Monday, 11 June 2012

Dari perut bumi ke galeri pameran

  
RENCANA empat bahagian ini menggarisbawahi kepentingan bidang arkeologi kepada manusia di mana penemuan-penemuan yang dilakukan serta kajian yang sangat saintifik akan dapat membantu kita membina jati diri dengan mengenali asal-usul kita. 
     Bahagian ketiga ini mendekati mereka yang bekerja keras mencari artifak-artifak purba untuk memastikan generasi masa kini dan masa hadapan dapat melihat kesan-kesan tinggalan manusia prasejarah yang mempunyai kaitan dengan kita. 
....mereka adalah leluhur kita.

____________________________________________________________________________

Boyd PV
Harian Ekspres

DUA murid SK Rampazan, Papar, Mohd Adnan Adli Bobby Zakaria (Abie), 11, dan Mohd Sarizul Adamsa Bob Damsa (Adam), 10, teruja apabila berpeluang melawat Pameran Arkeologi Malaysia – Menjejaki Masyarakat Purba yang sedang berlangsung di Muzium Sabah sehingga 30 Jun ini.

Pada peringkat umur itu, artifak-artifak serta gambar-gambar yang mereka lihat di ruang pameran tersebut, termasuk replika rangka Manusia Perak yang disimpan dalam kotak kaca, mungkin tidak membawa sebarang makna kepada mereka.

Tapi mereka dilihat sangat teruja dan membaca satu persatu penerangan yang mengiringi gambar dan artifak kuno yang dipamerkan itu.

Mereka berhenti lama setiap kali berada di hadapan monitor TV yang menyiarkan dokumentari dalam Bahasa Melayu mengenai penemuan-penemuan tapak purba di seluruh negara.

Kemudian, penulis terdengar Adam bertanya sesuatu, “Abie, siapa yang korek batu-batu ini?”

Sepupunya itu sekadar mengangkat bahu sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Memandangkan itu bukan lawatan berpandu, tidak ada sesiapa di sana untuk membantu mereka memenuhi perasaan ingin tahu itu.

Juga tiada sesiapa untuk memberitahu mereka bahawa ahli arkeologi sebenarnya tidak menggunakan perkataan “korek”, sebaliknya mereka menggunapakai istilah “ekskavasi”.

Soalan kanak-kanak itu, bagaimanapun, membuka minda penulis.

Apabila sesuatu penemuan tapak arkeologi diumumkan kepada orang ramai menerusi media, tumpuan selalunya terarah kepada penyelidik atau pegawai atasan yang membuat pengumuman itu.

Tapi, sepertimana persoalan yang berlegar di minda kanak-kanak itu, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab melakukan kerja-kerja fizikal untuk mencari artifak purba dan menyediakan artifak-artifak itu untuk dipertontonkan kepada umum – dari perut bumi ke galeri pameran?

Bagi maksud penulisan ini, tumpuan diarahkan ke Jabatan Muzium Sabah yang tersergam di atas bukit di Jalan Muzium, Kota Kinabalu.

Jabatan itu mempunyai 12 bahagian dan salah satu daripadanya ialah Bahagian Arkeologi yang diketuai anak kelahiran Penampang, Peter Molijol, berumur 53 tahun.

PETER menceritakan pengalamannya
dijangkiti penyakit malaria
ketika bermalam di
Gua Samang Buat, Lahad Datu

Bahagian inilah yang bertanggungjawab mencari artifak-artifak purba untuk dipamerkan di Muzium Sabah agar generasi masa kini dan masa hadapan dapat melihat sendiri tinggalan-tinggalan manusia prasejarah yang sebenarnya mempunyai hubungan dengan kita dari segi susur galur.

Menyertai Bahagian Arkeologi jabatan itu sejak 30 tahun dahulu, Peter mempunyai banyak pengalaman menarik untuk dikongsi.

Dan pengalaman yang dikutipnya sepanjang tempoh itu juga menjadikan Peter antara orang penting yang memberi input kepada hala tuju Muzium Sabah yang kini diterajui Pengarahnya, Joanna Datuk Kitingan.

Hanya ada enam kakitangan

“Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah hanya mempunyai enam kakitangan, termasuk saya,” katanya.

Tapi walaupun jumlah kakitangannya sangat terhad, itu tidak pernah menjadi halangan untuk mereka memastikan Galeri Pameran Arkeologi di Muzium Sabah dapat berfungsi dengan sebaiknya untuk memberi pendidikan kepada umum mengenai asal-usul kita.

