Tuesday, 9 October 2012

Paras beri TFG seminggu mohon maaf

SERIUS... (dari kiri) Marlin, Ebi, Janry dan Ampal.

Kredit: 
Ricardo Unto
riqiriqi@facebook.com


SUSULAN paparan kemaskini status pengarah dan penerbit Tony Francis Gitom (TFG) di Facebook yang dilaporkan pada Isnin, Persatuan Rumpun Artis Sabah (Paras) menuntut Tony membuat kenyataan maaf secara terbuka.

“Paras baru ditubuhkan dan secara kebetulan nama-nama yang disebut dan diaibkan dalam posting pada Facebook milik Tony adalah ahli jawatankuasa tertinggi Paras (Abu Bakar Ellah – Presiden, Ebi Kornelis – Naib Presiden, Marlin Malalin – Setiausaha dan Janrywine J Lusin – Bendahari),” kata Abu Bakar Ellah pada sidang media di Kota Kinabalu, Isnin.

Abu Bakar yang lebih dikenali sebagai Ampal, berkata, Tony diberi masa seminggu bermula Selasa, 9 Oktober untuk membuat kenyataan maaf sama ada di media atau Facebook, jika tidak, Paras akan mengambil tindakan susulan.

Isnin lepas, Hiburan Ekspres melaporkan Tony menjelaskan niatnya membuat posting di Facebook pada Sabtu lalu adalah untuk “menghangatkan keadaan agar jualan DVD Sailang Anak Kampung akan lebih berjalan rancak”.

Tony juga berkata, apa yang ditulisnya di Facebook adalah berdasarkan kepada apa yang diberitahu oleh Bob (penerbit eksekutif Sailang Anak Kampung) kepadanya sebelum Bob kembali ke Semenanjung.

“Saya cuma paparkan luahan hatinya, selain menyelitkan pendapat peribadi saya,” ujar Tony dalam laporan tersebut.

Menurut Ampal, kenyataan permohonan maaf adalah langkah terbaik untuk menjernihkan keadaan.

“Sebagai persatuan (Paras), adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menjaga kepentingan dan kebajikan artis. Bukan sekadar ahli, malah bukan ahli juga boleh datang kepada kami untuk mendapatkan bantuan, terutama dalam hal yang melibatkan reputasi artis tergugat,” jelasnya.

Ampal turut melihat isu yang timbul adalah sesuatu yang ganjil.

“Saya melihatnya sebagai perkara yang ganjil, kerana lazimnya, jika berlaku konflik, ia adalah antara kalangan warga produksi filem, telefilem atau sebagainya.

“Tapi dalam kes ini, konflik adalah antara pihak yang tidak terlibat secara langsung dengan produksi dengan mereka yang terlibat dengan pembikinan telefilem itu,” kata Ampal.

Ampal turut memberitahu dia terkejut dengan isu itu kerana secara langsung ia menunjukkan seolah-olah artis Sabah tidak beretika, tidak berdisplin dan tidak bersikap profesional.

“Paparan sebegini memberi kesan mendalam, terutama artis yang terlibat, kerana mungkin penerbit atau penganjur yang ingin mengambil khidmat kami terkesan dengan kenyataan sebegini.

“Sebagai orang lama dalam bidang ini (pembikinan filem, telefilem dan drama), Tony sepatutnya membuat penyelidikan terlebih dahulu… dia seharusnya bertanya kepada pihak yang terlibat dengan produksi dan bukannya membuat posting sesuka hati di Facebook,” kata Ampal.

Menyentuh dakwaan bahawa pihak yang bekerjasama dengan Juah Corporation dalam pembikinan Sailang Anak Kampung – Empayar Bayu tidak menguruskan pemasaran dan promosi dengan baik, pemilik bersama Empayar Bayu, Ebi menjawab:

“Kenyataan itu tidak benar. Sepatutnya dari awal lagi, jika sesebuah program ingin dilaksanakan, perlu ada perjanjian dan bukannya disebut setelah produk itu siap.

“Tiada perjanjian bertulis dengan Juah Corporation mengenai promosi dan pemasaran. Tapi atas dasar kami (Empayar Bayu) mahu memberi sumbangan kepada industri tempatan, kami bawa mereka (Juah Corporation) datang ke Sabah dan hasilkan telefilem.

“Dalam hal ini, kami juga tidak tetapkan sebarang bayaran untuk perkhidmatan kami. Dalam kata lain, urusan kami dengan Juah Corporation bukan seratus peratus berlandaskan kepada perniagaan.

“Kalau diikutkan, kami boleh mengenakan caj kerana mereka menggunakan khidmat kami, tapi kami tidak berbuat demikian. Dari segi pelaksanaan, tiada masalah, di mana penyediaan lokasi, pelakon dan peralatan berjalan lancar.”

Ebi turut memberitahu sebab utama mereka memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Juah Corporation, terutama dalam hal promosi adalah sikap tidak profesional pihak penerbit eksekutif.

“Perlu ada bajet pelaksanaan, dan perbincangan mengenai promosi. Tapi tiada rundingan jadi macam mana promosi hendak dijalankan. Kami juga perlu menjaga nama baik Empayar Bayu dan pelakon yang terlibat dalam telefilem itu,” kata Ebi.

