Monday 15 November 2010

Kimara diburu promoter

Boyd PV
(boyd_pv@yahoo.com)

KIMARA: (dari kiri Rey, Neil, Owie, Peter, Mark dan Joey

DI KALANGAN pendengar muzik tempatan, nama kumpulan Kimara secara relatifnya masih baharu.
Bagaimanapun, kumpulan ini khabarnya sedang mencipta fenomena di kelab-kelab hiburan sekitar Kota Kinabalu – satu prestasi yang jarang dicapai oleh sebuah kumpulan yang dianggotai anak-anak tempatan yang membesar di kampung.
Itulah istimewanya Kimara yang kini menjadi buruan beberapa promoter yang berminat untuk bekerjasama dengan mereka. Malah temu bual ini terganggu seketika apabila mereka didatangi seorang promoter dari Kota Kinabalu yang datang menjejaki mereka di Kampung Serusop, Tuaran, di mana temu bual ini diadakan.
Dianggotai lima jejaka dan seorang gadis, Kimara baru sahaja menamatkan kontrak menghiburkan pengunjung kelab Siam Thai Bar di Kota Kinabalu selama sebulan sekaligus membuktikan keupayaan anak-anak muda ini untuk bersaing dengan pemuzik-pemuzik luar, terutamanya dari negara Filipina, yang biasanya mendominasi ruang persembahan di premis-premis hiburan eksklusif di Sabah.
Sebelum ini, Kimara berpeluang menghiburkan pengunjung di Edgars, juga di Ibu Negeri.
Kumpulan ini juga sering diundang membuat kemunculan di beberapa kelab lain di Kota Kinabalu. Malah Sabtu ini, mereka akan muncul dalam satu acara hiburan di My Way Café Karaoke and Lounge, Penampang dan pada 23 Oktober nanti, mereka dijadual muncul di D’Junction, Penampang.
Meskipun berkarya dalam ruang lingkup yang agak terhad, ia adalah satu permulaan yang cukup baik bagi kumpulan ini.
Ditubuhkan sejak tahun 2001 tapi tidak menonjol sehinggalah pada pertengahan tahun ini apabila Kimara keluar daripada "persembunyian" mereka di Kampung Serusop, Tuaran bersama beberapa anggota baru yang bakat mereka ‘lebih daripada biasa’.
Kimara dipimpin oleh Peter @ Linggan Dusin, 41 tahun, bermain gitar bass dan penyanyi, Reynaldo Pagie @ Rey (24, gitar kedua/penyanyi), Markus Mark Rundi (25, keyboard/penyanyi), Owie Zahara (23, penyanyi tunggal wanita), Kirby Joey Christe (26, gitar utama/penyanyi) dan Colnief Neil Christe (25, dram/penyanyi).
Kemampuan kesemua anggota kumpulan ini menyanyi dengan baik juga adalah antara kekuatan mereka.
Menurut Peter, sebelum muncul di pentas hiburan komersil, mereka kerap terbabit dalam aktiviti-aktiviti amal untuk menjana hasil bagi membantu aktiviti gereja di daerah mereka.
"Itulah yang kami lakukan sebelum ini, bermain muzik untuk aktiviti-aktiviti amal gereja dan sesekali muncul di khemah-khemah orang kahwin atau pada majlis-majlis keramaian di kampung demi mencari kepuasan dalam muzik.
"Tapi semuanya itu berubah apabila ada pihak yang mula mempercayai bakat kami dan mempelawa kami muncul di kelab-kelab eksklusif serta premis hiburan di Kota Kinabalu," kata Peter.
Setakat ini Kimara mempunyai himpunan lebih 150 buah lagu versi cover, selain lagu sendiri, dalam pelbagai bahasa dan genre termasuk moderate, easy listening dan retro.
"Kami rasakan menyanyi di kelab cukup menguji kerana pengunjung mempunyai latar belakang dan cita rasa muzik yang berbeza," jelas Peter.
"Sebab itulah, sebelum mula muncul di kelab, kami sudah membuat persediaan sewajarnya dengan repertoire lagu-lagu yang bersesuaian.
"Kami bawakan semua jenis lagu, bergantung kepada selera pengunjung," katanya.
"Tapi biasanya kami tidak akan mainkan lagu-lagu yang terlalu agresif kerana ia kurang sesuai untuk tempat seperti itu."
Peter sendiri adalah satu cerita yang menarik. Mula bermain muzik sejak 28 tahun lalu, kerjayanya itu telah membawa pemuzik berbakat ini menjelajah ke beberapa negara termasuk di Singapura (lima tahun) dan China (Hard Rock Café Tour) selama setahun.
Sebelum itu, dia menimba pengalaman berbelas tahun menjaja bakatnya di kelab-kelab ternama di sekitar Kuala Lumpur.
Sebuah kumpulan muzik biasanya sering berhadapan dengan masalah perpecahan. Bagaimana Kimara melihat perkara ini?
"Hanya mati yang akan memisahkan kami," kata mereka hampir serentak.
Mahu atau tidak, untuk lebih memberikan impak, Kimara perlu hadir dengan sebuah album atau sekurang-kurangnya sebuah single yang cukup kuat. Itu percaturannya.
"Kami setuju. Sebab itulah ketika ini kami sedang merancang penerbitan album sulung kami yang kami jangka akan berada di pasaran awal tahun depan.
"Ia akan ditampilkan dalam bentuk mini album dan berkonsepkan tradisional serta fusion contemporary.
"Rakamannya akan kami buat di studio saya di Tenghilan," kata Peter.
Kenapa pilih nama Kimara?
"Kimara adalah gabungan nama dua buah kampung di Tenghilan. "Kim" untuk Kimondou dan "mara" untuk Maradahon," jelasnya sambil menambah ia ada kaitan dengan asal-usul anggota kumpulan itu.
Hala tuju Kimara semakin jelas. Dengan komitmen jitu dan dengan niat yang ikhlas dalam berkarya tanpa terlalu taksub memburu populariti, kumpulan ini dilihat mampu pergi jauh dan menyumbang sesuatu yang bermakna untuk pembangunan industri hiburan di negeri ini.

No comments:

Post a Comment