Wednesday, 17 October 2012

Wang tunai RM78,500 hadiah pertandingan memancing

HADIAH wang tunai berjumlah RM78,500 dan pelbagai hadiah cabutan bertuah, termasuk kereta Perodua Viva, menanti peserta pertandingan Memancing Terbuka Sempena Melaka 750 Tahun yang akan berlangsung di Dataran 1Malaysia Pantai Klebang di Melaka, pada 21 Oktober ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata juara pertandingan anjuran Kerajaan Negeri Melaka bersama Yayasan Melaka serta beberapa jabatan dan agensi kerajaan negeri itu akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 diikuti RM15,000 bagi naib juara dan RM5,000 bagi tempat ketiga.

“Kita turut menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang di tempat keempat sehingga 50 selain menawarkan 70 hadiah cabutan bertuah kepada peserta yang tidak memenangi pertandingan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, pada Rabu (20 Okt).

Beliau berkata selain Perodua Viva, hadiah cabutan bertuah yang lain termasuk dua buah motosikal, tiket penerbangan pergi balik Melaka-Pulau Pinang, hamper dan pelbagai peralatan elektrik.

Orang ramai yang berminat menyertai pertandingan tersebut boleh mendaftar di Dataran 1Malaysia Pantai Klebang bermula 5 petang Jumaat ini hingga hari pertandingan dengan yuran penyertaan sebanyak RM60 bagi sebatang joran dengan dua mata kail, katanya.

Mohd Ali berkata pertandingan yang berlangsung dari 8 pagi hingga 12 tengah hari itu menyasarkan penyertaan 5,000 pemancing dari seluruh negara dan bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai acara memancing yang disertai peserta paling ramai.

Katanya rekod tersebut sebelum ini dipegang pertandingan memancing anjuran Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya yang mencatatkan penyertaan seramai 3,986 orang pada 13 Mei 2007.

No comments:

Post a Comment