Sunday, 7 October 2012

Hobi menguntungkan

Black Magic mula mencipta nama.

Peminat ayam serama jana pendapatan sampingan



Boyd PV
SEMENTARA ramai di antara kita memilih untuk memelihara haiwan seperti kucing, arnab, hamster, tikus belanda, burung, anjing, kura-kura dan sebagainya, sekumpulan peminat ayam serama di Papar memilih untuk memanjakan haiwan comel yang angkuh dan kuat berlagak itu.

Malah sesetengah mereka menjadikan hobi memelihara ayam serama sebagai salah satu punca pendapatan sampingan.

Abdul Razak Mataram, 58, dari Kampung Laut di Papar sudah lebih 10 tahun menternak ayam terkecil di dunia itu.

Semuanya bermula sejak beliau menonton salah satu episod rancangan Majalah 3 di TV3 mengenai ayam serama pada tahun 2001.

Di Sabah ketika itu, ayam serama adalah sesuatu yang sangat asing.

Sebelas tahun kemudian, hari ini Abdul Razak memiliki sekurang-kurangnya 100 ekor ayam serama berkualiti tinggi. Jumlah itu tidak termasuk ratusan ekor lagi yang sudah dijualnya sejak beberapa tahun dahulu.

Pesara Pos Malaysia ini adalah antara segelintir peminat ayam serama di negeri ini yang memilik koleksi ayam serama baka terbaik.

Buktinya, ayam-ayam serama yang diternaknya kerap memenangi pertandingan yang semakin banyak dianjurkan di Sabah pada tahun-tahun kebelakangan ini.

“Rancangan Majalah 3 itu telah membuka mata penduduk di Sabah mengenai ayam serama,” katanya ketika Harian Ekspres berkunjung ke kediamannya baru-baru ini.

Menyambung bicara, Abdul Razak berkata sejak episod mengenai ayam serama itu disiarkan dalam program terbitan TV3 itu, beliau ‘jatuh cinta’ dengan haiwan tersebut dan berusaha mendapatkan bakanya untuk dibiakkan.

Ketika itu, katanya, belum ada larangan mengimport dan mengeksport burung ke dan dari Sabah.

“Saya membeli baka ayam serama dari penjual-penjual dari Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak pada harga yang sesetengahnya mencecah sehingga empat angka.

“Didorong oleh minat, saya beli baka ayam serama itu walaupun harganya agak mahal,” katanya.

Tapi sejak pengharaman itu dikuatkuasakan beberapa tahun dahulu disebabkan oleh penularan wabak selesema burung, tidak ada lagi baka dari luar diperolehi.

“Penternak-penternak ayam serama di Sabah kini terpaksa bergantung kepada bekalan baka yang ada di sini,” katanya.

Beliau, bagaimanapun, gembira kerana baka yang diperolehinya sebelum pengharaman itu dikuatkuasakan adalah baka terpilih yang membolehkan dia menghasilkan anak-anak ayam serama berkualiti, menerusi proses kacukan silang.

Setelah melepasi zaman kegemilangannya,
kini Manisah Laut dijadikan ayam pembaka
untuk menghasilkan baka berkualiti.
Ayam serama kebanggaannya, diberi nama Manisan Laut, pernah empat kali dinobatkan juara kategori dan tiga kali merangkul gelaran Ayam Serama Terbaik (Best of the Best).

Seekor lagi ayam serama miliknya, Black Magic, berusia 5 bulan kini sedang mula menempa nama.

Baru-baru ini, dalam satu pertandingan di Papar anjuran sekumpulan peminat ayam serama dari daerah itu, Black Magic mengungguli kategori Ayam Muda.

“Kemenangan itu memberi kepuasan yang sukar dilafazkan dengan kata-kata,” katanya.

Sejak bersara pada 2006, Abdul Razak mempunyai lebih banyak masa untuk melunaskan ‘kegilaan’nya terhadap ayam serama.

Malah, minat mendalamnya terhadap haiwan itu diterjemah melalui satu ruang di belakang rumahnya yang dikhususkan untuk ayam-ayam tersebut.

Reban itu menempatkan ayam-ayam serama pelbagai peringkat umur.

Di ruang berkeluasan 4 meter x 3 meter itulah dia membiak-bakakan ayam-ayam itu menerusi proses kacukan silang dan melatih mana-mana ayam yang dilihat berpotensi untuk dipertandingkan.

Abdul Razak bersama piala-piala yang
pernah dimenangi oleh ayam-ayamnya.
Ketika gambar ini diambil, Black Magic,
begitu megah memberikan aksi menarik.
Di ruang yang sama jugalah dia menjaga ayam-ayam itu ‘bagai menatang minyak penuh’, tanpa mengira waktu.

Di tempat itu juga dia menghabiskan masa beberapa jam sehari bersama ayam-ayamnya.

