Wednesday, 29 August 2012

Anna Stanislaus pantas curi tumpuan

________________________________

Album Hangadku Tomoimo 

terjual lebih 500 unit selepas 

hanya dua bulan dipasarkan

________________________________


Boyd PV
Harian Ekspres


MINATNYA terhadap bidang nyanyian berputik sejak zaman kanak-kanak.

Malah ketika meniti zaman remaja, pemilik nama penuh Anna Stanislaus ini membuktikan bakat besarnya apabila dia menjuarai beberapa pertandingan nyanyian peringkat negeri.

Bagaimanapun, bakat dan minatnya itu terpaksa dipendam selama lima tahun selepas menduduki SPM pada tahun 2006 kerana dia perlu memberi tumpuan kepada pelajaran sehinggalah dia menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang rekaan grafik di UiTM tahun lepas.

Tempoh lima tahun itu, bagaimanapun, tidak sedikitpun memudarkan minatnya untuk menjadi penyanyi.

Buktinya, baru-baru ini, pemenang Bintang TM Touch 2001, Bintang Lagu-lagu Siti Nurhaliza 2004 dan Bintang Perdana dan Integriti Nasional 2004 itu muncul dengan sebuah album penuh berjudul Hangadku Tomoimo.

Anak kelahiran Kg Kobusak, Penampang ini bertuah kerana selain memiliki bakat semulajadi sebagai penyanyi, dia mendapat dorongan daripada keluarga, terutama kedua ibu bapanya.

Album Hangadku Tomoimo itu dilancarkan di Pusakag Café, Donggongon, Penampang awal bulan ini. Ia diterbitkan oleh Pusakag Productions.

Memuatkan 10 buah lagu, Anna yakin album sulungnya itu menawarkan kelainan dari segi penyampaian serta pemilihan genre lagu.

“Saya harap pendengar akan dapat menerima kehadiran saya di persada seni,” katanya kepada Hiburan Ekspres baru-baru ini.

Berdasarkan angka jualan album itu dalam tempoh dua bulan pertama selepas dipasarkan, peminat nampaknya menerima baik kehadiran Anna sebagai penyanyi.

Hangadku Tomoimo terjual melepasi 500 unit dalam tempoh itu, satu pencapaian yang boleh dikira cukup baik bagi artis-artis tempatan Sabah.

Bagi gadis berumur 25 tahun ini, album sulungnya itu mempunyai nilai yang sangat sentimental kerana menerusi album itu juga, Anna turut berkongsi rasa menerusi beberapa buah lagu yang dihasilkannya.

Kulit album itu menyenaraikan sekurang-kurangnya lima buah lagu yang mendapat sentuhan kreatifnya – Hangadku Tomoimo, Bo’os Mohoing, Kinongoho Noh (menampilkan tiupan seksofon Apai), Songian Monihau Pa’ai dan Tumodo Noh.

“Lagu-lagu lain ialah Mogot Noh Poihoon Zou, Au Koh Otopot, Nokosuni Nodi Piupusan (menampilkan Donny Sipili), Ika Noh Upuson Ku, dan Ounsikou Oku. Lagu-lagu itu adalah ciptaan Donny Sipili dan Douglas Henry,” kata Anna.

Sesetengah penyanyi, mereka memilih untuk tampil dengan album Audio CD terlebih dahulu sebelum muncul dengan versi karaoke.

Bagaimanapun, sebagai bonus kepada peminat, album Hangadku Tomoimo ini ditampilkan sekali dalam versi Audio CD dan DVD karaoke.

“Pendengar tidak perlu menunggu lama untuk turut sama menyanyikan lagu-lagu yang mereka minati dalam album ini,” ujarnya yang turut menghasilkan sendiri rekabentuk kulit album ini.

Terbabit hampir sepenuhnya dalam proses pembikinan album memberikan kepuasan total kepadanya.

“Dari proses pemilihan lagu hinggalah kepada penyediaan kulit album, saya merasa puas kerana album ini dihasilkan mengikut cita rasa saya,” katanya tanpa mendedahkan berapa kos keseluruhan pembikinan album ini yang memakan masa lapan bulan untuk disiapkan.

“Agak panjang masa yang saya ambil untuk menyiapkan album ini kerana saya perlu mencari masa yang sesuai untuk proses rakaman memandangkan saya sebenarnya mempunyai kerjaya sepenuh masa sebagai pereka grafik di sebuah syarikat.

“Tapi penantian itu saya rasa sangat berbaloi,” katanya.

Anna bersyukur kerana dikelilingi mereka-mereka yang sangat berbakat dan komited untuk merealisasikan impiannya menghasilkan sebuah album.

“Terima kasih kepada semua terutama keluarga saya, kepada uncle Henry Gumisi (Pusakag Productions) serta Douglas Henry, music arranger yang memahami kehendak saya. Terima kasih kepada semua,” katanya.

Menyentuh perkembangan arena muzik tempatan, Anna merasakan ianya sangat memberangsangkan.

“Artis-artis kita sekarang bertuah kerana banyak dibantu oleh stesen-stesen radio yang semakin banyak di Sabah.

“Cuma saya berharap peminat akan dapat menghargai penat lelah artis rakaman terutamanya artis indie seperti saya yang menghasilkan album dengan wang sendiri.

“Kerana itu saya mengharapkan peminat dapat menyokong kami dengan membeli produk original,” katanya.


MAJLIS Pelancaran album Hangadku Tomoimo disempurnakan Adun
Moyog, Datuk Donald P Mojuntin di Pusakag Cafe, awal bulan ini.

_____________________________________________________________________
SUMBER: 
Harian Ekspres, 30 Ogos 2012

No comments:

Post a Comment