Thursday 11 October 2012

Pertandingan nyanyian di Labuan

Boyd PV

SATU pertandingan nyanyian solo akan diadakan di Labuan awal November ini.

Dikenali sebagai Labuan’s Voice of Champ 2012 (LaVOC 2012), acara anjuran sekumpulan penggemar seni hiburan tempatan berpangkalan di Labuan, Dronncreative, itu akan diadakan pada 4 November (Ahad) bermula jam 8 malam.

Menurut penganjur pertandingan itu, Ronney Ajim, acara saringan akan diadakan sehari sebelum itu (3 November) juga pada jam 8 malam.

“Sepuluh finalis akan bertanding pada malam final. Kedua-dua acara itu akan diadakan di Victoria Island Club, Sawangan Cina Labuan,” tambah Ronney ketika dihubungi di Labuan pada Rabu.

“Borang penyertaan LaVOC 2012 boleh diperolehi daripada Urusetia Program iatu Flovina Iding (017-8653328), Marjorie Stephen (016-8361536) ataupun melalui saya sendiri di talian 013-5595111.

Ronney 
“Borang yang telah diisi hendaklah dikembalikan selewat-lewatnya pada 2 November (Jumaat) dan cabutan undi akan diadakan pada 3 November jam 1 petang di Victoria Island Club,” kata Ronney.

Program itu, kata Ronney, merupakan salah satu daripada matlamat Dronncreative yang ingin melihat Pulau Bebas Cukai itu sentiasa meriah dengan program-program yang berbentuk hiburan selain memberi peluang kepada peminat seni suara di sekitar Labuan, Sabah dan Sarawak untuk menyerlahkan bakat nyanyian terpendam mereka.

Untuk itu, katanya, LaVOC dibuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bermastautin di ketiga-tiga tempat itu.

“Bagaimanapun, penganjur tidak bertanggungjawab terhadap perbelanjaan pengangkutan, makan dan minum peserta,” katanya.

Peserta bebas memilih lagu dalam mana-mana bahasa untuk mereka nyanyikan.

“Bagaimanapun, mereka diingatkan agar menyediakan CD atau Minus One masing-masing dan perlu menghafal lirik kerana semua peserta akan dimestikan menyanyi tanpa bantuan skrin TV,” katanya.

Juara akan menerima hadiah wang tunai RM1,000, Naib Juara (RM750) manakala tempat ketiga akan pulang dengan hadiah RM500. Kesemua pemenang ini juga akan menerima trofi.


No comments:

Post a Comment