Wednesday 18 April 2012

Clarice terharu ditawar bawa watak ibu Ailon

Clarice J Matha


Boyd PV
Harian Ekspres

WATAK Clarice John Matha dalam dokudrama Ailon – Tiad Ku Di Kosodop tidak besar, tapi ia cukup untuk meninggalkan kesan dalam telemovie arahan P.Dik Ganai itu.

Clarice adalah satu-satunya pelakon berpengalaman dan dikenali dalam telemovie itu yang dijadual menemui peminat pada penghujung Julai nanti.

Memerlukan dia bermain emosi dalaman, watak ibu Ailon ketika kanak-kanak memberikan cabaran tersendiri kepada Clarice.

“Bukan tidak pernah melakonkan watak melankolik sebelum ini tapi watak Ugau dalam dokudrama Ailon – Tiad Ku Di Kosodop memerlukan luahan emosi dan penghayatan yang berbeza. Telemovie ini bukan mengenai “saya” tapi ia mengenai “Ailon”. Dan harus wujud connection di antara kedua-dua watak itu.

“Itu juga salah satu sebab kenapa saya menerima tawaran untuk terbabit dalam projek ini kerana ia menawarkan satu kelainan daripada watak-watak yang pernah saya bawakan sebelum ini,” kata Clarice yang tidak memerlukan masa yang panjang untuk menerima tawaran itu setelah membaca skripnya.

“Selepas memberikan persetujuan, saya meminta ruang untuk bersembang dengan Uncle Ailon untuk membolehkan saya menyelami masa ketika dia masih kanak-kanak dan mengharungi usia remaja.

“Itu dapat membantu saya memahami emosi watak Ailon ketika kanak-kanak,” katanya.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang oleh pengarah untuk menjayakan watak ibu kepada Ailon. Sejujurnya, saya harus akui bahawa hati ini amat tersentuh ketika melakonkan watak itu… bagaimana harus seorang ibu itu menerima hakikat bahawa anak yang dilahirkannya dalam keadaan normal akhirnya menjadi buta akibat penyakit demam panas.

“Saya juga seorang ibu dan saya gunakan naluri keibuan itu untuk menghidupkan watak saya, untuk cuba menyelami dan menghayati karektor Ugau dan anaknya, Ailon,” kata Clarice yang sebelum ini pernah muncul dalam beberapa telemovie termasuk Huminodun dan Cinta PTI.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penerbit Uncle Ailon dan keluarganya, rakan-rakan pelakon yang sama-sama menjayakan telemovie itu serta pengarah, P.Dik Ganai kerana mempercayai bakat lakonan saya,” kata Clarice.

No comments:

Post a Comment