Thursday, 11 October 2012

Elton menongkah arus

Elton

Penyanyi KDM tampil dengan album mini berbahasa Melayu


Boyd PV
KEBANYAKAN penyanyi KadazanDusun dan Murut memilih untuk merakamkan album dalam bahasa ibunda mereka.

Tapi seorang bakat baru dari Keningau, Elton Johnny, dilihat lari dari kebiasaan apabila memilih untuk tampil dengan sebuah album mini yang memuatkan kesemuanya lagu Melayu, berjudul Perjalanan Cinta.

Bukan tidak yakin dengan keupayaannya menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Dusun tapi Elton mempunyai sebab kenapa album Melayu menjadi percaturan.

“Sasaran saya dalam bidang nyanyian ini adalah untuk membawa karya-karya muzik saya ke peringkat lebih tinggi setanding dengan penyanyi sedia ada dan penyanyi di semenanjung,” katanya ketika berbual dengan penulis di ruangan sembang laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Bukan tidak pernah terdetik di hatinya untuk menghasilkan album dalam bahasa ibunda tapi menurut Elton, dia ingin melihat sejauh mana orang di luar sana dapat menerima sesuatu yang baru.

Pemilik sijil muzik dari UMS berumur 32 tahun ini dilihat berani mengambil risiko. Dan ada sesuatu yang memberi kekuatan kepadanya untuk mengambil pilihan itu.

“Sebelum saya memulakan proses rakaman untuk album ini, saya ada mendapat maklumbalas daripada kawan-kawan, malah anggota keluarga saya sendiri yang agak skeptikal dengan hasrat saya untuk tampil dengan album Melayu,” katanya.

Album Melayu kurang sambutan dan orang Sabah hanya mahu mendengar lagu-lagu dalam bahasa tempatan sahaja. Itu adalah antara kata-kata yang cuba menggugat keyakinannya.

Tapi Elton terus berfikiran positif.

“Saya menganggap itu sebagai satu cabaran.

“Ia tidak sedikitpun menjadi penghalang untuk saya meneruskan proses rakaman album mini berbahasa Melayu ini.

“Saya perlu berfikir di luar kotak, lari dari kebiasaan kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, kita tidak akan dapat sagunya,” jelas Elton.

Lagipun, kata bekas pelajar di SM Gunsanad Keningau ini, secara logiknya, lagu-lagu yang sering berkumandang di corong-corong radio pun kebanyakannya lagu-lagu dalam bahasa Melayu.

“Bagi saya, untuk memperjuangkan seni, kita tidak perlu meletakkan batasan sekalipun kita tinggal di Sabah. Muzik itu bersifat sejagat,” katanya.

Tapi ada sumber mengatakan Elton sebenarnya tidak fasih berbahasa Dusun, sebutan tidak betul malah pemahaman juga tidak begitu baik. Itulah sebabnya Elton memilih untuk muncul dengan album Melayu. Itu kata mereka. Komen sikit?

“(Ketawa) Sebenarnya saya ada juga lagu Dusun tapi saya belum rakam. Ada kesempatan dan rezeki nanti, saya akan tampil juga dengan lagu Dusun.

“Tapi buat permulaan ini, biarlah saya tumpukan dahulu kepada album Melayu ini,” katanya.

Dirakam di Pusakag Studio, Perjalanan Cinta memuatkan lima buah lagu iaitu Apa Maksudmu, Perginya Dia, Cukup Sudah, Mengapa dan Hanya Kau.

Meneliti tajuk-tajuk lagu itu, Elton nampaknya selesa mempertaruhkan lagu-lagu romantis.

“Sesuai untuk mereka yang berada di alam percintaan,” katanya yang mencipta kesemua lagu dalam album terbitan Johnny Kadau itu.

Single pertama Elton, Mengapa, kini sedang bersaing dalam carta Lagu Paling Manang Sabahfm.

Buat masa ini, kata Elton, album sulungnya itu boleh didapati di sekitar Tambunan, Tenom dan Keningau dan sedang mencari pasaran di Kota Kinabalu serta di seluruh Sabah.

“Saya bersyukur kerana sebagai penyanyi baru, album saya sudah terjual melebihi 100 unit sejak mula dipasarkan 24 September lalu,” katanya.


No comments:

Post a Comment