Tuesday 30 October 2012

Kaedah beli drama TV akan dikaji semula: Kementerian

KEMENTERIAN Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mengkaji semula kaedah atau garis panduan dalam proses pembelian drama daripada syarikat penerbitan tempatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata satu mesyuarat bersama Menteri Datuk Seri Dr Rais Yatim akan diadakan bagi membincangkan perkara itu tidak lama lagi.

Katanya pada masa ini, harga pembelian bagi program televisyen, dibayar mengikut kualiti yang dinilai oleh panel penilaian dan diluluskan oleh Jabatan Perbendaharaan.

Kadar yang ditetapkan bagi sebuah telemovie adalah antara RM100,000 hingga RM150,000 manakala bagi drama bersiri pula antara RM40,000 hingga RM45,000.

“Kalau kualiti daripada hasil panel penilai, kita biasanya bagi harga antara RM100,000 hingga RM120,000 untuk telemovie.

“Selain itu, kerajaan juga memperkenal insentif di mana kalau rating dan kualiti tinggi, kita bagi insentif 10 hingga 15 peratus daripada harga yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2012 di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rungutan isu bayaran murah oleh stesen televisyen yang ditimbulkan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) baru-baru ini.

Sementara itu, menjelaskan mengenai teguran beliau terhadap siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kamaruddin berkata penyiaran berita perlu lebih kreatif untuk menarik minat penonton sekaligus membolehkan mesej berjaya disampaikan kepada mereka.

“Selera penonton berbeza dari semasa ke semasa jadi persembahan perlulah kreatif. Apa yang penting adalah audien, kalau tidak ditonton, ia tiada maknanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap hasil dan ciptaan kreatif yang baru dapat diaplikasi serta dikongsi bersama antara jabatan dan agensi di bawah kementerian dalam usaha meningkatkan sistem perkhidmatan awam menjelang 2020.

“Kita tidak harus tekankan kepada pertandingan tapi utamakan peningkatan kualiti, cari kaedah baharu dalam pelaksanaan tugas dan juga mestilah berterusan.

“Selain itu juga mencari kaedah terbaik untuk memudahkan pelanggan dan pastikan mereka tidak ada masalah bila berhubung dengan jabatan dan agensi kita,” katanya.

Sumber:
Harian Ekspres
31 Oktober 2012




No comments:

Post a Comment