Selain Peter, Bahagian Arkeologi Muzium Sabah turut digerakkan oleh Osman Nassip, Affendy Rahmat, Jamain Musi, Thomas Leong dan Siah Darsat.

PETER (berdiri, kiri) bersama pekerja lapangan 
di Tapak Paleolitik Bingkor yang disertai 
kakitangan Muzium Sabah dan  PPAG, USM. 
Turut kelihatan ialah Jeffrey (berdiri, ketiga dari kanan) 
dan  Siti Faridah (depan, kedua dari kanan)

Walaupun kesemua mereka tidak pernah mengikuti pengajian dalam bidang arkeologi, pengalaman yang dikutip sepanjang tempoh mereka bekerja di bahagian itu dan kursus-kursus pendek yang mereka ikuti di Universiti Sains Malaysia (USM), menjadikan mereka mahir dalam bidang tersebut yang menuntut ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Mereka inilah yang bertanggungjawab membuat penemuan awal tapak-tapak arkeologi di Bukit Tengkorak, Tingkayu, Batu Tulug, Mansuli dan tapak-tapak berpotensi yang lain.

Mereka mahir melakukan kerja-kerja lapangan termasuk tinjauan, mencari penemuan permukaan, melakukan ekskavasi, merekod artifak, membersih, membuat analisis, menyedia laporan, menyimpan dan sebagainya, sebelum artifak itu dipamerkan kepada umum.

“Setiap artifak kuno itu mempunyai cerita atau sejarahnya dan cerita itulah sebenarnya yang menjadikan sesuatu bahan pameran arkeologi itu tidak ternilai.

“Tetapi sebelum sesuatu artifak itu diletakkan di galeri pameran untuk tontonan umum, ia sebenarnya telah melalui banyak proses yang rumit dan saintifik,” jelas Peter.

Setakat ini, Muzium Sabah menyimpan himpunan sekitar 90,000 artifak purba yang diperolehi dari banyak sumber, termasuk artifak yang ditemui di Tapak Paleolitik Bingkor di Keningau.

“Selain artifak-artifak yang ditemui di permukaan ketika melakukan tinjauan dan juga ekskavasi, kami juga menyimpan artifak-artifak yang diperolehi hasil sumbangan orang awam dan ada juga yang kami beli. Artifak yang kami beli hanya yang benar-benar bernilai tinggi dari segi arkeologi dan disertakan dengan maklumat mengenai dari mana ianya dijumpai untuk kajian seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, Peter mengakui masalah kekurangan kakitangan dan peruntukan sedikit membataskan usaha mereka untuk meneroka tapak-tapak arkeologi berpotensi di seluruh Sabah dengan kadar yang lebih pantas.

Masalah itu, bagaimanapun, diimbangi oleh Memorandum Persefahaman antara Muzium Sabah dan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), USM yang ditandatangani pada tahun 1987. PPAG ketika itu dikenali dengan nama Projek Arkeologi Malaysia.

Sejak memorandum itu dimeterai, kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi tapak dilakukan secara bersama antara Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah dan PPAG.

“Kakitangan kami kini kerap bekerjasama dengan penyelidik serta kakitangan PPAG untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi mana-mana tapak arkeologi yang ditemui di Sabah,” katanya.

Melalui perkongsian pintar itu, kakitangan di Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah dapat menimba pengalaman sangat berharga kerana berpeluang bekerja bersama-sama dengan pakar-pakar dari PPAG untuk kerja-kerja lapangan melibatkan penyelidikan tapak-tapak arkeologi dan ekskavasi.

“Kami (Bahagian Arkeologi) tidak mempunyai banyak peruntukan untuk melakukan sendiri kerja-kerja mencari tapak berpotensi dan ekskavasi,” akui Peter.

Ada ketikanya mereka tersepit di antara tuntutan kepesatan projek pertanian dan pembangunan di Sabah dan keperluan untuk melakukan kerja-kerja mencari tapak arkeologi bagi mengelak artifak-artifak dimusnahkan oleh pembangunan.

“Tapi kerja-kerja arkeologi memerlukan kos yang tinggi terutamanya untuk membeli alat-alat saintifik yang diperlukan untuk membuat kerja penyelidikan dan analisis, membayar elaun pekerja lapangan, logistik dan paling penting, kos untuk membuat pentarikhan untuk mengenal pasti usia sesuatu tapak purba.

