Thursday, 20 September 2012

Pengacara popular 'allergic' binatang buas

Farish Aziz sertai Fear Factor Malaysia versi selebriti


Boyd PV

SEBAGAI memenuhi permintaan Farish Aziz, penulis sebelum ini tidak menyentuh secara spesifik mengenai program Fear Factor Malaysia versi selebriti kerana ketika penyampai Suriafm itu ditemuramah untuk edisi Hari Raya lepas, butirannya masih di peringkat perbincangan.

Tapi memandangkan kini semuanya sudah dimuktamadkan, Farish tiada masalah untuk berkongsi perkara gembira itu dengan peminatnya.

Farish telahpun mengesahkan penyertaannya dalam program itu yang akan membawanya ke Captetown, Afrika Selatan dari penghujung Oktober hingga November ini.

Peminat Farish pastinya tumpang gembira dan bangga kerana pengacara dan pelakon itu terpilih untuk menggalas cabaran program realiti popular itu bersama 30 selebriti Malaysia yang lain.

Antara selebriti yang akan turut melakukan aksi-aksi lasak yang menjadi intipati program itu ialah Elfira Loy, Ferhad, Johan As’ari, Zarina Anjulie dan Jehan Miskin dan program itu, khabarnya, akan dihoskan oleh aktor kacak, Aaron Aziz.

“Minggu lepas saya telah menandatangani kontrak untuk menyertai program itu,” kata Farish ketika dihubungi sekembalinya dari Kuala Lumpur, Selasa lepas.

Kandungan kontrak itu mengkehendaki Farish berada lama di Capetown, Afrika Selatan untuk rakaman program terbitan Endermol itu bermula dari 20 Oktober ini.

“Berapa lama saya akan berada di sana bergantung kepada berapa lama saya dapat bertahan dalam program lasak itu. Bagaimanapun, mengikut jadual, rakaman untuk program itu akan berakhir 15 November,” jelasnya.

Minggu depan, dari 24 hingga 28 September, Farish dan peserta lain akan mengikuti bootcamp termasuk sesi kecergasan fizikal dan kekuatan mental sebagai persediaan untuk mengikuti program itu yang menjurus kepada aksi ekstrem yang menggerunkan.

Dan menurut Farish, dia tiada masalah untuk melakukan aksi-aksi stunt.

“Suruhlah buat apapun, insya’Allah saya akan terima cabaran itu. Tapi minta-mintalah dorang tidak suruh saya duduk satu kandang dengan singa, buaya, harimau….

“… sebabnya, saya ‘allergic’ sikit dengan haiwan buas,” katanya berseloroh.

Terbabit dalam program itu bermakna Farish akan berjauhan dengan pendengar-pendengarnya di Suriafm.

“Saya pun sebenarnya serba salah juga tapi saya yakin mereka faham. Bos saya di Suriafm pun faham kerana saya ke sana pun membawa nama Suriafm dan Sabah juga, biarpun tidak secara langsung.

“Saya berterima kasih sangat kepada Rey (gandingan penyampai Suriafm) kerana dia juga amat memahami,” katanya.

Farish menjangkakan proses rakaman itu nanti sangat memenatkan.

“Ini kali kedua saya ke sana (Capetown) dan saya menyukai suasana di sana. Berdasarkan pengalaman, terbabit dalam rakaman program di luar negara memang memenatkan dan memberi tekanan yang amat sangat.

“Lebih-lebih lagi dalam program yang menuntut kekuatan fizikal dan mental seperti Fear Factor.

“Tapi saya sudah bersedia untuk melabuh cabaran dan berharap akan dapat bertahan sehingga ke peringkat akhir kelak,” katanya.

Menurut Farish, bohonglah kalau dia tidak mahukan kemenangan.

“Tapi saya tahu itu bukan satu perkara mudah. Selain menuntut kekuatan mental dan fizikal, ia juga berkisar mengenai soal rezeki,” katanya.

Fear Factor Malaysia versi selebriti itu menawarkan hadiah RM200,000 kepada pasangan juara keseluruhan dan RM10,000 bagi juara mingguan.

Tapi sebelum terbang ke Capetown, Farish dan isterinya, Zahrah Fowzy, akan bersantai di Vietnam terlebih dahulu awal Oktober ini.

Ia adalah percutian bulan madu kedua mereka yang ditaja sepenuhnya untuk program Destinasi Cinta bersama Air Asia yang akan ditayangkan di Astro.

Sumber:
Harian Ekspres
21 September 2012 

No comments:

Post a Comment