Monday 24 September 2012

BEFF tayang kisah benar mengenai Luna

Luna... paus pembunuh yang bijak
PENGUNJUNG Pesta Filem Eco Borneo (BEFF) Jumaat ini (28 September) akan berpeluang menonton filem dokumentari 2011 yang memenangi anugerah, The Whale yang ditayangkan untuk pertama kalinya di Sabah.

Menurut Pengerusi BEFF Chris Chong, filem ini merupakan dokumentari yang sarat dengan unsur falsafah, politik dan amat menyayat hati serta menyelurusi interaksi antara manusia dan spesies bijak lain.

“Dokumentari ini berdasarkan kisah benar seekor paus pembunuh, bernama Luna yang berkawan dengan manusia setelah terpisah daripada keluarganya di Pulau Vancouver, British Columbia,” kata Chong.

Beliau berkata filem itu dipilih sebagai pembuka tirai kerana kaitannya dengan penduduk Sabah.

“Baru-baru ini, kita mempunyai kes paus terdampar di pantai kita. Malah tahun ini, kita mempunyai satu kes paus terdampar di Kuala Penyu. Jadi saya rasa ini adalah filem yang amat penting untuk penduduk kita.

“Saya juga berharap filem ini akan mencetus perbincangan dalam kalangan masyarakat di sini mengenai hubungan manusia-haiwan,” kata Chong.

Dihasilkan kerjasama suami isteri pengarah Michael Parfitt dan penerbit Suzanne Chisholm, wayang itu bukan sekadar sebuah dokumentari mengenai haiwan.

Penonton akan terpaksa memikirkan isu etika dan praktik yang rumit dan menjangkau luar daripada filem alam semulajadi kanak-kanak, contohnya Free Willy.

Diceritakan oleh Ryan Reynolds, dokumentari ini menunjukkan bagaimana paus orca yang sukakan perhatian itu berjaya menyatukan pelbagai perwatakan manusia, termasuk suku asli Amerika untuk menentang pegawai kerajaan.

Terdapat detik gembira, kejutan, suspens, dan kesedihan, semua elemen yang diperlukan dalam sebuah filem yang baik. Bergandingan pemandangan mengkagumkan, fotografi yang digubah dan dibuat dengan baik serta karisma Luna, The Whale tidak harus dilepaskan.

The Whale akan ditayangkan di Bilik Teater Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri pada jam 8 malam, 28 September.

No comments:

Post a Comment