Tuesday, 9 October 2012

Saya tidak salahkan sesiapa, kata Bob

Boyd PV

Bob... penerbit eksekutif
RENTETAN kontroversi yang tercetus berhubung Sailang Anak Kampung (SAK), penerbit eksekutif telefilem format DVD itu, Suhaimi Mohamed atau lebih mesra dipanggil Bob, berkata beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam perkara ini.

Mengakui terkejut dengan perkembangan itu, Bob juga berkata dia tidak mahu memperbesarkan isu itu.

“Tony (Francis Gitom) adalah kawan saya. Ebi (Kornelis), Marlin (Malalin), Janrywine (J.Lusin), Ampal dan pelakon-pelakon lain dalam telefilem itu juga kawan-kawan saya.

“Jadi saya mintalah agar perkara ini tidak dipanjangkan. Apa yang penting ialah memandangkan saya sudah melabur banyak wang dalam projek ini, saya perlu berusaha lebih gigih dan mencari jalan lain untuk memasarkan produk itu,” katanya ketika dihubungi di Gombak, Selangor pada Isnin.

“Bagi saya apa yang Tony cakap itu adalah pandangan peribadinya selepas saya bercerita kepadanya mengenai nasib yang menimpa produk Sailang Anak Kampung. Saya tidak mahu mengulas kenyataannya itu.

“Tapi saya akui jualan Sailang Anak Kampung sangat lembab di mana hanya 150 unit terjual selepas dilancarkan sejak 18 Julai lalu,” katanya yang baru pulang ke semenanjung selepas beberapa bulan berada di Sabah untuk memastikan kelancaran penjualan produk itu.

“Saya juga ada tinggalkan sekitar 100 keping salinan DVD telemovie itu dengan Tony untuk dia tolong jualkan,” jelasnya.

Mengenai di mana silapnya sehingga telefilem itu, yang membariskan pelakon-pelakon nama besar di Sabah tetapi gagal meraih sokongan menyeluruh peminat, Bob berkata kekurangannya mungkin dari segi promosi.

Mengulangi kenyataannya bahawa dia tidak menyalahkan sesiapa, Bob, bagaimanapun mengakui bahawa tidak ada perjanjian bertulis yang mensyaratkan pelakon-pelakon Sailang Anak Kampung perlu turun padang untuk mempromosi telefilem itu.

“Mungkin mereka tidak buat promosi sebab tidak ada perjanjian bertulis pun mengenai perkara itu,” katanya.

Apapun, Bob berharap pelakon-pelakon yang terbabit dalam telefilem itu dapat membantunya dari segi promosi untuk meningkatkan angka jualan produk itu.

“Susah juga mahu cakap sebab di antara kami memang kami tidak ada perjanjian. Tapi apa yang saya cakap ini hanyalah rayuan daripada seorang kawan,” katanya.

Selain itu, jelas Bob, dia sudahpun mendapatkan khidmat syarikat Skyline untuk mengedarkan produk itu.

“Insya’Allah ianya akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas semuanya dimuktamadkan,” katanya.

Mengenai kos pembikinan SAK yang dikatakan mencecah RM150,000, Bob menjelaskan jumlah itu sebenarnya turut merangkumi kos dua majlis pelancaran.

“Kos pembikinan Sailang Anak Kampung adalah sekitar RM120,000,” jelasnya.

Bob, bagaimanapun, enggan mengulas komen di Facebook mengenai ‘jaminan oleh rakan kongsi tempatan untuk menjana pulangan yang baik, pengedaran dan penjualan yang teratur, jualan meja pada majlis pelancaran di hotel dan publisiti yang meluas’.

“Saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini,” katanya berulang kali.

Ketika laporan ini ditulis, satu sidang media sedang berlangsung di Kota Kinabalu membabitkan Persatuan Rumpun Artis Sabah (Paras), sebuah persatuan baru yang bertanggungjawab menjaga kebajikan artis tempatan. Difahamkan, persatuan itu ingin mencari penyelesaian terhadap kontroversi ini (lihat laporan berasingan).

Sailang Anak Kampung diterbitkan dengan kerjasama antara Empayar Bayu (M) Sdn. Bhd dan Juah Corporation Sdn Bhd (yang diwakili oleh Bob).

“Saya tidak tahu menahu mengenai sidang media itu,” kata Bob.



Sumber:
Harian Ekspres
9 Oktober 2012

No comments:

Post a Comment