Wednesday, 10 October 2012

Atama bidas Paras isu Sailang Anak Kampung

Kredit:
Ricardo Unto
riqiriqi@facebook.com


ATAMA tampil menyokong pendirian
dan tindakan Tony Francis Gitom (kanan).
ARTIS hip-hop dan aktivis sosial Atama berkata, Persatuan Rumpun Artis Sabah (Paras) tiada hak untuk menuntut pengarah-penerbit Tony Francis Gitom membuat kenyataan maaf secara terbuka.

“Paras tidak mempunyai locus standi untuk menuntut Tony untuk memohon maaf.

“Lagipun Paras mungkin juga bukan sebuah badan yang sah. Jika mereka berdaftar, kenapa mereka tidak tunjukkan Sijil RoS (Pendaftar Pertubuhan) kepada umum agar orang ramai tahu ia berdaftar?

“Paras bersikap tidak jujur kerana mengambil kesempatan ke atas pendapat peribadi dan jujur oleh Tony di mana Paras mengemukakan isu tersebut untuk kepentingan sendiri,” kata pemilik nama sebenar Andrew Ambrose Mudi itu dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, Selasa.

Pada Selasa, dilaporkan, Paras meminta Tony memohon maaf susulan isu posting Tony pada Facebook miliknya Sabtu lalu.

Posting tersebut menyebut nama empat pelakon telefilem Sailang Anak Kampung – Abu Bakar Ellah (Ampal), Ebi Kornelis, Marlin Malalin dan Janrywine J Lusin – berhubung penjualan DVD telefilem tersebut yang lembap.

Tony pada Isnin lepas, menjelaskan dia cuma mahu menghangatkan keadaan menerusi postingnya, agar penjualan DVD Sailang Anak Kampung berjalan lebih lancar.

Berikutan isu tersebut, Ampal, Ebi, Marlin dan Janrywine membuat sidang media pada Isnin lepas dan menyatakan pendirian mereka.

AJK TERTINGGI PARAS... (dari kanan)
Ampal (Presiden), Janrywine (Bendahari),
Ebi (Naib Presiden) dan Marlin (Setiausaha).
Keempat-empat mereka juga merupakan ahli jawatankuasa tertinggi Paras dan mereka memutuskan untuk mengambil langkah sebagai sebuah persatuan, iaitu Paras dan menuntut Tony membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada keempat-empat pelakon yang namanya disebut dalam posting itu.

Tony diberi masa seminggu bermula Selasa.

“Paras tidak sepatutnya ‘menyerang’ Tony dalam cara sedemikian iaitu melalui media arus perdana untuk menuntut permohonan maaf. Paras juga perlu membuat penjelasan kenapa ia mengeluarkan ultimatum kepada Tony.

“Paras dan ahli jawatankuasa tertingginya perlu diingatkan bahawa membuat posting Facebook adalah hak individu. Jika terdapat sebarang posting yang melanggar undang-undang, bukankah laporan polis patut dibuat sama seperti yang dilakukan oleh Rozza Rothman (Presiden Gerakan Industri Kreatif Sabah (SCIGM))?,” soal Atama.

Sebelum ini, Rozza membuat laporan polis berhubung posting di Facebook yang menghina Sabah.

Tambah Atama lagi: “Kenapa Paras bertindak amat agresif terhadap Tony sedangkan ia membenarkan ahlinya membuat urusan tanpa perjanjian kontrak yang betul? Seterusnya, apakah tindakan susulan mereka jika Tony tidak memohon maaf dalam seminggu?”.

Selain itu, Atama berkata, Empayar Bayu dan Juah Corporation – dua syarikat yang bekerjasama dalam pembikinan Sailang Anak Kampung – perlu menyedari bahawa kontrak adalah perjanjian yang mengikat dan menjaga kepentingan dua pihak.

Dalam kes ini, kedua-dua pihak tidak profesional dan ia menggambarkan pengurusan yang lemah.

“RM150,000 bukan satu jumlah yang kecil, oleh itu, Paras perlu menyatakan pendiriannya terhadap ahlinya yang membuat urusan secara tidak profesional,” kata Atama.

Atama juga menyatakan kekecewaannya terhadap Ampal di mana Ampal dilaporkan menggambarkan Tony “cuba menjadi hero”.

“Bukankah secara jelas ditunjukkan bahawa Ampal ‘menjuarai’ Paras untuk menuntut permohonan maaf daripada Tony?

“Sebagai presiden sebuah persatuan kesenian, menghormati pandangan orang lain adalah ciri penting dalam kepimpinan.

“Sebagai ‘orang lama’, Ampal boleh menyelesaikan isu dengan berbicara dari hati ke hati dengan Tony. Namun, sebaliknya, Ampal telah membuat kesilapan besar,” ujar Atama.

Atama turut menyangkal kenyataan Ebi di mana Bob dikatakan menghina artis Sabah.

“Ebi salah. Bob hanya menyebut nama mereka. Bob tidak pernah menyebut nama artis Sabah. Siapa Ebi untuk mewakili semua artis Sabah? Adakah daia jurucakap rasmi mereka? Kenapa Ebi perlu mengheret artis lain yang tidak terlibat?” pertikai Atama.

“Janrywine juga tersilap. Tony memang mempunyai locus standi untuk bersuara kerana Bob, sebagai penerbit eksekuif datang ke pejabat Tony untuk meminta nasihat dan meluahkan masalahnya. Bob juga memberi 100 salinan DVD kepada Tony untuk dijual. Dan ada saksi pada hari pertemuan antara Bob dan Tony.

“Janrywine mendakwa dia adalah seorang artis yang sudah established. Jika benar, kenapa dia tidak secara peribadi mempelawa Tony untuk berbincang secara bersemuka? Lagipun mereka saling mengenali.

“Tony yang mencungkil bakat Janrywine melalui Idola Sabah 2006. Janrywine memang betul apabila menyatakan Tony adalah seorang yang berpengaruh.”

Lanjut Atama, posting Facebook itu adalah satu bentuk peringatan walaupun ia agak sukar untuk ditelan. Lagipun, Tony “mempunyai pengalaman 30 tahun dalam industri perfileman dan TV”.

Apapun, kata Atama, selepas isu itu, perjuangan anak seni Sabah masih perlu diteruskan.

Antara isu yang masih membelenggu kelompok seni tempatan, katanya adalah, cetak rompak berleluasa, hakcipta, tiada pembangunan kesenian dan tiada perundangan.

“Namun dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Paras, ada satu perkara yang perlu diingat – Janrywine berkata jika ada artis yang membuat kesilapan, mereka perlu dibetulkan.

“Betulkan saya jika saya tersilap, tapi bukankah itu yang dilakukan oleh Tony terhadap kamu semua?” kata Atama.

Sumber:
Harian Ekspres
10 Oktober 2012



No comments:

Post a Comment