Katanya lagi: “Dalam kontrak sepatutnya sudah dinyatakan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pelakon. Artis tidak boleh buat perkara yang tiada dalam kontrak.

“Bob telah memalukan artis Sabah. Saya rasa dia cuba menutup kesilapannya dengan memalukan kami… ia memang menyakitkan hati.”

Seorang lagi pemilik bersama Empayar Bayu, Marlin pula berkata, selama penghasilan dan ketika pelancaran Sailang Anak Kampung, semua yang terlibat memberi kerjasama dan komitmen penuh.

“Lihat sahaja pada malam pelancaran, Ampal tampil secara eksklusif, Janrywine pula membuat persembahan, sementara saya mengacarakan majlis. Pada malam itu juga, banyak salinan DVD terjual.

“Kami memberi setimpal dengan bayaran. Kami (Empayar Bayu) tidak memegang satu sen pun duit. Jika disebut mengenai penjualan tempahan meja untuk majlis pelancaran Sailang Anak Kampung, saya berusaha gigih,” beritahu Marlin.

Difahamkan, tiada satu salinan DVD telefilem itu pun diberikan kepada Empayar Bayu untuk dipasarkan atau dipromosi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Macam di KK dan turut menjadi pelakon utama dalam Sailang Anak Kampung – Janrywine pula mempertikaikan locus standi Tony mengutarakan isu tersebut.

“Tony langsung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan produksi telefilem itu, kenapa dia perlu bercakap bagi pihak penerbit?

“Kenyataannya tidak menyokong kami, malah Tony menyindir, memperkecilkan artis yang sudah established.

“Siapa dia untuk bersuara? Ini sepatutnya perbincangan meja bulat antara penerbit dan pihak yang bekerjasama dengan penerbit.

“Kalau timbul masalah, perbincangan perlu dilakukan untuk mencari penyelesaian. Kalau Tony campur tangan, dan membuat posting di Facebook, dia telah melakukan kesilapan besar dan mengaibkan nama artis lain,” kata Janrywine.

Janrywine turut mempersoalkan motif sebenar Tony membuat posting itu.

“Jika Tony bukan seseorang yang tidak mempunyai pengaruh… mungkin tidak apa. Tapi dia adalah seseorang yang dikenali ramai. Apa sahaja kenyataan yang dikeluarkannya, pasti ada kesannya,” tambah Janrywine.

Celah Ampal: “Tony cuba menjadi hero. Sebelum ini, terdapat banyak lagi produksi yang bermasalah, tapi kenapa baru sekarang dia bersuara, dan kenapa Sailang Anak Kampung?”.

Janrywine juga berpendapat Tony sepatutnya mengamati terlebih dahulu segala input yang diberikan oleh Bob.

“Sebagai anak seni tempatan, Tony mempunyai pengikut sendiri dan berjuang bersama-sama artis tempatan untuk mengembangkan arena hiburan kita.

“Dalam hal ini, dia sewajarnya tidak menerima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh Bob. Jika tidak, ini membawa maksud dia hanya memperjuangkan dirinya sendiri dan pada masa sama mengaibkan artis lain,” kata Janrywine.

Sementara itu, isu kualiti telefilem Sailang Anak Kampung turut dibangkitkan pada sidang media itu.

“Kalau telefilem itu ditonton dan diamati, pasti ramai yang dapat mengesan beberapa masalah di dalamnya… audio dan shot kurang baik dan sebagainya.

“Kami memang menegur mereka, agar suntingan dibuat dengan teliti sebelum dikeluarkan,” kata Marlin.

Tambah Ebi: “Tapi mereka (Juah Corporation) tidak mahu terima pandangan kami. Mungkin mereka berpendapat mereka lebih pandai. Kami beri pandangan, sebab dalam produk ini ada nama Empayar Bayu, jadi kami ada hak untuk bersuara.

“Kualiti perlu dijaga. Kalau kami keluarkan pun, kami yang akan malu. Kami mau jaga reputasi semua yang terlibat dalam produksi ini.”

Bukan setakat itu, poster dan muka depan DVD telefilem itu juga menimbulkan perasaan tidak puas hati.

“Lihat poster telefilem ini (poster berlatarbelakangkan gambar harimau)… tanggapan saya ketika pertama kali melihatnya membawa konotasi untuk mengajak kita pergi ke zoo.

“Gambar pada muka depan DVD juga suram. Gambar pelakon perlu jelas untuk menarik hati pembeli. Adakah ini dikatakan sebagai promosi?” soal Ampal.

Sementara itu, Janrywine melihat isu yang timbul ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa “bidang hiburan di Sabah semakin berkembang dan mendapat perhatian”.

“Namun apa sahaja perhatian yang ingin diraih perlu mendatangkan impak positif. Jika ada artis yang membuat kesilapan, artis lain perlu membantu membetulkan mereka. Kita semua perlu bergerak seiringan,” katanya.


Sumber:
Harian Ekspres
9 Oktober 2012



No comments:

Post a Comment