Wednesday 5 September 2012

Sokong karya tempatan: Donald

KARYA-KARYA filem dokumentari yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat produksi tempatan mampu meraih perhatian dunia sekiranya ia dihasilkan dengan kreativiti yang tinggi dan dihidangkan dengan teknik penceritaan dan visual yang menarik.

Pembantu Menteri Kewangan Datuk Donald Peter Mojuntin (gambar) berkata produk-produk filem dokumentari berkualiti boleh dipertontonkan kepada dunia menerusi saluran-saluran antarabangsa seperti National Geographic dan Discovery Channel.

“Kita ambil contoh kisah lagenda pemain bola sepak negara Datuk Mokhtar Dahari yang diabadikan dalam dokumentari berjudul The Untold Truth About Supermokh yang berjaya menarik perhatian ramai di negara ini,” kata Donald ketika berucap pada majlis pelancaran dokudrama DVD Ailon – Tangisan Ku Semalam di Hongkod Koisaan KDCA di Penampang, baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Jude Sebastian, pegawai perhubungan kepada Tan Sri Bernard Dompok.

Donald berharap penerbitan dokudrama Ailon – Tangisan Ku Semalam itu akan dapat menyuntik semangat kepada penerbit tempatan lain untuk menghasilkan lebih banyak produk dokumentari dan mengangkat genre seperti itu ke tahap lebih tinggi.

“Pada masa sama, saya sangat berharap agar sokongan kita terhadap penerbit-penerbit tempatan akan berterusan malah semakin bertambah.

“Sokongan itu sangat perlu untuk meningkatkan pengiktirafan kepada industri filem dan dokumentari tempatan.

“Jika bukan kita yang menyokong usaha mereka, siapa lagi?” katanya.

Sumber:
Harian Ekspres
6 September 2012

No comments:

Post a Comment