Thursday 20 October 2011

Memburu makhluk gergasi di Tiga Lima


Boyd PV
myyzoom.blogspot.com

DENGAN keadaan laut yang agak bergelora dan purata ketinggian ombak mencecah 2.0 meter, perjalanan meredah lautan ke perairan Kota Belud dari Kota Kinabalu pada kelajuan 8 knot, selama hampir lima jam, bukanlah suatu pengalaman yang menyeronokkan.

Kapal sepanjang 65 kaki x 14 kaki yang membawa 11 pemancing tegar itu kerap kali dilambung ombak dan pantas menjadikan tekak terasa loya dan mual.

Namun tekad untuk memburu ikan gergasi bernama kertang yang dikatakan banyak menghuni perairan antara Pulau Mengalum dan Pulau Mantanani menguatkan hati penulis untuk turut sama meredah lautan demi melunaskan keinginan untuk melihat dari dekat pemancing tegar beraksi di laut dalam.

Perancangan awal adalah untuk menduga perairan Ulu Karang-Karang, ke barat daya dari Pulau Mengalum tetapi atas sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan, kapal yang dikendalikan tekong berpengalaman, Sidi, yang dibantu dua awak-awak, membawa kumpulan pemancing itu ke Tiga Lima.

“35 adalah kawasan perairan yang kerap dikunjungi oleh pemancing, khususnya dari Kota Kinabalu. Ia dinamakan 35 berdasarkan nombor bacaan pada bearing kompas,” kata Sidi.

Trip memancing dari 7 – 9 Oktober itu adalah untuk memburu kertang, tambung dan kerisi bali yang dikatakan menjadikan kawasan 32 hingga 36 sebagai medan mereka memburu makanan.

Bagaimanapun, tiada siapa dapat mengagak dengan tepat jenis ataupun spesies ikan yang menghuni kawasan itu. Lagipun, kejayaan sesuatu trip memancing berkait rapat dengan kemahiran, kesungguhan dan yang pasti, rezeki.

Kecil atau besar, berapa banyak ikan diperolehi, semua itu harus disyukuri kerana ia berbalik kepada soal rezeki. Itu menjadi pegangan sejagat semua pemancing.

Menurut Sidi yang sudah lebih 20 tahun membawa pemancing meneroka isu perut perairan dalam itu, dia pernah membawa seorang pemancing dari Kuala Lumpur yang mendaratkan kertang seberat 70 kg di kawasan Tiga Lima.

KUMPULAN pemancing tegar yang berkampung selama tiga hari dua malam di perairan KB baru-baru ini.
“Ikan itu sangat besar sehingga memerlukan tiga orang dewasa untuk mendaratkannya,” kata Sidi yang berasal dari Tawi-Tawi, Filipina.

Kisah Sidi mengenai kertang 70 kg itu cukup membakar semangat pemancing lain yang khusyuk mendengar sambil menyediakan peralatan memancing masing-masing.

Selepas bertolak dari Segama, Kota Kinabalu tepat jam 9 pagi, hampir lima jam kemudian kapal dilabuhkan di kedudukan 6°33.885 Utara; 115°58.006 Timur.

“Kita sudah sampai di Tiga Lima,” kata Sidi selepas mematikan enjin kapalnya.

Sebaik sauh dilabuhkan, pemancing mula menurunkan mata kail masing-masing berumpankan hirisan isi ikan basung segar.

Dengan kedalaman hampir 75 meter dan arus yang agak kuat, cabaran memancing di Tiga Lima adalah suatu pengalaman baru yang amat mengujakan.

Kurang sepuluh minit selepas umpan diturunkan, seorang pemancing mendaratkan seekor ikan putih bersaiz juvana. Ia satu permulaan yang baik.

Ikan itu kemudian disusuli oleh si badan lebar, ebek (Giant Travelly) seberat lebih 5 kg dan beberapa spesies ikan karang lain termasuk ketambak, kerisi bali, titir, mentua dan sebagainya. (kebanyakan nama ikan yang disebut dalam artikel ini adalah mengikut istilah pemancing yang berada di atas bot itu). 

Namun sehingga dua jam kemudian, belum ada seekorpun kertang didaratkan. 

Kapal milik KK Lau yang dilengkapi peralatan GPS, radio dan echo sounder itu mula meninggalkan lubuk pertama setelah beberapa ekor ikan bersaiz sederhana didaratkan.