“Penemuan tapak arkeologi tidak akan bermakna jika tarikhnya tidak diketahui. Dan tidak ada gunanya menggunakan sumber dan tenaga kami yang terhad untuk melakukan ekskavasi jika akhirnya proses pentarikhan tidak dapat dilakukan kerana ketiadaan peruntukan.

“Tapi apabila penyelidik-penyelidik dari PPAG melancarkan projek mereka di Sabah, contohnya Projek Arkeologi Sabah Barat (2009) dan Projek Arkeologi Sabah (2011) oleh ahli arkeologi Jeffrey Abdullah di bawah geran Universiti Sains Malaysia, ia banyak membantu usaha kami untuk mencari tapak-tapak baharu di Sabah,” kata Peter.

“Perkongsian pintar itu membawa kepada situasi menang-menang di mana selepas kajian dan analisis oleh PPAG ke atas artifak purba selesai, semua artifak itu akan dipulangkan untuk simpanan Muzium Sabah.

“Hasil kajian itu pula akan diterbitkan oleh PPAG dalam bentuk jurnal atau dalam bentuk buku dan salinan setiap terbitan itu akan diberikan kepada Unit Perpustakaan, Jabatan Muzium Sabah untuk rujukan,” kata Peter ketika ditemui sewaktu kerja-kerja ekskavasi Tapak Paleolitik Bingkor di Keningau dilakukan sekitar Mei lalu.

Mengimbas sejarah panjangnya dalam bidang arkeologi, Peter memberitahu kerja lapangan pertamanya ialah di Mostyn, Kunak pada awal tahun 1980-an.

Ketika itu, katanya, dia masih terlalu baru dan pengetahuannya mengenai arkeologi hampir sifar.

“Kerana itu, saya banyak bertanya kepada kakitangan lain selain menimba pengetahuan melalui buku-buku berkaitan arkeologi.

“Selepas beberapa bulan, minat saya terhadap bidang arkeologi semakin menebal dan lama kelamaan, saya mengambil keputusan untuk membina kerjaya dalam bidang ini,” katanya yang sebelum itu pernah bekerja di beberapa agensi kerajaan serta bank.

Seperti kerjaya lain, bidang arkeologi juga mempunyai cabaran-cabarannya sendiri.

Menurut Peter, ada ketikanya kerjaya itu sangat mencabar keupayaan fizikal apabila mereka terpaksa meredah hutan belantara untuk mencari tapak purba.

“Ada juga tapak-tapak yang berada jauh di dalam hutan dan kami terpaksa menaiki perahu atau berjalan kaki untuk sampai ke sana,” katanya.

Kalau ada artifak yang perlu dibawa keluar, menurut Peter, mereka perlu menggunakan tulang empat kerat untuk mengusungnya seperti yang berlaku ketika mereka perlu membawa keluar dua buah keranda purba untuk dirawat – satu dari Kuamut di Ulu Kinabatangan dan satu lagi dari Batu Tulug, Kinabatangan.

“Keranda-keranda itu ada dipamerkan di pintu masuk replika gua di Muzium Sabah,” jelasnya.

Kerja ekskavasi perlu teliti

Apabila melakukan ekskavasi pula, ahli arkeologi perlu sangat teliti kerana ada artifak yang sangat rapuh selepas tertanam di perut bumi sejak sekian lama.

ANTARA peralatan yang  digunakan 
untuk kerja-kerja ekskavasi.


BERUS-BERUS halus digunakan 
untuk menimbulkan artifak
sementara tanah yang dikeluarkan 
perlu diayak untuk 
mengesan batuan halus yang 
melekat padanya (gambar bawah)

 


“Itu menuntut kesabaran yang tinggi kerana kerja-kerja ekskavasi dilakukan lapisan demi lapisan dan dengan hanya menggunakan alat-alat seperti berus, pemecah ais dan sebagainya, termasuk ranting kayu. 

"Kerana itu, kesabaran harus ada memandangkan kerja-kerja ekskavasi boleh memakan masa beberapa hari atau minggu malah bulan,” katanya sambil menambah, ia bergantung kepada keperluan penyelidikan serta peruntukan.

Peter juga berkongsi cerita bagaimana mereka pernah diperdaya oleh seorang pemberi maklumat dari negara jiran yang mendakwa mengetahui kedudukan sebuah kapal karam di perairan Kudat.

Tapi ketika mereka ke sana bersama-sama pemberi maklumat itu dengan menaiki bot milik Pejabat Daerah Kudat, tempat yang dimaksudkan tidak wujud.

“Apabila semakin hampir, kami diberitahu tempat itu ‘…di depan lagi…’ dan begitulah seterusnya sehingga kami sebenarnya telah melepasi perairan antarabangsa dan menghampiri sebuah pulau di negara jiran itu.

“Perjalanan itu akhirnya dibatalkan selepas sebuah pesawat ringan datang untuk memberi amaran agar kami berpatah balik. Sehingga ke saat ini, saya tidak tahu apa niat sebenar pemberi maklumat itu,” katanya.

Tapi pengalaman paling mencemaskan beliau ialah kejadian di mana dia dijangkiti malaria selepas bermalam di Gua Samang Buat, di Lahad Datu.

“Itu berlaku beberapa tahun dahulu. Tapi saya bersyukur kerana masih hidup hingga sekarang,” katanya sambil ketawa.

Dengan segala pengalaman getir itu, apa yang membuatkan anda masih bertahan dalam kerjaya ini?

“Minat,” jawabnya ringkas sebelum menambah, dia sangat teruja apabila menjadi antara orang pertama melihat semula sesuatu artifak selepas puluhan tahun malah ribuan tahun tertanam di perut bumi.

“Pengalaman itu memberi kepuasan yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.”

Selain membuat penyelidikan arkeologi di daratan, kata Peter, Bahagian Arkeologi, Muzium Sabah juga memikul beberapa tanggungjawab lain termasuk membuat penyelidikan arkeologi di bawah air dan membuat ulasan penilaian alam sekitar.

“Kami ada kalanya diminta memeriksa jika ada kesan arkeologi atau kesan sejarah di sesuatu kawasan yang ingin dibangunkan,” katanya.

Dengan tugas berat yang tergalas di bahu mereka, ditambah pula oleh masalah kekurangan tenaga pakar untuk memikul tugas-tugas itu, Peter menggalakkan pelajar-pelajar di negeri ini agar menimbang untuk mengambil jurusan arkeologi.

“Kita sebenarnya hampir tidak ada pelapis untuk meneruskan tugas-tugas di bahagian ini yang telah dimulakan sejak Muzium Sabah diwujudkan di Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada 15 Julai, 1965,” katanya.



___________________________________________________________________________

Minat dorong Siti Faridah ceburi bidang arkeologi


SITI Faridah menunjukkan antara batu 
purba yang ditemui di tapak itu.
SELEPAS menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang sejarah di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2009, Siti Faridah Hanim Damsi, 26, tidak pernah terfikir bahawa satu hari nanti dia akan bermandi peluh di tapak arkeologi untuk melakukan kerja-kerja ekskavasi.

Tapi itu bukan sesuatu yang pelik kerana bidang arkeologi itu sendiri adalah satu bidang yang multidisiplin.

Pengetahuan mendalam dalam bidang-bidang khusus seperti sosiologi, geologi, sejarah, geofizik, kimia, biologi dan antropologi, antara lain, sangat berkait rapat dengan bidang ini.

Peralihan minat Siti Faridah dari bidang sejarah ke bidang arkeologi bermula selepas dia berpeluang bekerja sebagai sukarelawan selama dua bulan di bawah pensyarah/ahli arkeologi dari Pusat Penyelidikan Geologi Global (PPAG), USM, Jeffrey Abdullah, yang melakukan tinjauan tinggalan megalit di Sabah pada tahun 2010.

Ketika itu Siti Faridah, yang berasal dari Sibu, Sarawak, sedang menunggu keputusan pengajian ijazahnya.

“Ketika belajar Sejarah dulu, saya langsung tidak tahu apa-apa mengenai arkeologi,” katanya yang kini sedang menyiapkan tesis untuk pengajian peringkat sarjana dalam bidang arkeologi di USM, di bawah bimbingan Jeffrey.

“Ketika membantu Encik Jeffrey melakukan kerja-kerja penyelidikan arkeologi di lapangan dan di makmal, minat saya untuk mendalami bidang arkeologi mula timbul,” kata Siti Faridah.

Mengulas lanjut, Siti Faridah berkata dia mendapat satu kepuasan apabila berjaya membuat penemuan dan menimbulkan sendiri artifak-artifak purba yang sekian lama tertanam di dalam tanah, membuat analisis saintifik ke atas artifak-artifak itu dan berharap satu hari nanti, dia juga akan mahir untuk membuat tafsiran mengenai artifak-artifak yang ditemui dan merungkai misteri yang menyelubunginya.

“Sekarang ini saya masih di peringkat belajar,” katanya ketika ditemui sewaktu menyelia kerja-kerja ekskavasi di Tapak Paleolitik Bingkor di Keningau, Mei lalu. Projek itu mendapat geran daripada USM.

