Wednesday, 9 May 2012

Ivye mohon maaf kepada peminat

'Semua orang ada masa
lalu dan saya tidak mahu
terus meratapi apa
yang sudah berlalu' 
 
Boyd PV
Harian Ekspres

SELEPAS namanya mencanak naik menerusi album pertama berjudul Hiti Oku Poingandad pada tahun 2007, populariti Ivye Alexandra kini seperti semakin mengecil di pentas hiburan tempatan.

Malah, kemunculan album keduanya, Babang, hampir tiga tahun lalu juga tidak banyak membantu mengembalikan populariti penyanyi ini yang suatu ketika dahulu pernah bernaung di bawah label Moe’s Music Production.

Penganjur acara sukar mendapatkan khidmat Ivye malah wartawan hiburan juga sukar menjejakinya untuk mendapatkan perkhabaran terbaru.

Ivye Alexandra terus menyepi. Sesekali kedengaran gosip mengenai kisah peribadinya. Namanya pun gosip, penat orang bercakap, cerita itu akhirnya berlalu begitu sahaja. Tapi, itu cerita beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, penulis berpeluang bertemu Ivye dalam satu sidang media di Kota Kinabalu untuk mengumumkan konsert besar-besaran yang menghimpunkan tidak kurang 20 artis tempatan. (Konsert itu dijadual dilangsungkan dalam masa terdekat. Bagaimanapun, berlaku perubahan besar dalam butiran mengenai projek itu dan perkembangan mengenai konsert mega itu akan dilaporkan kemudian setelah semua butiran itu dimuktamadkan).

Tampak lebih bersemangat, Ivye menerima pelawaan untuk ditemubual.

Antara butiran yang dikongsikannya ialah penyanyi ini akan muncul dengan dua single dalam masa terdekat.

“Singles itu akan dimuatkan dalam album kompilasi bersama rakan artis lain,” katanya.

Ivye mengharapkan single Ganit Piupusan (ciptaan Apis Budin dan Ivye) dan Misuai Nodi Ralan (ciptaan Sekar Madusa) akan kembali memperkukuhkan namanya di persada muzik tempatan.

Bagaimanapun, Ivye tidak mengiyakan ataupun menafikan kaitan kedua-dua lagu itu dengan kehidupan peribadinya.

Umum mengetahui Ivye telah putus tunang dengan penyanyi Reno Rodney Fabianus.

“Ia sekadar lagu,” katanya ringkas sambil tersenyum manja bagai memberi isyarat dia enggan berkongsi kisah sedih yang pernah dilaluinya.

Selain menyanyi, Ivye juga terbabit dalam bidang lakonan.

Selepas menjayakan watak utama menerusi telefilem format VCD Esther Eshtera beberapa tahun lalu, Ivye kembali dalam telefilem berjudul Sompoton yang disiarkan di TVi sedikit masa lalu. Telefilem itu menggandingkan dia dengan pelakon Noni AF dan Marlin Malalin, antara lain.

Terbaru, dia menjayakan telemovie format DVD Ampal The River Man yang khabarnya sedang dalam proses penyuntingan.

Semua ini membuktikan, asalkan kita komited dan gigih dalam berkarya, rezeki tetap ada dalam bidang ini.

Walaupun sudah agak lama menyepi, Ivye tetap diberi ruang dan peluang untuk berkarya kerana dia mempunyai apa yang diperlukan untuk berada dalam bidang ini.

Jadikan kesilapan lalu sebagai iktibar dan teruskan berkarya dengan disiplin dan komitmen yang tinggi. Ivye harus memanfaatkan peluang kedua ini dengan sebaiknya.

“Saya memohon maaf kepada peminat kerana pernah menjauhkan diri dari persada seni.

“Saya tidak ingin mengenang apa yang telah saya lalui sebelum ini tapi apa yang dapat saya katakan, saya kini sudah sedia untuk bangkit dan memulakan langkah baru dalam bidang ini. Saya mengharapkan sokongan semua,” kata Ivye.

Butir bicaranya kali ini lebih matang.

“Semua orang ada masa lalu dan saya tidak mahu terus meratapi apa yang sudah berlalu,” tambahnya dengan tenang.

Mengenai perniagaan salun rambut miliknya yang gagal bertahan, Ivye mengakui itu adalah cabaran orang berniaga.

“Saya tidak dapat memberi tumpuan kepada perniagaan itu dan minta orang lain tolong uruskan. Saya sangat terkilan kerana tersilap pilih orang untuk diberi kepercayaan sehingga mengalami kerugian besar.

“Saya diberitahu, pelanggan tidak ramai datang ke salun saya tapi pada masa sama, produk-produk di salun saya habis. Dari situ saya sudah dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena. Tidak mahu memeningkan kepala, saya jual perniagaan itu,” katanya.

Tapi pengalaman itu tidak membuatkan dia serik untuk terus berniaga.

Ketika ini, Ivye sibuk mengusahakan sebuah butik di daerah kelahirannya, Tambunan.

“Setakat ini, perniagaan butik saya berjalan dengan baik. Selain menerima tempahan menjahit pakaian, butik itu juga menjual pakaian siap yang eksklusif rekaannya,” kata Ivye yang turut mempunyai perancangan untuk membuka sebuah café, juga di Tambunan, dalam masa terdekat.

“Doakan usaha saya berhasil,” katanya.

1 comment:

  1. sebagai sahabat dalam seni hiburan tempatan saya mohon agar ivye jangan sesekali mengalah dalam apa jua sekalipun ia amat mencabar serta tidak mudah putus asa.
    sebagai rakan artis saya menyokong beliau semoga berjaya melangkah kehadapan buat kali yg kedua.
    dari yg ikhlas "Max Hip Hop D'Cario Kuzo"

    ReplyDelete