Lubuk kedua adalah di kawasan 36. Selepas hampir setengah jam perjalanan, sauh kemudian dilabuhkan dan aktiviti memancing diteruskan.

Ketika penulis masih rancak berbual dengan Sidi, kami dikejutkan dengan bunyi kekili automatik seorang rakan pemancing yang tali sulamnya ditarik laju oleh sesuatu.

Dari cara ikan itu cuba melepaskan diri, ramai mengagak ia mungkin seekor kertang yang menjadi buruan dalam trip itu.

Namun beberapa minit bertarung, kelibat yang timbul hanyalah seekor kerisi bali bersaiz mega dengan warnanya yang sangat cantik.

Banyak lagi kerisi bali didaratkan selepas itu selain pelbagai spesies ikan lain.
Namun, sang kertang masih menyisihkan diri.

Sementara menunggu ikan menyambar umpan, Sidi ramah berkongsi pengalamannya membawa pemancing melunaskan minat mereka menduga lautan dalam.

“Pemancing ini mempunyai ragam yang berbeza-beza. Tapi saya tetap melihat mereka sebagai pelanggan yang mana keperluan dan keselamatan mereka menjadi keutamaan kami,” kata Sidi.
Seperti juga didarat, kata Sidi, cuaca di lautan boleh bertukar secara mendadak. Tapi kami biasanya sentiasa memantau keadaan cuaca dengan mengikuti hebahan di radio sebelum memulakan perjalanan, katanya.

“Kalau keadaan cuaca tidak mengizinkan, kami (penyedia kapal) tidak teragak-agak untuk menangguhkan perjalanan atau membatalkannya, bergantung kepada suara ramai.
“Tapi kalau ribut berlaku ketika kami berada di laut, kami hanya ada dua pilihan.

“Bertahan atau berlindung di sebalik pulau terdekat. Bertahan maksudnya, tali sauh dipanjangkan dan kami menunggu ribut reda. Dalam keadaan seperti itu, kami hanya bertawakal, tidak tahu apa yang akan terjadi pada minit berikutnya. Risiko amat tinggi.

“Tapi jika sempat, berlindung di belakang pulau (Mantanani atau Mengalum) adalah pilihan terbaik biarpun risikonya tetap ada terutama apabila kapal perlu bergerak dalam keadaan laut yang sangat bergelora.

“Tapi apapun pilihan yang diambil, semua itu akan mengambil kira keselamatan pemancing yang ada di atas kapal kami,” katanya.

Tangan Sidi pantas menggulung tali pancingnya apabila dia merasakan umpan basung yang dihirisnya disambar sesuatu dengan kasar.

Pengalaman adalah guru terbaik. Hanya dengan menggunakan tali tanpa joran (handline), Sidi tersenyum lebar kerana yakin seekor ikan bersaiz besar telah membaham umpannya.

Kertang?

Mungkin juga, katanya.

Buat seketika, lelaki berumur 43 tahun ini menjadi tumpuan pemancing lain.

Tapi semua hampa apabila ikan yang didaratkan adalah seekor lagi kerisi bali seberat lebih 3 kg.

Menyambung cerita, Sidi yang bekerja di negara ini menggunakan pas kerja dan dijamin oleh majikannya, berkata setakat ini dia belum pernah berdepan dengan suatu keadaan yang menghampiri tragedi berkaitan malapetaka di laut.

“Kalau setakat enjin rosak, itu saya pernah lalui tapi kalau keadaan yang sangat mencemaskan, termasuk taufan, kapal terbalik dan sebagainya, alhamdulillah, saya belum pernah diuji oleh pengalaman seperti itu,” katanya yang sering membawa pemancing ke perairan Pulau Mantanani, Pulau Tiga, Pulau Mengalum, Semarang, kawasan 32 – 36 dan perairan di sekitarnya.

Bagaimana sesuatu lokasi memancing yang ingin dikunjungi itu ditentukan?

“Kami terbuka kepada perbincangan dengan pelanggan. Ada pelanggan yang mahu memancing di kawasan khusus. Sebelum bertolak, kami sudah tentukan ke mana arah harus dituju.

“Tapi ada juga pemancing yang meminta kami membawa mereka ke mana sahaja untuk mereka memancing.
Mereka menyerahkan sepenuhnya kepada kami untuk memilih tempat.

