Monday 15 November 2010

Ebi ligat mengatur langkah...



Boyd PV
boyd_pv@yahoo.com

Gambar oleh Ricardo Unto (Thanks dude!) 

KEMBARA seni Ebi Kornelis bermula di pentas nyanyian. Tapi kebelakangan ini, peminat lebih kerap melihat bakat lakonannya berbanding mendengar alunan suaranya.
Satu demi satu tajuk filem, drama tv atau telefilem menyenaraikan namanya sebagai pelakon, baik sebagai teraju utama mahupun memberi jiwa kepada watak pembantu.
Drama 13 episod lakonannya, Madai Menanti, sedang ditayangkan di TV2 setiap Selasa bermula jam 12.30 tengahari.
Banyak lagi tajuk telefilem dan drama lain yang pernah menggunakan bakatnya termasuk Kinabalu Blues, Link Kedua, Melukut Yang Ganteng, Bambaazon, Igauan Semalam, Lafaz Bukan Mainan, 1 Impian, Kerana Sogit, Taubat dan Dua Kali Aku Mencintaimu.
Ada yang sudah ditayangkan, sebahagian lagi menunggu tarikh siaran malah ada di antara tajuk itu dihasilkan dalam format VCD.
Jejaka tampan ini juga baru kembali dari Negeri Sembilan untuk penggambaran telefilem Maung Cinta Si Pengembala Kerbau terbitan RTM. Telefilem itu turut dijayakan Felix Agus, Noni AF dan Mat Kongo, antara lain.
Ebi juga khabarnya bakal terbabit dalam pembikinan telefilem format VCD berjudul Mr Buragas yang dijadual memulakan penggambaran bulan ini.
Wajar disebutkan juga, tahun lepas filem sulung lakonannya, Sayang You Can Dance muncul di pawagam. Biarpun sekadar mendokong watak pembantu, pembabitannya dalam projek itu menguatkan lagi profail seninya.
Lantas, apabila Ebi semakin sibuk beraksi di depan kamera, peminat mula mengandaikan Ebi sudah melupakan bidang nyanyian yang memperkenalkan namanya ke persada seni.
Tambahan lagi, mereka masih tertunggu-tunggu kemunculan album solo Naib Juara AF5 itu.
"Saya sebenarnya masih aktif menerima undangan menyanyi cuma aktiviti saya tidak banyak dilaporkan di akhbar," jelas Ebi dalam satu temu bual baru-baru ini.
"Mana mungkin saya meninggalkan bidang nyanyian kerana di situlah bermulanya langkah saya dalam bidang seni," tambahnya.
Menurut Ebi, melihat kepada perkembangan semasa industri rakaman album, hatinya belum terbuka untuk tampil dengan album solo.
"Bagi saya, tidak berbaloi untuk menghasilkan album studio kerana umum mengetahui jualan album fizikal ketika ini amat tidak memberangsangkan.
"Sedangkan angka jualan album artis-artis popular di Malaysia pun terjejas, bayangkanlah pula penyanyi yang masih berusaha memperkukuh nama seperti saya. Jangan kata 10,000 unit, 5,000 pun belum tentu boleh lepas.
"Bukan tidak ada keyakinan tapi itulah hakikat dalam industri rakaman album kita ketika ini dan kita perlu akur," katanya.
Bagi Ebi, penghasilan single adalah pilihan terbaik untuk memastikan peminat tidak melupakan bakat seseorang penyanyi itu.
"Setakat ini saya sudah menghasilkan enam single dan yang terbaru bertajuk Persembahan Ku akan saya promosikan tidak lama lagi," katanya.
Lagu Persembahan Ku, dirakam tahun lepas, menyaksikan Ebi sekali lagi berkolaborasi dengan komposer Audi Mok.
"Melodi lagu ini adalah ciptaan Audi. Saya tulis liriknya. Saya sendiri sangat teruja dengan single ini kerana sentuhan Audi memang lain daripada yang lain," katanya.
Sebelum ini, Ebi pernah tampil dengan single Sinar Cinta, Romeo dan Juliet, Takkan Berhenti, Musafir Dunia, Dalam Seminit serta Pahlawan Cinta yang diciptanya sendiri.
Single Dalam Seminit kini berada dalam Carta Hitz Sabah.fm terbitan RTM Kota Kinabalu.
Bercerita lanjut mengenai perjalanan kerjaya seninya, Ebi berkata dia sudah kembali menetap di Sabah sejak April lalu.
"Sejak kebelakangan ini, alhamdulillah rezeki saya lebih banyak di sini. Undangan menjayakan persembahan pentas juga masih ada dan banyak syarikat produksi drama dan telefilem menawarkan kepada saya peluang untuk bekerjasama dengan mereka dan mengasah bakat dalam bidang lakonan.
"Akhirnya saya nekad untuk memusatkan kerjaya seni saya di sini. Sesekali, saya akan ke semenanjung atau Sarawak untuk memenuhi undangan menyanyi di sana terutamanya daripada Astro."
