganai.

Clarice John Matha turut berlakon

Apa yang menarik mengenai telefilem berbahasa Melayu ini ialah semua pelakon yang menjayakan dokudrama itu mempunyai kaitan persaudaraan dengan Ailon sendiri.

Dan kecuali Clarice John Matha, kesemua pelakon lain, termasuk Ailon sendiri, tidak pernah ada pengalaman berlakon dan itu memberi cabaran kepada P.Dik Ganai.

Tetapi P.Dik tidak pernah melihat itu sebagai satu masalah yang besar.

“Apabila saya mengambil keputusan untuk membawa masuk pelakon-pelakon baru, saya sedia maklum mengenai kekurangan dalam lakonan mereka. Saya sendiri kena belajar untuk banyak bersabar apabila bekerja dengan mereka kerana yakin dengan bimbingan yang betul, mereka boleh memberikan apa yang saya mahukan.

“Dan saya tidak silap percaturan kerana mereka semua mempunyai bakat lakonan semulajadi yang boleh digilap jika terus diberikan peluang,” katanya.

Untuk watak Ailon sahaja, P.Dik memerlukan empat pelakon untuk latar zaman berbeza iaitu ketika watak Ailon masih bayi, ketika kanak-kanak, pada di zaman kegemilangannya dan dirinya sekarang ini.

“Watak membabitkan kanak-kanak sedikit menyukarkan saya kerana mereka semuanya bersekolah sesi pagi jadi penggambaran hanya boleh dibuat selepas waktu sekolah,” kata P. Dik.

Mendapatkan lakonan terbaik daripada Ailon sendiri juga satu cabaran kerana penyanyi itu tidak boleh membaca skrip.

“Kerana itu saya beri kebebasan untuk dia mengeluarkan dialog yang bersesuaian,” jelas P.Dik yang menggunakan banyak teknik kamera untuk penggambaran kebanyakan babak disebabkan kekangan yang dihadapinya.

Pelakon lain yang menjayakan dokudrama ini ialah Sarah Augustin, Harry Ailon, Benedict Rayner, Mypat Joseph, Joseph P Lolong, Francis Mobijon, Norah Garang dan Francisca Maipok.

Sylvia Augistine, Rosle Yunos, George Doivin, Stephanie Augustin, Aloysius Moinin, Remmy Chia, Richard Augustin, Hybrida May Roger dan Merrly Roger.

Mereka turut dibantu Simeon Rayner, Melvin Gabriel, Nickson Loison, Nicoleson Loison, Alexander Carl, Cornelia Cisca Bernard, Jordon Togium, Charles Liansong, Martin Pinding, Elvin Isos, George P Loling, Danny Vilus, Roni Maidin dan Felix George P Loling.

“Jika tiada aral melintang, dokudrama Ailon – Tiad Ku Di Kosodop akan dilancarkan pada 28 Julai ini di Dewan KDCA, Penampang,” kata P Dik.

Selain telefilem itu, ada satu lagi impian Ailon yang disimpannya sejak sekian lama.

“Sementara saya masih bernafas, saya teringin sekali bertemu dengan kawan yang sudah lama saya tidak temui – Cladius Sundang Alex (kini Datuk).

“Saya mengenalinya sekitar pertengahan tahun 1960-an ketika dia masih lagi bertugas di RTM. Cladius banyak memberi peluang kepada saya untuk muncul dalam rancangan-rancangan hiburan di Radio Sabah ketika itu.

“Saya harap impian saya untuk bertemu dengannya akan tertunai dan berharap akan ada sesiapa yang akan menyampaikan pesan ini kepadanya,” kata Ailon.

No comments:

Post a Comment