Tuesday, 18 September 2012

RTM Sabah anjur tiga pertandingan nyanyian

SEMUA peserta mengabadikan kenangan selepas sidang media itu.


JABATAN Penyiaran Sabah (RTM) akan menganjurkan pertandingan Bintang Kecil, Bintang Remaja dan Bintang P.Ramlee peringkat zon Sabah di Pantaran Mesra RTM Kota Kinabalu di Jalan Tuaran selama tiga hari bermula 21 September ini.

Pengarah Penyiaran Sabah Abdul Jalani Mahmud berkata 32 peserta masing-masing 10 peserta untuk Bintang Kecil dan Remaja dan 12 peserta untuk Bintang P.Ramlee akan bertanding bagi merebut gelaran juara.

Katanya pertandingan itu akan bermula pada pukul 8 malam dan disiarkan secara langsung melalui Radio Malaysia Sabah fm.

“Ini adalah program tahunan RTM yang antara lain bertujuan mencungkil bakat terpendam kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa di negeri ini.

“Johan dan naib johan bagi kategori Bintang Kecil dan johan kategori Bintang P.Ramlee akan mewakili Sabah ke pertandingan peringkat kebangsaan yang masing-masing diadakan pada 17 November dan 1 Disember ini di Sarawak,” katanya kepada pemberita di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kepayan dekat Kota Kinabalu, pada Selasa (18 September 2012).

Abdul Jalani berkata program tahunan itu adalah selaras dengan usaha RTM untuk memperbanyak program pembinaan bangsa dan budaya yang menyelitkan konsep gagasan 1Malaysia.

Katanya johan bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM2,000, naib johan RM1,500 dan ketiga RM1,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

No comments:

Post a Comment