Lagipun, kata Ebi, tiga tahun berjauhan dengan ibu bapanya, dia sangat rindu untuk kembali tinggal sebumbung dengan mereka.
"Tidak sampai hati membiarkan mereka berdua lebih lama. Cukuplah tiga tahun saya berjauhan dengan mereka," kata anak tunggal dalam keluarga itu.
Ebi berharap sedikit pengalaman di bidang seni yang dikutipnya di Kuala Lumpur akan dapat dimanfaatkan untuk membantu merancakkan industri hiburan di negeri ini.
"Tidak dinafikan ada segelintir artis Malaysia yang menjadi kaya dengan menyanyi atau berlakon. Tapi saya terbabit dalam bidang ini bukan untuk memburu kekayaan sebaliknya sekadar mencari kehidupan yang lebih selesa berbanding sebelum ini, untuk saya dan ibu bapa saya.
"Sejak di AF (Akademi Fantasia 5) lagi, peminat sudah maklum mengenai latar belakang kehidupan saya. Alhamdulilah… sekarang dengan rezeki yang Tuhan berikan kepada saya dalam bidang ini, saya berpeluang menikmati kehidupan yang sedikit selesa," katanya ketika ditanya mengenai matlamatnya dalam industri ini.
Rata-rata penyanyi tempatan mengeluh mengenai bayaran tidak setimpal yang mereka terima daripada penganjur acara berbanding bayaran yang diberi kepada penyanyi dari luar. Ebi mungkin ada pandangannya sendiri mengenai perkara ini memandangkan dia pernah mencipta populariti di Ibu Negara sebagai "Bintang AF" sebelum memusatkan kerjaya seninya di Sabah.
"Bagi saya, soal bayaran tidak setimpal untuk artis tempatan memang wajar diberi perhatian oleh pihak penganjur. Bagaimanapun, mewakili penyanyi-penyanyi lain saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Masidi (Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) yang prihatin terhadap nasib artis-artis tempatan dan mengambil inisiatif untuk menaikkan bayaran untuk mereka.
"Sejujurnya, saya tidak terlalu berkira mengenai soal bayaran tapi biarlah berpatutan dengan kualiti kerja yang kita buat.
"Saya juga tidak memilih majlis kerana ini adalah periuk nasi saya. Selagi saya mampu, saya akan berusaha memenuhi undangan mereka. Kadang-kadang undangan menyanyi di majlis kahwin di kampung-kampung pun saya terima dan bayarannya terpulang kepada kemampuan pihak pengantin. RM1,500 pun saya terima dengan niat untuk membantu mereka yang memerlukan kehadiran kita di sana.
"Bagi saya, populariti memang memainkan peranan (dalam penetapan bayaran) tetapi saya tidak mahu mengambil kesempatan dengan meminta bayaran yang terlalu tinggi. Cuma, biarlah berpatutan," katanya.
Mengenai perjalanan kerjaya Ebi yang semakin kurang mendapat ruang di akhbar atau majalah, Ebi mengakui perkara itu.
"Tapi ada juga sesekali saya dipanggil untuk buat photoshoot bersama majalah... tidaklah sekerap dulu ketika baru keluar AF," katanya.
Jesteru, untuk terus mendekatkan diri dengan peminat, Ebi berhubung dengan mereka melalui laman web sosial, Facebook.
"Di sana mereka boleh mengetahui lebih cepat apa-apa perkembangan membabitkan kerjaya seni saya."
Melalui alam maya juga, peminat mula bercakap mengenai fizikal Ebi yang semakin ‘kembang’. Pendapat mereka, sebagai artis, Ebi sepatutnya mengawal berat badan.
"Ya memang badan saya sudah ‘naik’," akuinya jujur sambil ketawa.
Menurut Ebi, keadaan itu berlaku mungkin kerana makan minumnya kini lebih terjaga sejak kembali tinggal bersama ibu bapanya.
"Tapi…janganlah terlalu membandingkan fizikal saya yang dulu dengan sekarang. Perubahan fizikal seseorang sesuatu yang lumrah dalam kita meniti usia. Lagipun, dulu saya seorang atlet dan berlatih enam jam sehari, pagi dan petang.
"Sekarang, saya hanya ke gym apabila ada kesempatan. Tapi saya tidaklah gempal sangat pun… jika saya kawal pemakanan mungkin masih boleh ‘diselamatkan’. Saya berterima kasih kepada peminat yang prihatin terhadap keadan fizikal saya.
"Tapi ada juga yang suka tengok badan saya begini terutama mak saya sebab bagi mak saya, kalau saya kurus bermakna saya kurang sihat," katanya dengan ceria.

No comments:

Post a Comment