Friday, 14 September 2012

Kemunculan semula Sannie Hassan Mudin

Sannie ingin merakamkan lagu duet
dengan Esther Applunius
Boyd PV

HAMPIR tujuh tahun tanpa album baru, nama Sannie Hassan Mudin, yang pernah popular menerusi lagu Rati’d Piupusan, semakin dilupakan peminat.

Sejak muncul dengan album keduanya, Nung Gumuli Ko, pada 2005, Sannie mengakui dia hilang minat untuk menghasilkan produk baru.

Merajuk? Tidak, katanya.

Tapi banyak perkara perlu difikirkan terutama dari segi masa kerana dia mempunyai kerjaya tetap.

Kos juga mungkin satu faktor. Tapi apa yang jelas, kata anak kelahiran Kota Belud ini, hatinya ‘sudah sejuk’ untuk menghasilkan album baru. Dia tidak mengulas lanjut.

Tapi sudah namanya minat, dia tidak boleh menipu diri sendiri.

Keinginan untuk kembali dengan album baru semakin kuat pada tahun-tahun kebelakangan ini, lebih-lebih lagi dengan dorongan yang diterima daripada rakan-rakan artis.
Justeru, selepas mula menggumpul lagu dua tahun lepas, pada 16 September ini Sannie akan melancarkan versi DVD karaoke album ketiganya,
Sinding Sinding Piginawaan, di Kundasang, Ranau.

Versi audio album tersebut dilancar Mei lalu.

“Secara peribadi, saya merasakan album ini adalah yang terbaik pernah saya hasilkan setakat ini,” katanya kepada Hiburan Ekspres baru-baru ini.

Menurut Sannie, pembikinan album itu lebih matang dari segi pemilihan lagu dan penyampaian.

“Bukan bermakna saya tidak berpuas hati dengan kualiti dua album saya sebelum ini, cuma saya perlu akui, album Sinding Sinding Piginawaan dihasilkan dengan lebih teliti dan tidak mengejar masa.

“Ketika pembikinan dua album terdahulu, saya belum ada pengalaman. Semuanya mahu disiapkan cepat dan kerana itu mungkin ada perkara-perkara tertentu yang saya terlepas pandang.

“Tapi kali ini, saya tidak mengejar masa. Pemilihan lagu saya buat sendiri dengan teliti dan sesuai dengan jiwa dan keupayaan vokal saya,” katanya yang memilih 10 lagu terbaik daripada himpunan 20 lagu yang ada dalam senarainya.

Sebahagian himpunan lagu itu dihasilkannya sendiri sementara sebahagian lagi dicipta komposer lain. 

Tetapi akhirnya, Sannie memilih untuk tidak memuatkan walau satu lagu ciptaannya dalam album terbarunya itu.

“Bukan tidak yakin dengan keupayaan sendiri tetapi saya mahukan sentuhan komposer lain untuk menyuntik kelainan,” jelasnya.

Sinding Sinding Piginawaan memuatkan Songkuro Girot Tupus Ku ciptaan sepenuhnya Benn Simon Bukag, Monalisa (Andrew Peninting @ Apai), Kaus Ku Diau (Junis Korom), Langad (Wilton Hamdi Gudul), Au Sumonsog, Au Kumaus (Jaidy Bading), dan Hangadon Diau (Francis Delinting).

Turut dimuatkan ialah Bunga Id Natadku (Jaidy Bading), Sumandak Miagal Diya (Andrew Peninting), Rati’d Piupusan (Francis Delinting) dan Honey (Andrew Peninting).

Rati’d Piupusan adalah lagu hits dari album pertama yang diberikan nafas baru. Mungkinkah Sannie mengitar semula lagu itu sebagai percaturan untuk melonjakkan semula namanya?

“Tidak. Hakikatnya, lagu Langad ciptaan Wilton lebih kerap diputarkan di stesen-stesen radio. Lagu itu lebih cepat diterima peminat selain Bunga Id Natadku, Monalisa dan Hangadon Diau.

“Kalau ada andaian bahawa saya masih bergantung kepada lagu Rati’d Piupusan untuk kembali popular, itu tidak tepat.

“Apa yang berlaku ialah, saya mendapat banyak maklumbalas daripada pendengar bahawa tempo versi asal Rati’d Piupusan terlalu perlahan... membuatkan ianya kedengaran sangat melankolik.

“Jadi dalam album terbaru ini, meskipun ia masih lagi melankolik, temponya dipercepatkan sedikit untuk memberi sisi berbeza kepada mood dan penyampaiannya.

“Lagu itu digubah semula secara menyeluruh dan ia kedengaran berbeza berbanding versi asal,” jelas Sannie yang kini bernaung di bawah label Skyline.

Dua albumnya yang terdahulu dihasilkan di bawah label Sabah Records.

Selain album Sinding-Sinding Piginawaan, aturcara majlis 16 September ini akan turut membabitkan pelancaran album penyanyi S. Welly (Gadis Kudat) dan artis baru, Qiss berjudul Ikhlas.

Sedia bersaing dengan artis baru

Sepanjang tempoh tujuh tahun tanpa lagu baru, sudah ramai penyanyi baru muncul dengan genre lagu masing-masing sesuai dengan peredaran masa.

Adakah Sannie yakin masih mampu bersaing dengan mereka?

“Saya percaya semua orang ada rezeki masing-masing. Walaupun saya sudah lama tidak muncul dengan album baru, saya yakin masih ada kelompok pendengar yang menyukai lagu-lagu saya dan cara penyampaian saya.

“Saya membuat comeback bukan untuk bersaing dengan sesiapa…sekadar mahu meneruskan perjuangan saya dalam membantu secara kolektif untuk mengangkat martabat lagu-lagu tempatan. Ia juga adalah untuk kepuasan peribadi,” jawabnya.

Impian berduet dengan dua idola

Tiada niat untuk menumpang populariti kerana mereka mempunyai kelompok peminat masing-masing.

Tapi hasrat untuk berduet dengan Esther Applunius dan Benn Simon Bukag telah dipendam sejak sekian lama kerana Sannie mengakui amat meminati kedua-dua penyanyi itu.

“Mereka idola dan kenalan rapat saya,” katanya.

Tapi Sannie tidak pasti bagaimana dan bila impian itu akan terlaksana.

“Perbincangan sudah dibuat dengan Benn tapi masih di peringkat awal dan Benn menyukai idea itu. Tapi belum ada apa-apa yang konkrit.

“Saya harap impian ini akan menjadi kenyataan dalam album seterusnya kelak,” katanya.

Tapi duet dengan Esther, kata Sannie, hanyalah sebuah hasrat.

“Saya belum bercakap dengannya mengenai perkara ini.”

Sumber:
Harian Ekspres
14 September 2012

No comments:

Post a Comment