Saturday 6 October 2012

Tahniah DATUK John Gaisah

Datuk John Gaisah 
SETELAH lama meninggalkan kita, mendiang seniman John Gaisah akhirnya mendapat pengiktarafan apabila beliau dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun ke-59 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 16 September 2012.

Melihat kepada sumbangan besar mendiang sebagai pelopor kepada industri muzik di Sabah melalui penglibatannya sebagai penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu khususnya lagu tempatan Kadazandusun, penganugerahan bintang kebesaran itu sepatutnya sudah lama diberikan tapi lebih baik lewat daripada tidak ada langsung.

Penganugerahan itu merupakan pengiktirafan tinggi kerajaan negeri kepada anak seni tempatan yang berjaya mengharumkan nama negeri terutama dalam industri muzik.

Mendiang yang pernah diberi nama jolokan 'Sabah's Tom Jones' turut memahat namanya dalam industri muzik negara apabila menduduki tempat ketiga dalam pertandingan akhir Bintang RTM 1976, yang gelaran johannya disandang Sudirman Haji Arshad (Allahyarham).

Dalam pada itu, isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mendahului senarai 905 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat.

Norlidah dan Ali merupakan penerima darjah kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri Panglima’.

Seramai 55 orang menerima anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran ‘Datuk’ iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang Dr Joachim Gunsalam, ADUN Lumadan Kamarlin Ombi, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ab Aziz Kasim, Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah Dr Abdul Kadir Rosline, Presiden Tribunal Tuntutan Pembeli Perumahan Sabah Ahmad Sedik, Ketua Pemuda Umno Sabah Awang Kadin Tang dan Penolong Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah Daniel Kinsik.

Turut menerima PGDK ialah Pengarah Besar Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Datu Basrun Datu Mansur, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Hashim Paijan, Pengarah Hidupan Liar Sabah Laurentius Nayan Ambu, bapa Yang Dipertua Negeri Mahiruddin Hussin, Pengarah Imigresen Sabah Mohamad Mentek, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr Mohd Harun Abdullah, ahli politik veteren Onn Ariffin, Ketua Wanita Umno Tenom Datin Rahmah Jan Sulaiman Khan dan Bendahari Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah Roselan Johar Mohamed.

Penerima lain PGDK ialah Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press Abdul Jalil Abdul Hamid, Dr Amin Senin, Anthony Koshy, Basra Abdul Rahman, Mejar (K) Chin Kee Yong @ Peter, Chu Fui Khin @ William Chu, Ganesh Nandy a/l BB Nandy, Glen Reynolds, Hsieh Yang Vui, Jangson Boijol @ Jackson Alexius, Jerry WA Dusing @ Jerry W.Patel, John Lo Thau Fah, Juhari Haron, Juil Nuatim, Biskop Kehormat Bersara Julius Dusin Gitom, Liew Siew Kian, Lim Tiong Chai, Ling Nga Ming @ Mary Ling, Mary E Dupanggol @ Aminah Ambrose, Mary Theresa Kinajil, Mohamad Farid Linggi, Dr Mohd Yusof Ibrahim, Rosmadi Ismail, Salleh Janan, Shah Headan Ayoob Hussain Shah, Sim Men Kin @ Andrew Sim, Dr Soo Thian Lian, Sulaiman Omar, Thien Sin Min @ Peter, Ting Huat Kiing, Wee Kok Hui, Wong Kian Kheong, Wong Tuck Wai, Yong Foo San, Yong Soo Pin @ Yong Su Ping, Yusoff HM Haniff dan Zulkifli Jaafar.

Mayor Kota Kinabalu Datuk Abdidin Madingkir mendahului senarai penerima Jaksa Pendamai (JP) seramai sembilan orang diikuti Ketua Puteri Umno Sabah Musliati Moslimin, Naib Ketua Pemuda Umno Sabah Md Joh Wid, Chin Tai Kong, Dirih @ Sebatian Anjim, Datuk Irmohizam Ibrahim, Jane Manjaji @ Marilyn, Lee Pong Choi dan Lim Thein Phin @ Kevin.

Antara 69 penerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) ialah Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sabah Newmond Tibin, Pengarah Penerangan Sabah Almain Ajirul dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Sabah Abdul Manap Lakariba.

Antara yang menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pula ialah jaguh angkat berat negara Aricco Jumith dan bekas juara bina badan Sabah Justine Sompong.

Sementara itu, pengamal media yang menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK) ialah Carolyn Maurice (Jabatan Ketua Menteri), pemberita sambilan Bernama Ismail Lamo, wartawan New Sabah Times Marryan Razan, wartawan Utusan Borneo Siti Aisyah Narudin dan Zaidi Jamin (Jabatan Penerangan Sabah).

No comments:

Post a Comment