Friday, 10 August 2012

Lompang di hati Farish

Farish Aziz tidak pernah lalui pengalaman sambut Raya bersama bapa

______________________________________________________________________

Boyd PV
Harian Ekspres
Penaja Lokasi:
BELLA ITALIA, JESSELTON HOTEL
(Sempena Ramadan Ini, Bella Italia Restaurant
menghidangkan menu Rasa Indonesia yang disediakan
oleh dua Chef dari Indonesia -- Jajat Sudiar S
dan Susis Fedrawaty BT B
. Selain set Indo
Ramadan, restoran itu juga turut menyediakan
menu Middle East Chicken pada harga berpatutan.)


DI SEBALIK perwatakan ceria DJ Radio/pengacara/pelakon/ penerbit ini, hatinya bagai terusik seketika apabila diajak bercerita mengenai Raya.

Bukan tidak ada perkara menarik untuk dikongsi, namun kata Farish Aziz, dia sebenarnya amat merindui seseorang yang tidak pernah dikenalinya.

“Saya tidak pernah beraya bersama seseorang yang saya panggil ayah kerana bapa saya, Aziz Ahmed Sulaiman, meninggal dunia ketika saya masih dalam kandungan,” katanya.

“Kejadian itu berlaku pada 29 Ogos 1983. Bapa saya lemas ketika cuba menyelamatkan uncle saya dalam satu insiden di Sungai Papar. Saya lahir pada 14 Februari, tahun berikutnya,” kata penyampai radio Suria FM ini. 

Sebab itulah, kata Farish, tidak seperti kebanyakan orang lain, dia tidak pernah tahu bagaimana rasanya beraya bersama seseorang yang dia panggil bapa.

“Cuma pada waktu itu, saya tidak rasa sebarang kekurangan kerana pada waktu itu, istilah beraya bersama bapa memang tidak pernah ada dalam fikiran saya. Lagipun, saya mendapat cukup perhatian daripada emak saya, Sariah Sulaiman serta menumpang kasih dengan bapa-bapa saudara saya.

“Apa yang sepupu-sepupu saya dapat untuk Raya, saya dan abang saya Faizal pun dapat juga. Jadi, saya tidak pernah rasa terpinggir,” katanya yang membesar di Kg. Ketiau, Putatan.

Farish mula berpuasa penuh ketika berada dalam Darjah 5 pada tahun 1995. 

“Alhamdulillah, saya tahan berpuasa kerana sejak dari umur 5 tahun, emak sudah biasakan kami berpuasa ketika Ramadan. Tapi waktu itu sekerat hari sajalah. Hanya pada umur 11 tahun, barulah saya mula berpuasa penuh.

“Waktu budak-budak dulu, saya belum faham betul soal puasa-puasa ni tetapi saya paling rasa seronok ketika menunggu waktu berbuka,” katanya. Sesekali dia ketawa tatkala mengimbau kisah silam.

“Dulu boleh main mercun. Jadi macam budak-budak lain, saya pun seronok sakan jugalah main mercun. Tapi bila saya kenang semula, saya bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa saya ketika itu… maklum sahajalah, main mercun ni sangat bahaya. 
 
“Ada yang maut, ada yang kudung tangan, cedera dan sebagainya gara-gara bermain mercun. Asalnya mahu rasa seronok, nanti lain pula jadinya.

“Jadi nasihat saya kepada ibu bapa, jangan benarkan anak-anak bermain mercun kerana kita tidak mahu statistik kemalangan membabitkan mercun bertambah menjelang hari perayaan,” katanya yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama keluarga sebelah isterinya, Zahra Fowzi, di Likas.

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya berpuasa, sebagai pengacara rancangan televisyen ketika itu, masa kerja Farish selalunya tidak menentu. Hatta ketika bulan puasa sekalipun, jika ada kerja perlu disiapkan, dia akan berada di lokasi untuk melangsaikan tanggungjawabnya.

Maka, kata Farish, ketika mengendalikan rancangan berkonsepkan travelog, Ronda 360 Darjah, di awal kemunculannya sebagai pengacara di Astro beberapa tahun dahulu, dia pernah merasa sangat teruji.

“Bayangkan ketika itu bulan Ramadan dan saya perlu berada di beberapa tempat dalam tempoh tiga hari. Maksudnya, saya perlu banyak bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam keadaan cuaca yang sangat panas ketika itu.

“Bermula di Langkawi, saya perlu ke Terengganu pula lagi untuk menghabiskan rakaman.
Add caption
“Terasa sangat letih tapi saya bersyukur kerana masih dapat menunaikan ibadah puasa. Saya anggap itu semua cabaran,” kata penggemar Tart Nanas dan kuih makmur ini.

“Oh, saya juga suka apa sahaja biskut yang menggunakan coklat sebagai bahan asasnya,” kata Farish mengenai biskut raya kegemarannya.

Isteri tidak suka publisiti – Farish

Pada awalnya, Hiburan Ekspres berhasrat menggandingkan Farish dengan isterinya untuk sesi fotografi sempena Aidilfitri ini. Bagaimanapun, Farish tidak nampak bagaimana permintaan itu boleh ditunaikan.

Sebelum ini pun, katanya, banyak permintaan serupa daripada penerbitan lain diterimanya tetapi semua terpaksa ditolaknya dengan baik.

“Isteri saya tidak begitu selesa dengan publisiti dan saya menghormati pendiriannya,” kata Farish berterus terang.

Sepanjang bulan Ramadan ini, selain sibuk dengan tugasnya sebagai penyampai radio, Farish juga sibuk menguruskan butik fesyen “1984” yang diusahakannya.

Farish begitu teruja bercerita mengenai perkembangan butik pakaian itu yang terletak di Jalan Pantai, di Kota Kinabalu.

“Di bawah Hotel Kinabalu Daya,” katanya.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, Farish berkongsi dengan beberapa rakannya untuk membuka kedai itu awal tahun lepas dan setakat ini, kata Farish, sambutannya sangat memberangsangkan.

Farish menambah, koleksi pakaian dan aksesori yang dijual di butik 1984 diperolehinya ketika dia mengembara atau melakukan tugasan di luar negara termasuk Australia, Hong Kong, Jepun dan Turki.

Ada juga pakaian yang diperolehinya daripada rakan-rakan pereka fesyen di Kuala Lumpur.

“Malah, untuk Hari Raya Aidilfitri ini, kami menawarkan baju Melayu dengan rekaan eksklusif. Sudi-sudikanlah singgah di kedai saya,” katanya.

Farish kemudian memberitahu hasratnya untuk membesarkan butik itu.

“Premis yang saya sewa sekarang terlalu kecil. Alhamdulillah, perniagaan semakin baik jadi saya rasakan sekarang adalah masa paling sesuai untuk membesarkan butik itu,” katanya.

Keutamaan sudah berubah

Sesekali, Farish akan ke Ibu Negara jika ada kerja yang perlu diselesaikan. Bagaimanapun, katanya, dia lebih suka memusatkan aktivitinya di Sabah.

“Saya pernah menerima tawaran bekerja sepenuh masa daripada sebuah stesen TV di Kuala Lumpur tapi jika saya terima tawaran itu, bermakna saya perlu tinggalkan isteri saya dan “1984” dan itu tidak selari dengan perancangan saya. Jadi saya terpaksa tolak tawaran itu.

“Bagaimanapun, saya tidak terkilan kerana keutamaan saya kini sudah berubah,” jelas Farish.

Adakah itu bermakna Farish sudah meninggalkan bidang lakonan dan pengacaraan?

“Oh tidak…,” katanya yang pernah mengacarakan beberapa program tv termasuk Durian Runtuh, Muzik@Ria, Fulus Mania, Trek Selebriti, Debaran Anugerah Era, Kuiz Adik Comel dan Bola.

Pemilik nama penuh Mohd Farish Aziz Sulaiman ini juga pernah dilihat bakat lakonannya dalam drama KAMI, Dunia Anita, A.D.A.M, Duranni, Gaia dan Kau Dan Aku, antara lain.

“Saya belum mengatakan tidak kepada dunia pengacaraan dan lakonan.. tapi semuanya bergantung kepada kesesuaian masa,” tambah Farish.

Malah, sepupu kepada penyanyi Azharina Azhar ini, berkata dia sudahpun memberi persetujuan untuk terbabit dalam sebuah program realiti terbitan Astro.

“Semuanya sudah dimuktamadkan tapi biarlah Astro sendiri yang mengumumkan perkara itu,” katanya.

Sudah sedia timang anak

Selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga dengan Zahra, pasangan itu belum lagi dikurniakan cahaya mata.

“Belum ada rezeki lagi,” katanya sebelum menambah mereka bercadang untuk menimang anak tahun hadapan.

“Doa-doakan ya,” katanya sambil tangannya pantas mencapai songkok untuk memulakan sesi fotografi di Restoran Bella Italia, Jesselton Hotel di Jalan Gaya, Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment