Wednesday 25 January 2012

Lexband ambil risiko rakam lawak jenaka

Boyd PV

myyzoom.blogspot.com

SEKITAR lewat tahun 70-an dahulu, peminat ketika itu pernah bergelak ketawa mendengar rakaman audio kaset sketsa lawak jenaka Datuk Jamali Shadat, Atan dan Hamid Gurkha.

Kemudian sekitar tahun 90-an, muncul pula rakaman audio genre sama oleh Din Beramboi (allahyarham) dan beberapa pelawak lain juga menyusul selepas itu.

Tapi di Sabah, belum ada lagi mana-mana pelawak tempatan yang berani mengambil risiko menghasilkan rakaman sketsa lawak jenaka secara komersil sehinggalah Lexband Anthony mengambil opsyen itu akhir tahun lalu.

Satu nama baru dalam industri seni tempatan, Lexband, 30, memiliki bakat yang pelbagai. Dia boleh mencipta lagu, menulis lirik, menyanyi dan berjenaka.

Tapi katanya, dia lebih gemar merujuk dirinya “pengkarya”.

Apapun panggilan yang diberi kepadanya, Lexband yakin dia adalah pelopor kepada genre lawak jenaka dalam bentuk CD audio di Sabah.

“Belum pernah ada sesiapa menghasilkan produk seperti itu di negeri ini,” katanya ketika berkunjung ke pejabat percetakan akhbar ini di Tanjung Aru, baru-baru ini.

Anda boleh mencipta lagu, boleh menyanyi tetapi anda memilih untuk menghasilkan rakaman audio sketsa lawak jenaka. Boleh jelaskan kenapa anda memilih satu percaturan yang sangat berani ini?

“Berdasarkan pengamatan, album CD audio susah jalan. Kerana itu, saya meninjau opsyen lain dan kebetulan minat saya cenderung kepada bidang lawak jenaka. Kerana itulah saya memilih untuk menghasilkan rakaman audio sketsa lawak jenaka dalam bentuk CD, sesuatu yang belum pernah dibuat oleh mana-mana pelawak di Sabah,” katanya yang memiliki syarikat rakaman sendiri, LRX Production berpangkalan di Papar.

Album Lexband Kilang Ketawa memuatkan beberapa sketsa lawak jenaka yang diselitkan dengan beberapa buah lagu.

Antara trek lawak jenaka dalam album itu ialah Dukun FB, Senam Abang Misai, Berita Abukas, Saya Tidak Gila dan Ikan Masin.

Trek lagu pula ialah Bustop, Main Bubut Bubut, Oi DJ dan I Love You Banana.

“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan rakaman sketsa lawak jenaka ini kerana saya ada banyak idea untuk membuatkan orang ketawa.

“Tapi untuk menjaga kualiti, saya pastikan apa yang saya muatkan dalam album Lexband Kilang Ketawa ini adalah karya terbaik saya setakat ini,” katanya yang khabarnya masih sibuk memenuhi jadual temubual bersama stesen-stesen radio tempatan untuk mempromosi album lawak jenakanya itu.

Khabarnya juga, dalam tempoh dua minggu album lawak jenakanya itu berada di pasaran, lebih 500 unit telah terjual. Angka jualan itu adalah pembayang memberangsangkan mengenai potensi album itu di pasaran.

“Kalau ada rezeki, saya akan menghasilkan album kedua sketsa lawak jenaka ini tapi ia bergantung kepada sambutan peminat.”

Dengan bakat berjenaka yang dimilikinya, tidakkah tergerak di hati Lexband untuk cuba melebarkan sayap ke pentas lebih besar dengan menyertai program-program realiti berkaitan lawak jenaka atau lakonan di televisyen?

“Tidak,” katanya sebelum menambah, dia ingin mencipta nama mengikut rentak dan caranya sendiri.

Dalam bidang nyanyian, dua singlenya – Main Bubut Bubut dan Bustop – diterima baik oleh peminat dan kerap mendapat ruang siaran khususnya oleh stesen radio swasta tempatan.

Pencapaiannya dalam carta lagu-lagu tempatan juga boleh dikira bagus di mana lagu-lagunya mampu memberi siangan kepada lagu-lagu oleh penyanyi senior yang lain.

“Saya bersyukur kerana karya saya diterima. Saya akan terus menghasilkan lagu sama ada untuk saya nyanyikan sendiri atau saya berikan kepada orang lain untuk mereka nyanyikan kerana ia memberikan saya kepuasan,” kata Lexband yang memilih untuk menonjolkan identiti Sabah dalam karya-karya yang dihasilkannya.

“Bagaimanapun,” katanya, “saya belum terfikir untuk menghasilkan album penuh (lagu) dalam masa terdekat ini. Biarlah saya melakukannya secara berperingkat. Cuba dulu yang ini (sketsa lawak jenaka) dan kalau ada rezeki nanti, saya akan muncul dengan album penuh yang memuatkan lagu-lagu nyanyian saya.”

Nama Lexband muncul seiring dengan kemunculan lagu Main Tapuk Tapuk yang diciptanya untuk penyanyi Elmar.

Banyak lagu lain disumbangkannya kepada rakan-rakan artis lain dan yang terbaru, Lexband menghasilkan lagu Saya Urang Sabah untuk Rey.

Biarpun belum ada makluman rasmi mengenai lagu itu, Saya Urang Sabah telahpun diperdengarkan kepada kalangan rakan-rakan Rey dan Lexband di rangkaian sosial Facebook.

Lagu itu juga sudah mula mendapat ruang siaran di stesen radio tempatan.

“Saya rasa sangat terharu apabila Rey sudi menyanyikan lagu ciptaan saya. Saya harap kolaborasi ini menjadi,” katanya.

No comments:

Post a Comment