Gambaran ini mungkin mempengaruhi persepsi pembaca bahawa aktiviti penternakan ayam serama sangat rumit, perlu teliti dan memenatkan. Tapi adakah Abdul Razak berkongsi tanggapan serupa?

“Tidak,” katanya sambil ketawa.

Malah, bagi Abdul Razak, menjaga haiwan peliharaannya itu memberikan ketenangan kepadanya.

“Ia bagaikan satu terapi,” katanya sebelum menambah dia mendapat kepuasan yang sukar digambarkan apabila melihat gelagat ayam-ayam serama itu.

“Ayam serama adalah haiwan yang suka berlagak apabila diberikan perhatian dan itulah yang membuatkan ianya sangat unik,” ujarnya.

Kalau ada pembaca yang mungkin terfikir bahawa menternak ayam serama adalah satu hobi yang mahal, anda silap.

“Saya hanya membelanjakan sekitar RM100 sebulan untuk ayam-ayam saya,” kata Abdul Razak.

Jumlah itu meliputi semua keperluan termasuk makanan dan ubat-ubatan, tambahnya.

Kos itu, bagaimanapun, bergantung kepada jumlah ayam serama yang diternak.

Pesara polis, Yusof Mohd Nor, 58, dari Kg Sungai Padang di Papar, berkongsi pendapat yang sama.

“Memelihara atau menternak ayam serama tidak semahal yang disangkakan kebanyakan orang,” katanya.

Yusof bersama piala-piala yang diraih
dalam beberapa Pertandingan Kesenian
dan Kecantikan Ayam Serama di seluruh Sabah.
Mungkin disebabkan harga ayam serama itu sendiri agak mahal (di Sabah anak ayam serama dijual RM50 seekor manakala harga ayam remaja atau dewasa boleh mencecah ratusan malah ribu ringgit bergantung kepada baka), ramai yang sekadar mampu ‘meminati’ spesies ayam itu dari jauh.

“Tapi minat saya mengatasi segalanya,” katanya penuh makna sambil tersenyum.

Sepertimana Abdul Razak, Yusof juga mula memelihara ayam serama pada tahun 2001 setelah menonton episod serama dalam Majalah 3 itu.

Malah mereka berdua adalah antara peminat ayam serama terawal di Sabah yang memelihara ayam itu dan masih bertahan sehingga kini.

Ketika ini, Yusof memiliki sekurang-kurangnya 50 ekor ayam serama pelbagai peringkat umur yang diternak di kawasan rumahnya dan menghabiskan masa 3 hingga 4 jam sehari untuk ‘bermesra’ dengan ayam-ayam itu.

Menurut Yusof, pemelihara ayam serama perlu mewujudkan ‘hubungan’ dengan ayam-ayam yang dibela.

“Kita perlu selalu belai ayam-ayam ini agar mereka selesa dengan kita dan mudah untuk kita bentuk sikap dan gayanya khususnya jika ayam itu berpotensi untuk dipertandingkan,” kata Yusof.

Ayam-ayam serama milik Yusof juga sering mendapat tempat dalam pertandingan.

Masdin, 27, dari Kg Laut, Papar baru dua tahun bergiat dalam aktiviti penternakan ayam serama.

Masdin menjana pendapatan sampingan
dengan menternak ayam serama sejak
dua tahun lepas.
Tapi dalam jangkamasa yang singkat itu, pengusaha kedai telefon bimbit ini, sudah mampu menjana pendapatan tambahan hasil hobinya menternak ayam serama, sama seperti Abdul Razak dan Yusof.

Mereka kerap didatangi peminat ayam serama dari seluruh Sabah yang berminat untuk membeli ayam-ayam serama mereka.

“Itulah yang seronoknya mengenai hobi ini,” akuinya.

Selain mendapat kepuasan apabila ayam yang dibela mendapat gelaran dalam pertandingan, hobi itu memberikan mereka pendapatan sampingan.

Di Sabah, perlu diakui bahawa hadiah-hadiah dalam pertandingan ayam serama tidak sehebat seperti yang mungkin ditawarkan di semenanjung atau di negara jiran, Indonesia atau mungkin juga di negara-negara Asean lain. Ini kerana perkembangan aktiviti pemeliharaan ayam serama di Sabah dianggap masih diperingkat bertatih.

Bagaimanapun, dalam mana-mana pertandingan kesenian dan kecantikan ayam serama di Sabah, bukan hadiah yang diburu oleh peminat ayam itu.

“Mereka memburu gelaran,” akui Abdul Razak.

Apabila ayam yang dipertandingkan menjuarai mana-mana kategori atau lebih hebat lagi jika dipilih sebagai ayam serama terbaik, maka empunya ayam itu akan menjadi tumpuan peminat ayam serama lain.

“Gelaran itu dianggap sebagai satu pengiktirafan bahawa kita mempunyai baka yang baik. Ia satu promosi secara langsung,” katanya.

