Tuesday 25 September 2012

Uji Bakat Vokal Bukan Sekadar Rupa di KK


UJI BAKAT musim baru program realiti TV3, VOKAL - Bukan Sekadar Rupa, yang menawarkan hadiah RM100,000 kepada sang juara, akan diadakan di KOTA KINABALU seperti butiran berikut:

Tempat      Promenade Hotel
Tarikh       29 & 30 September 2012
                (Sabtu & Ahad)
Masa        10 pagi - 4 petang


Diperkenalkan pada tahun 2011, VOKAL merupakan sebuah program berkonsepkan pertandingan nyanyian yang disasarkan khusus kepada warganegara Malaysia yang mempunyai minat dan bakat dalam bidang nyanyian.

Program ini adalah satu-satunya program yang memberi peluang kepada peserta untuk menunjukkan bakat nyanyian tanpa menilai personaliti ataupun paras rupa.

Bagaimanapun musim baru ini hadir bersama kelainan berbanding musim pertama.
Jika sebelum ini, VOKAL memberi tumpuan hanya kepada mereka yang tidak mempunyai pakej lengkap dan sempurna untuk bergelar penyanyi, musim baru ini, ia terbuka kepada semua tanpa mengira sama ada mereka mempunyai paras rupa yang cantik atau sebaliknya kerana bakat nyanyian luar biasa akan menjadi taruhan.

Selain itu, para peserta juga digalakkan untuk berkongsi bakat seni seperti lakonan, bermain alat muzik atau menari yang pastinya akan menjadi kelebihan buat calon peserta yang hadir ke sesi uji bakat.

VOKAL musim kedua membawa masuk khidmat dua nama besar yang dipilih berdasarkan pengalaman mereka yang amat luas dalam industri seni tanah air iaitu Azmeer dan Mas Idayu yang bakal menggalas tanggungjawab untuk memilih mereka yang berkelayakan menjadi peserta VOKAL musim kedua.

Mereka yang berminat mestilah warganegara Malaysia yang berumur 18 sehingga 25 tahun dan perlu membawa gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) serta minus one untuk lagu yang ingin didendangkan.

Musim pertama VOKAL - Bukan Sekadar Rupa menyaksikan Asmidar diangkat menjadi juara.

IMBAS...Asmidar dan naib juara, Mafa




No comments:

Post a Comment