Friday 12 October 2012

Isu slot siaran TV sudah selesai: KDMFM


Boyd PV

TONY (kelapan dari kiri), Merysel (tengah) serta yang lain
ketika kunjungan itu.
KDM Filem & Music Activist Association Sabah (KDMFM) pada Jumaat menjelaskan bahawa isu berkaitan peluang penerbitan rancangan untuk siaran saluran TV milik RTM sebenarnya sudah diselesaikan.

Penaung persatuan itu, Tony Francis Gitom, berkata memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Rais Yatim beberapa bulan lepas untuk menuntut peluang tersebut telahpun mendapat maklumbalas.

Memorandum itu, kata Tony, membangkitkan beberapa isu penting serta cadangan mekanisma yang patut dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membuka peluang berkarya bagi penggiat seni perfileman di Sabah.

“Kerajaan Pusat melalui Setiausaha Kementerian mengambil tindakan susulan dan satu proses komunikasi membuahkan hasil,” katanya kepada Hiburan Ekspres di Tanjung Aru, pada Jumaat.

Pada 1 Jun lepas, kata Tony, KDMFM telah menganjurkan sebuah majlis sederhana Anugerah Muzik & Filem KDM di mana artis, pelakon dan penggiat seni KDM diberi penghormatan.

Biarpun berlangsung dalam skala yang sangat sederhana, katanya, salah satu perkara positif daripada penganjuran itu ialah beliau mendapat peluang untuk mengutara dan memberikan penerangan terperinci kepada tetamu kehormat pada malam itu, Pembantu Menteri Datuk Maglin D’cruz, mengenai masalah yang dihadapi karyawan di Sabah.

“Saya beritahu beliau, Kerajaan Pusat melalui RTM tidak memberi peluang kepada Karyawan Sabah untuk berkarya dalam bentuk rancangan TV dan secara langsung menganak-tirikan rakyat Sabah yang tidak dapat menonton wajah dan bahasa kita dalam program TV,” katanya.

Memorandum yang diterima oleh Perdana Menteri dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada bulan Jun itu diambil perhatian yang serius, kata Tony.

“Datuk Seri Utama Rais seterusnya adalah mengarahkan wakil khasnya Datuk Nazri Abdullah untuk menyelesaikan permintaan penerbitan-penerbit rancangan TV dari Sabah.

“Cadangan KDMFM untuk menuntut proses ‘pitching’ dijalankan di Sabah telah ditunaikan oleh Datuk Nazri kerana beliau sedar peluang Karyawan Sabah memang tipis apabila terpaksa bersaing dengan penerbit dari Semenanjung Malaysia dalam sesi ‘pitching’ di Wisma Angkasapuri.

“Dalam sejarah ‘pitching’, penerbit dari Sabah hanya berjaya mendapat tiga hingga empat kelulusan sejak dari tahun 2005 hingga 2011,” jelasnya.

Menurut Tony, Nazri kemudian mengadakan sesi ‘pitching khas’ serta ‘Bengkel Penulisan Skrip’ untuk penerbit Sabah di Kota Kinabalu pada 9hb-13hb September lalu.

“Seramai 59 individu, penerbit bebas dan syarikat penerbitan Sabah diberi keutamaan untuk program ini.

Hasil dari itu, kesemua yang terlibat mendapat peluang membentangkan idea rancangan TV mereka dan diberi keputusan serta merta.

“Hampir 80 peratus cadangan rancangan daripada karyawan Sabah mendapat kelulusan daripada RTM.

Antaranya ialah daripada Syarikat Media Bayu Sdn Bhd, MB Production Sdn Bhd, Bayo Pictures Sdn Bhd, Besta Borneo Sdn Bhd, Sipadan Borneo Sdn Bhd, North Borneo Media Sdn Bhd dan Empayar Bayu Sdn Bhd.

Juga cadangan daripada Legendary Music Production Sdn Bhd, Layar Kinabalu Sdn Bhd, Immortele Creative Sdn Bhd, Apple Studio Sdn Bhd, MEL Corp Sdn Bhd, FTV Production Sdn Bhd, Top3 Sdn Bhd, Wide Angle Sdn Bhd, Eden Potential Sdn Bhd dan Penampang Studio Sdn Bhd.

“Dengan itu, kenyataan mengenai RTM tidak memberi peluang kepada penggiat seni Sabah untuk berkarya, seperti yang dibangkitkan di dalam sebuah dialog di Kota Kinabalu baru-baru ini adalah tidak relevan,” katanya.

Tony berkata “Kami di Penampang Studio sangat berpuas hati dan bersyukur kerana suara kami didengar oleh pihak kerajaan pusat dan diberi peluang penerbitan.

“Malah kami gembira kerana TVi akan menyiarkan rancangan yang syarikat kami serta rakan-rakan karyawan dari Sabah pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau juga berkata kedatangan PM ke Penampang untuk merasmikan majlis pecah tanah Bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri dalam lawatan dua harinya ke Sabah bermula hari ini (Sabtu, 13 Oktober 2012) adalah tepat pada masanya.

“Ini kerana satu daripada cadangan rancangan daripada Penampang Studio adalah sebuah dokumentari mengenai ‘Anak Negeri’ hasil karya aktivis sosial Atama yang akan memaparkan keunikan Orang Asal Sabah dalam konteks penyelesaian isu melalui Mahkamah Anak Negeri,” jelasnya sebelum menambah, sebagai mewakili seluruh karyawan dan penerbit TV/Filem di Sabah, beliau memuji usaha telus Kerajaan Pusat yang mengambil tindakan pantas untuk mencari penyelesaian yang mereka hadapi.

Beliau juga menasihatkan ahli-ahli KDMFM agar bersabar dalam menanti berita baik daripada RTM untuk memulakan pengambaran.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah Presiden persatuan tersebut, Merysel Panai Mariol, Atama, penyanyi Ridah Malanjang, pelakon Lydia Anthony serta ahli-ahli persatuan itu.


Sumber:
Harian Ekspres
13 Oktober 2012





No comments:

Post a Comment