Kebiasaannya, selepas sahaja sesuatu pertandingan kesenian ayam serama berlangsung, kata Yusof, mereka akan dikunjungi peminat-peminat ayam serama dari daerah lain yang berminat untuk membeli ayam yang mereka ternak.

Malah sehari sebelum temubual ini berlangsung, Abdul Razak menjual enam ekor ayam seramanya kepada pembeli dari luar daerah yang datang sendiri ke rumahnya.

Berapa banyak wang bertukar tangan dalam transaksi itu?

Abdul Razak membiarkan soalan itu berlalu tanpa jawapan. Tetapi raut wajahnya menunjukkan dia sangat gembira.

Bagaimanapun, maklumat daripada seorang sumber, Abdul Razak pernah menjual ayam seramanya pada harga mencecah RM1,500 seekor sementara Yusof pula pernah ‘melepaskan’ seekor ayam serama kesayangannya pada harga RM800.

Malah dua hari lepas, seorang pengguna Facebook dari Kota Kinabalu dilihat menawarkan ayam seramanya pada harga RM600 seekor.

Lumayan? Anda fikirlah sendiri.

Hanya daripada baka terpilih

Abdul Razak, Yusof dan Masdin menternak ayam daripada baka Tok’ Uban yang disifatkan sebagai baka paling popular kerana memiliki ciri-ciri fizikal yang sangat menarik, agresif dan pandai bergaya.

Selain Tok’ Uban, baka-baka ayam serama yang ada di Sabah ialah Limbat, Manir, Kijang, Anjaria, Biarai, Lanun, Besi Buruk dan Muji, antara lain.

Tapi secebis nasihat daripada mereka, peminat ayam serama tidak harus keliru dengan ayam bersaiz kecil lain dari jenis kapan dan katik.

“Ayam kapan bersaiz sedikit lebih besar berbanding serama,” kata Masdin.

Katik pula, katanya, hampir sama saiz dengan serama tetapi beratnya berbeza.

“Katik biasanya 500 gram ke atas tetapi serama kurang daripada itu untuk ayam dewasa,” jelasnya.

Tapi perbezaan yang paling ketara ialah dari segi sifat ayam-ayam itu di mana ayam serama lebih suka menunjuk-nunjuk apabila mendapat perhatian terutamanya ketika berada di meja pertandingan.

“Itulah sebabnya ayam serama lebih menjadi pilihan,” katanya.


Bukan hobi eksklusif

Sesiapa sahaja boleh menternak atau memelihara ayam serama, asalkan minat itu ada.

Walaupun harganya mungkin sedikit mahal, ia jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga kucing baka terpilih yang dijual mencecah RM2,500 seekor di sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di pekan Beaufort, atau Iguana berharga RM1,400 yang pernah ditawarkan di sebuah kedai serupa di pekan Tanjung Aru.

Kalau anda rajin berkunjung ke Pasar Minggu Jalan Gaya, anda juga boleh buat perbandingan harga haiwan-haiwan peliharaan yang dijual di sana.

Bagaimanapun, seperti kata Yusof, jika sudah minat, harga bukan lagi satu faktor.

Selain kos penjagaan yang murah, menternak ayam serama juga boleh menjana pendapatan sampingan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kumpulan peminat ayam serama di negeri ini, anda boleh menyertai mereka di laman Facebook: www.facebook.com/serama.waja.

Fakta ayam serama

O Jangka hayat antara tujuh hingga 15 tahun

O Berat ideal adalah 500 gram ke bawah dengan saiz adalah satu pertiga dari ayam biasa.

O Ciri istimewa adalah ekor lentik, berdada tegak dan kepak lurus ke bawah.

O Mempunyai kira-kira 2,000 warna.

O Menjadi haiwan peliharaan kerana jinak, manja dan mengenali tuannya.

O Haiwan ini mempunyai gelagat menarik seperti berjalan mengundur.


Menternak ayam serama tidak memerlukan ruang yang besar.

Seperti juga ayam biasa, serama membiak dengan pantas.

Ayam serama mengeluarkan telur antara 6 dan 12 biji dengan tempoh mengeram antara 18 dan 21 hari.
Peratusan kejayaan penetasan ialah antara 50 dan 80 peratus. Selepas 7 hari dieram, telur
perlu disuluh menggunakan lampu suluh untuk memastikan janinnya menjadi (lihar gambar di bawah).


Antara barangan yang diperlukan untuk penjagaan ayam serama.

Ayam serama untuk pertandingan perlu dilatih  termasuk
diurut dan dengan menggunakan serkap (lihat gambar di bawah).


Sumber:
Harian Ekspres
7 Oktober 2012


1 comment:

  1. terbaik...semoga di sabah dan sarawak...serama terus berkembang...

    ReplyDelete