Friday, 26 October 2012

Jangan sembarang guna kanta sentuh

INGIN memakai kanta sentuh? Dapatkan dahulu nasihat daripada doktor pakar dan jangan terburu-buru membelinya di pasar malam atau tepi jalan.

Pengerusi Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussien Onn, Prof Datuk Dr Abdullah Malim Baginda menyatakan kebimbangannya kepada media baru-baru ini bahawa semakin ramai membeli kanta sentuh daripada optometris atau pihak lain.

“Kanta sentuh tidak boleh dibeli terus dari kaunter seperti keperluan lain, misalnya berus gigi. Ia memerlukan nasihat, penyesuaian dan pemantauan yang betul serta penilaian susulan daripada doktor mata yang bertauliah.

“Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, kanta sentuh hanya boleh disyorkan oleh pakar optometris berlesen atau pakar oftamologi.

Jika kanta sentuh adalah rawatan dan pemulihan untuk pesakit yang mempunyai masalah penglihatan, pemeriksaan mata pula perlu dilakukan oleh pakar oftamologi kepada semua pemakai kanta sentuh tidak mengira sama ada kanta yang dipakai itu berwarna atau tidak serta mempunyai kuasa atau sebaliknya.

“Pentingnya pemeriksaan mata adalah untuk menentukan kesesuaian kanta sentuh itu dengan mata si pemakai.

Ramai yang tidak sedar bahawa bukan semua orang boleh memakai kanta sentuh.

“Mereka dengan mata yang terlalu kering, alahan teruk di kelopak mata atau masalah lain berkaitan dengan mata perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Dr Abdullah berkata jika pengguna dididik secara betul, maka penggunaan kanta sentuh adalah selamat.

“Tahap kesihatan yang baik memerlukan perhatian sistematik dan ketelitian. Begitu juga dengan pengurusan kanta sentuh. Sebahagian besar jangkitan mata berpunca daripada perawatan dan pemeliharaan kanta sentuh yang tidak baik.

“Pemakai hendaklah mendisiplinkan dirinya agar aspek kebersihan mata, tangan dan udara di sekeliling benar-benar terjaga,” katanya. 

Sumber:
Harian Ekspres
27 Oktober 2012


No comments:

Post a Comment