Bagaimanapun Siti Faridah mengakui, hasrat untuk menjadikan bidang arkeologi sebagai kerjaya tidak diterima baik oleh ahli keluarga, terutama kedua ibu bapanya, di peringkat awal.

“Tentangan itu mungkin kerana saya ini wanita dan kerja-kerja arkeologi itu sendiri banyak memerlukan saya melakukan kerja-kerja berat di luar.

“Tapi alhamdulillah, saya dapat meyakinkan mereka mengenai minat saya dalam bidang ini dan pentingnya arkeologi kepada manusia sejagat,” katanya sambil tangannya membelek-belek beberapa biji batu purba pelbagai saiz yang ditemuinya di tapak itu.

Di USM, kata Siti Faridah, tidak ramai penuntut wanita yang mengambil jurusan itu.

“Saya berpendapat, kerjaya ini tidak ada kaitan dengan jantina. Biarpun kerja-kerjanya kelihatan lasak, asalkan kita benar-benar berminat, itu semua bukan satu masalah,” katanya.

Sebagai penyelia tapak ekskavasi itu, Siti Faridah bertanggungjawab terhadap semua keputusan yang diambilnya berhubung kerja-kerja ekskavasi itu.

Dia harus mahir merancang agar peruntukan sekitar RM55,000 yang diamanahkan kepadanya untuk kerja-kerja ekskvasi di Bingkor itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dengan memaksimumkan output dalam jangkamasa yang ditetapkan.

Mengepalai 12 pekerja lapangan yang hampir kesemuanya lelaki dan lebih senior dari segi umur dan pengalaman juga adalah satu cabaran besar kepadanya.

“Tapi saya berterima kasih kepada mereka kerana memberikan kerjasama yang sangat baik kepada saya. Saya dapat menimba banyak pengalaman daripada mereka,” katanya.

Sebelum ini, pada November tahun lalu, Siti Faridah terbabit dalam kerja-kerja penyelidikan awal untuk mencari tapak-tapak arkeologi berpotensi di sekitar Keningau yang membawa kepada penemuan tapak Paleolitik di Bingkor itu.

Menurut Siti, kajian di Tapak Paleolitik Bingkor itu masih di peringkat permulaan dan ekskavasi yang dilakukannya itu adalah untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang diutarakan dalam tesisnya.

“Masih banyak kajian yang perlu dibuat selepas ini seperti kajian paleoalam yang memerlukan pembabitan kumpulan pakar lain, seperti geofizik, seperti yang pernah digunakan di Lembah Mansuli,” katanya.

Menurut Siti Faridah, memandangkan terdapat sekurang-kurangnya tiga lapisan budaya di Tapak Paleolitik Bingkor, maka kajian teknologi alat batu adalah penting untuk melihat perubahan teknologi alat batu mengikut masa dan memahami teknologi dan budaya masyarakat purba itu.

“Selain itu, fungsi alat batu juga akan dianalisis untuk mengetahui alat batu yang ditemui itu digunakan untuk apa. Adakah alat batu yang ditemui itu digunakan untuk fungsi-fungsi kerja tertentu?

“Persoalan-persoalan ini perlu dijawab,” katanya sebelum menambah analisis kesan guna pada alat batu akan dapat menentukan fungsi alat batu tersebut sama ada ia digunakan untuk memotong bahan lembut seperti daging atau bahan keras seperti kayu.

Kajian lanjut juga perlu dilakukan untuk mengetahui apakah jenis persekitaran yang sesuai dan menjadi pilihan masyarakat zaman batu lama, jelasnya lagi.

Tapi persoalan penting, katanya, ialah KENAPA kawasan Bingkor menjadi pilihan masyarakat zaman batu lama?

“Dari arah mana mereka datang dan ke mana mereka bermigrasi selepas itu?” katanya.

Menurut Siti, kajian tapak-tapak arkeologi lain perlu dibuat selain tapak yang ada sekarang untuk melihat dan menjawab persoalan-persoalan tersebut.

“Apabila semua itu dapat dilakukan, kita akan dapat melihat perbandingannya dengan kawasan-kawasan lain di Sabah dan Semenanjung atau mungkin juga dunia.

“Ini akan memberikan gambaran yang jelas mengenai kebudayaan zaman batu lama di Sabah mahupun di Asia Tenggara,” katanya.

Sumber: 
Harian Ekspres, 10 Jun 2012

No comments:

Post a Comment