“Setiap tekong mempunyai lubuk rahsia masing-masing dan ini adalah kelebihan kami. Itu adalah senjata kami untuk menawan hati pemancing. Tapi perkara ini sukar untuk dikatakan kerana ada ketikanya ikan tidak begitu galak menyambar umpan walaupun di lokasi yang sebelum ini pernah menyaksikan ikan-ikan bersaiz besar pernah didaratkan.

“Tapi berdasarkan pengalaman, belum pernah ada pelanggan kami pulang dengan tangan kosong,” kata Sidi.

Sehingga ke malam hari pertama, belum juga ada kertang didaratkan. Selepas makan malam, usaha memburu kertang diteruskan di beberapa lubuk lain di kawasan 36.

Malam semakin larut, mata semakin berat tapi ikan buruan masih mengelak umpan. Hati mula bertanya, adakah benar kawasan luas di perairan Kota Belud ini dihuni spesies kerapu gergasi berbibir tebal itu?

Seorang demi seorang pemancing mula meninggalkan joran masing-masing. Hanya kelihatan dua atau tiga orang sahaja yang masih jitu semangatnya. Fokus hanya satu – kertang.

Umpan dicangkuk pada mata kail, batu ladung seberat hampir 1 kg diturunkan kerana arus agak deras. Hampir satu minit kemudian barulah batu ladung yang berat itu mencecah dasar laut. Bacaan pada alat echo sounder menunjukkan kapal kami sedang terapung di kawasan sedalam 85 meter.

Selepas seharian dengan aktiviti lasak, keletihan mula terasa. Niat hati semua pemancing untuk “beraksi” sehingga ke pagi tidak kesampaian apabila mata begitu mudah terlelap sebaik membaringkan diri. Umpama tidur di atas buaian.

Hari pertama berlalu tanpa seorangpun pemancing berjaya mendaratkan ikan yang menjadi buruan itu.

Tapi, ketika terjaga sekitar jam 4 pagi, penulis dikejutkan dengan bunyi jeritan kekili seorang pemancing yang talinya ditarik deras.

Rupanya di keheningan pagi itu, seorang pemancing sedang bertarung dengan makhluk ganas yang menghuni lubuk 36.

Tangkas sang ikan menarik keluar benang sulam yang dipadankan dengan kekili automatik dan dikuasakan oleh bateri kereta.

Sebanyak mana tali dikarau, sebanyak itulah juga tali ditarik keluar oleh makhluk yang belum diketahui jenisnya itu.

Pengalaman kali pertama menyaksikan seorang manusia bertarung dengan ikan gergasi membuatkan adrenalin penulis turut mengalir deras dan jantung berdegup kencang.

Kertang 8kg yang membaham umpan pada waktu subuh.
Selepas hampir 20 minit bertarung, lampu sorot di kapal itu mula mengesan bebayang seekor ikan besar berwarna gelap.

Selepas seminit lagi, jelas kelihatan tubuh sasa seekor kertang mula mengapungkan diri!

Dengan menggunakan alat cangkuk, ikan itu didaratkan dengan bantuan seorang rakan.

Menjelang matahari terbit pada hari kedua, seekor kertang seberat hampir 8 kg didaratkan.

Kilauan kulit kertang itu sangat cantik dengan warnanya yang coklat berbintik gelap.

Keadaan dalam kapal itu riuh gara-gara ikan gergasi itu tatkala pemancing lain sudah terjaga dari lena.
Ikan buruan sudah didaratkan!

Banyak spesies ikan lain dinaikkan pada hari kedua termasuk alu-alu, tuna, ayam-ayam yang menyerang secara berkumpulan, kerisi dan pelbagai spesies ikan lain yang belum pernah penulis lihat sebelum ini.

Seekor ikan jerung bersaiz sederhana turut menyambar umpan tapi menyedari bahawa ikan itu diancam kepupusan, ia dilepaskan untuk dihayati oleh generasi akan datang.

Seorang pemancing turut mendaratkan seekor tambung seberat lebih 8 kg.

Sepanjang tiga hari dua malam trip memancing itu berlangsung, hanya beberapa ekor kertang dinaikkan.
Bagaimanapun, diukur daripada jumlah keseluruhan ikan yang ditangkap, trip itu boleh dianggap berjaya apabila kesemua pemancing membawa pulang lebih 100 ekor ikan pelbagai bersaiz dan spesies.

Gambar-gambar berikut adalah sebahagian daripada hasil tangkapan dalam trip berkenaan.




No comments:

Post a Comment