Monday 9 January 2012

UIA, KGMSB kaji faedah perubatan kayu gaharu

UNIVERSITI Islam Antarabangsa (UIA) dan sebuah syarikat tempatan, Kayu Gaharu (M) Sdn Bhd (KGMSB) menjalin kerjasama untuk membangunkan kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai inokulasi ke atas pokok gaharu dan faedahnya dalam pelbagai bidang, termasuk perubatan.

Kedua-dua pihak itu pada 9 Januari 2012 menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi tujuan itu di Kuala Lumpur .

UIA diwakili oleh Rektornya Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin manakala KGMSB diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Osman Hanapi.

Ketika berucap pada majlis itu, Osman berkata kajian ke atas pokok gaharu yang menggunakan inokulan hasil daripada kerjasama UIA dan KGSMB telah mendapat pujian pengguna.

“Saya yakin inokulasi ini akan dapat membantu pengusaha-pengusaha gaharu amnya bagi membangunkan modal insan yang mana kajian inokulan tersebut akan dipatenkan dan akan dijual dalam pasaran dengan harga yang murah,” katanya.

Beliau berkata kerjasama yang dijalankan itu, yang bermula sejak Mac tahun lepas bagi kajian ke atas bidang perubatan seperti penggunaan gaharu untuk anti kanser, anti radang, ubat pelali/bius dalam pembedahan dan terapi dadah, telah menunjukkan tindak balas yang amat positif.

Osman berkata hasil kerjasama tersebut, pihaknya mencadangkan untuk membangunkan OUDH Resources Centre di UIA bertujuan menyebarkan maklumat berkenaan dengan gaharu kepada masyarakat selari dengan pasaran halal yang merangkumi produk-produk gaharu seperti minyak wangi, teras kayu, produk kosmetik dan produk perubatan.

Sementara itu dalam satu kenyataan akhbar, UIA berkata universiti itu memulakan usaha kerjasama dengan KGMSB sejak 2010 dalam pelbagai fasa penyelidikan dan pembangunan produk berkaitan gaharu dan inokulan.

“Pada masa ini, UIA dan KGMSB telah menghasilkan haruman berasaskan gaharu di bawah ARSeries,” kata kenyataan itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Rektor penyelidikan dan Inovasi UIA Prof Dr Ahmad Faris Ismail.

Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment